Thursday, October 28, 2010

Nak Kaya Saja

Skim cepat kaya, seorang lelaki ditahan


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 30-an ditahan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Putrajaya bagi membantu siasatan ke atas sebuah syarikat skim cepat kaya di Taman Equine Park di Seri Kembangan, dekat sini awal pagi ini.

Pengarah Kanannya, Shahrudin Hamzah berkata, dalam serbuan ke atas premis itu pada jam 10.30 malam tadi, seramai 30 ahli syarikat turut diperiksa dan diambil keterangan, sebelum mereka dibebaskan.


"Serbuan itu dibuat atas hasil maklumat dan aduan dari orang ramai. Lelaki yang ditahan itu dipercayai orang kuat skim itu. Kita turut menyita beberapa laptop dan berpuluh kepingan risalah mengenai skim ini yang dipercayai untuk diedarkan kepada orang ramai," katanya kepada pemberita dilokasi kejadian awal pagi ini setelah menamatkan operasi itu.


Beliau berkata, skim itu dipercayai aktif sejak setahun lalu dengan menjanjikan pulangan hampir mencecah RM100,000 dalam tempoh sebulan kepada pelabur yang membuat pelaburan minimum RM3,000 seorang.


"Sebelum mengajak ahli melabur, syarikat itu menarik orang ramai dengan menjual pelbagai produk, termasuk produk kosmetik dan kesihatan, dan selepas itu memujuk mereka melabur dalam skim cepat kayanya," kata Shahrudin. Shahrudin berkata, anggota skim ini turut ke negeri-negeri lain termasuk di Melaka dan Negeri Sembilan bagi menarik lebih ramai penyertaan.


Katanya, siasatan awal mendapati skim yang berasaskan sistem piramid itu beroperasi menggunakan lesen sebuah syarikat lain.


"Kita akan siasat perkara ini dan jika itu berlaku, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap syarikat berlesen itu," katanya.


Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan perniagaan yang menawarkan pulangan pelaburan tinggi dalam tempoh masa yang singkat.


Katanya, individu yang menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Akta Jualan Langsung 1993.-Bernama

No comments:

Post a Comment