Friday, October 22, 2010


Misteri: Firasat kembar
Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2010/08/01


PASANGAN kembar, Gemma dan Leanne Houghton yang terselamat daripada bencana hasil gerak hati seorang daripada mereka.
Keupayaan pasangan tak seiras rasai ancaman bahaya cetus tanda tanya

SUDAH banyak diperkatakan mengenai gerak hati pasangan kembar yang selalunya terbukti betul. Bukan sekali dua kisah singgah di telinga mengenai saudara kembar kerap berasakan sesuatu jika pasangan mereka ditimpa bahaya. Malah kajian saintifik yang dibuat turut membuktikan kenyataan berkenaan.

Antara laporan mengenai kejadian aneh firasat pasangan kembar ini adalah Gemma dan Leanne Houghton. Gemma, 16, mungkin antara kembar yang mempunyai naluri rasa sama apabila tiba-tiba berasakan pasangannya, Leanne, berada dalam bahaya.

Dia bergegas ke bilik mandi kerana tahu Leanne sedang mandi dan mendapati kembarnya itu tenggelam dalam tab, tidak sedarkan diri dan tubuhnya sudah bertukar biru. Leanne diserang sawan ketika mandi.

Gemma segera menarik kembarnya, melakukan kaedah pernafasan mulut ke mulut dan berjaya menyedarkan Leanne.

“Tiba-tiba saja saya berasa perlu memeriksa keadaan dia. Seolah-olah ada satu suara memberitahu ‘kakak kamu memerlukan kamu.’ Saya bergegas ke bilik air dan melihat dia tenggelam.

“Pada mulanya saya ingatkan dia membasuh rambut tetapi apabila menariknya, Leanne sudah bertukar biru,” katanya kepada wartawan selepas itu.
Kisah mengenai hubungan telepati kembar Houghton itu menjadi tajuk utama pada Mac 2009 dan ia menjadi satu lagi bukti mengenai kaitan psikik yang dikatakan wujud bagi golongan kembar, terutama kembar seiras. Walaupun tidak seiras, ibu pasangan kembar itu berkata mereka berkongsi pertalian yang tidak dapat dipisahkan.

Kajian oleh pakar analisis genetik di jabatan penyelidikan kembar di King’s College, London, Dr Lynne Cherkas, menunjukkan satu bagi setiap lima pasangan kembar seiras memberitahu mereka pernah mengalami beberapa bentuk telepati manakala satu bagi setiap 10 pasangan kembar tidak seiras melaporkan fenomena itu.

Walaupun kaitan telepati antara kembar bukan bersifat sejagat seperti didedahkan dalam tinjauan Dr Cherkas, ia sudah cukup menjadi antara bukti terbaik bagi realiti telepati di kalangan manusia dan memberikan penyelidikan cara paling baik mengkaji fenomena itu.

Antara kes lain membabitkan pasangan kembar ialah:

* Pasangan kembar lelaki meminati bidang berlainan: Seorang bermain bola sepak dan seorang lagi belajar bermain gitar. Selepas beberapa bulan, kembar yang meminati bola sepak boleh bermain gitar sebaik pasangannya tanpa mempelajarinya. Kajian ke atas mereka menunjukkan kembar itu mempunyai ‘interaksi terhad’ dengan satu sama lain ketika mendalami bidang yang diminati.

* Ketika membeli belah, seorang lelaki di Texas terpaksa duduk kerana berasa sakit dada. Dia kemudian mengetahui kembarnya di New York diserang sakit jantung pada masa sama.

* Seorang kanak-kanak perempuan mengalami kemalangan ketika menunggang basikal dan buku lalinya patah. Kembarnya turut mengalami bengkak di buku lali sama walaupun tidak cedera.

Bagi sesetengah kes, seorang kembar tahu mengenai sesuatu yang berlaku kepada pasangannya walaupun ia hampir mustahil untuk mengetahuinya.

Paula Wombwell, seorang guru kepada sepasang kembar perempuan menceritakan kejadian pelik ketika pasangan kembar itu berusia empat tahun. Salah seorang kembar, Heather berada dengan Paula dalam satu kelas manakala pasangan Heather, Catherine, berada di gimnasium di tingkat berlainan.

Tiba-tiba Paula terdengar Catherine menangis di bawah dan Heather memberitahu ia disebabkan seseorang melanggar kembarnya itu dengan skuter.

“Heather memang tidak akan nampak apa yang berlaku. Namun apabila saya bertanya kepada Catherine mengenai apa yang berlaku, dia memberitahu seseorang melanggarnya dengan skuter,” katanya.

Mungkin tiada apa yang luar biasanya dengan kejadian membabitkan pasangan kembar tetapi sedikit sebanyak ia masih di luar jangkaan akal manusia apabila dua jasad berbeza dapat merasai kesan sama.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment