Friday, October 22, 2010

Pencuri Lori


Pencuri lori 'pakar kunci'
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


RAMPAS...Thaiveegan (kanan) menunjukkan peralatan yang dirampas daripada suspek.
KUALA LUMPUR: Hanya tiga minit diperlukan sekumpulan pencuri lori profesional untuk membuat kunci pendua lori yang menjadi sasaran sebelum kenderaan berat itu dilarikan.

Difahamkan, kumpulan terbabit menggunakan sejenis serbuk hijau yang dimasukkan bersama kunci baru ke dalam lubang kunci pintu lori bertujuan meniru bentuk kunci asal. Sebaik mendapat bentuk kunci berkenaan, mereka akan membuat kunci baru bagi membolehkan pintu lori dibuka sebelum kunci sama digunakan untuk menghidupkan pula enjin lori.


Lebih mengejutkan, sejak setahun lalu, kumpulan terbabit mencuri 22 lori seberat antara tiga hingga 16 tan. Semua lori itu dijual pada harga RM3,000 hingga RM5,000 sebuah.


Biasanya kenderaan berat itu dijual kepada pelanggan tertentu.


Bagaimanapun, kegiatan kumpulan itu ditumpaskan selepas polis memberkas empat suspek di Kepong, di sini, Selasa lalu.


Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan, berkata satu pasukan khas dianggotai dua pegawai dan sembilan anggota diwujudkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, bagi menumpaskan sindiket terbabit.


“Hasil siasatan dan intipan pasukan terbabit, sindiket itu dipercayai aktif mencuri lori di Gombak, Kepong, Selayang dan Kuala Lumpur. Selain itu, mereka juga mencuri motosikal.


“Keempat-empat suspek ditahan di dua tempat berasingan kira-kira jam 5 petang iaitu tiga di hadapan sebuah hotel Taman Sri Ehsan, Kepong dan seorang lagi di rumahnya yang terletak berhampiran,” katanya pada sidang media di IPD Gombak, di sini, semalam.


Polis turut merampas dua lori di kawasan Desa Jaya dan Bandar Sri Damansara, selain sebuah kereta Proton Iswara.


Menurutnya, hasil siasatan mendapati lori berkenaan dilaporkan hilang di Kepong kira-kira seminggu lalu.


“Selain itu, polis turut menemui beberapa senjata tajam seperti parang, pisau panjang, spanar, pemutar skru, kunci, alat perhubungan walkie-talkie dan telefon bimbit dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri lori itu.


“Semua lori yang dicuri dipercayai dihantar ke utara Semenanjung untuk dijual. Sehingga kini, suspek yang berusia 20-an hingga 47 tahun itu direman untuk siasatan lanjut,” katanya.


Difahamkan, hasil siasatan mendapati semua suspek yang bekerja sebagai penarik kereta mempunyai beberapa rekod jenayah lampau selain positif dadah.


Thaiveegan berkata, seorang suspek dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kes itu masih bebas dan polis masih memburu lelaki itu.


“Lelaki terbabit yang dikenali sebagai R Yogendran,24, diminta menyerah diri secepat mungkin bagi membantu siasatan. Alamat terakhir suspek ialah di D-06-08 Apartment Mutiara Magna, Kepong Baru. “Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menyalurkan maklumat kepada balai polis berdekatan,” katanya.


Menurutnya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun menggunakan senjata api.

No comments:

Post a Comment