Friday, October 29, 2010

Skim Kaya

Skim cepat kaya tawar pulangan RM100,000 sebulan diserbu

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Hanya selepas tiga bulan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menumpaskan satu skim cepat kaya di Lembah Klang pada 28 Julai lalu, satu skim sama ditumpaskan di sini malam tadi.

Kejayaan itu hasil serbuan Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Taman Equine Park di Seri Kembangan dekat sini.

Ketika serbuan pukul 10.30 malam itu, kira-kira 30 orang sedang asyik mendengar seminar dan pratonton yang dianjurkan dua lelaki berusia 30-an termasuk seorang daripadanya dipanggil mentor.

Penolong Pengarah Kanan Penguat Kuasanya, Shahrudin Hamzah berkata, hasil maklumat awam, pihaknya membuat serbuan ke atas premis itu yang dipercayai menganjurkan skim cepat kaya.

"Seminar dihadiri kira-kira 30 orang termasuk 20 daripadanya ahli skim terbabit. Semua mereka diperiksa dan diambil keterangan sebelum dibebaskan pukul 5 pagi ini.

"Kita turut menyita beberapa komputer riba, berpuluh-puluh kepingan cakera padat video (VCD) dan risalah mengenai skim itu untuk edaran orang ramai.

"Kita masih di peringkat awal siasatan dan sedang mengesan dalang skim itu serta bilangan yang menjadi mangsa," katanya kepada pemberita selepas serbuan, di sini malam tadi.

Sebelum ini, polis menumpaskan satu skim cepat kaya di Lembah Klang yang memperdaya orang ramai agar melabur dalam skim terbabit dengan jumlah minimum RM10,000 sehingga RM41,000.

Menurut Shahrudin, siasatan mendapati penganjur yang menggunakan lesen sebuah syarikat jualan langsung itu, menjual barangan produk kosmetik dan kesihatan di peringkat permulaan.

Katanya, bagaimanapun, mereka mula mengambil pendekatan mencari ahli bagi memperolehi hasil keuntungan segera.

"Modus operandi daripada hasil risikan, kita percaya kumpulan itu mengajak orang ramai untuk menyertai perniagaan dengan mencari orang yang menjurus kepada skim piramid.

"Mereka kemudian dipengaruhi supaya melabur mengikut empat pakej yang ditawarkan iaitu serendah RM3,000 yang menjanjikan pulangan sehingga RM100,000 sebulan," katanya.

Menurutnya, penganjur turut merangka strategi menarik lebih ramai penyertaan melalui taklimat kejayaan ahli yang memperolehi kemewahan segera hasil skim tersebut selain turut memiliki sebuah laman web rasmi.

Katanya, antara dipaparkan ialah kejayaan ahli skim terbabit terdiri daripada kakitangan awam, guru dan pelajar institusi pengajian tinggi yang memiliki kereta mewah, Mercedes-Benz dan BMW.

"Mereka juga mengadakan beberapa siri seminar ke negeri lain seperti di Melaka dan Negeri Sembilan bagi menarik lebih ramai penyertaan," katanya.

Beliau berkata, selain itu, setiap ahli diberi bimbingan menguasai teknik menjawab segala persoalan atau keraguan yang timbul bagi mempengaruhi orang awam supaya menyertai skim tersebut.

"Siasatan akan dilakukan ke atas syarikat tersebut dan sekiranya didapati melanggar peraturan Akta Jualan Langsung, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap syarikat berlesen itu.

"Kami juga akan mempergiatkan usaha bagi menggempur sebarang aktiviti perniagaan berasaskan skim cepat kaya," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan perniagaan yang menawarkan pulangan pelaburan tinggi dalam tempoh masa singkat.

Katanya, individu yang melanggar peraturan perniagaan jualan langsung boleh didenda hingga RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Akta Jualan Langsung 1993.

"Orang awam yang mendengar sebarang taklimat berkaitan skim piramid dikehendaki melaporkan kepada bahagian penguat kuasa berhampiran atau melayari laman web kementerian itu," katanya.

No comments:

Post a Comment