Monday, October 25, 2010

Menyamar Pengetua

Hati-hati individu menyamar pengetua

KUALA TERENGGANU 24 Okt. - Jika sebelum ini nama Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menjadi mangsa individu yang menyamar untuk mendapatkan sejumlah wang daripada orang ramai, kini nama seorang pengetua di sebuah sekolah pula digunakan untuk tujuan sama.

Individu itu memperdayakan mangsa dengan memaklumkan bahawa dia memerlukan wang segera setelah beg pakaian termasuk wang yang dibawa hilang ketika dalam perjalanan mahu menguruskan anaknya yang melanjutkan pengajian di luar negara.

Terbaru, seorang peniaga kantin di sebuah sekolah menengah dekat sini iaitu sekolah yang sama tempat pengetua itu bertugas menjadi mangsa dengan taktik penipuan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supritendan Azmi Adam berkata, dalam kejadian pada 12 Oktober lalu, peniaga berusia 31 tahun tersebut kerugian RM5,000 selepas memasukkan wang tersebut ke dalam akaun kononnya milik pengetua itu.

Katanya, dalam kejadian tersebut, mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang mendakwa dia ialah pengetua sekolah dengan alasan kononnya wang itu untuk digunakan di luar negara kerana beg peribadinya termasuk wang yang dibawa hilang.

"Mangsa yang tidak berfikir panjang terus memasukkan wang berkenaan tanpa usul periksa kerana mengenali pengetua berkenaan selain menyangka dia benar-benar sedang mengalami kesusahan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, bagaimanapun mangsa yang tidak menyedari telah ditipu, terkejut apabila berjumpa dengan pengetua terbabit pada 21 Oktober lalu kerana pengetua berkenaan menafikan bahawa dia meminta peniaga itu berbuat demikian.

Setelah rasa tertipu, mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada hari yang sama kira-kira pukul 9 malam.

Menurut Azmi, kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menipu.

Sehubungan itu, katanya, polis meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati jika ada individu yang menyamar sebagai orang tertentu terutamanya mereka yang berjawatan tinggi agar perkara seperti ini tidak berulang.

"Jika mereka menerima panggilan daripada individu terbabit dengan menggunakan taktik seperti ini, mangsa haruslah terlebih dulu menghubungi individu sebenar untuk mendapatkan kepastian atau terus melaporkan kepada pihak polis," katanya.

No comments:

Post a Comment