Friday, October 22, 2010

Graduan DiTipu

sGraduan dakwa ditipu syarikat pelaburan

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Jawatan ditawarkan cukup menarik iaitu sebagai Eksekutif Pentadbiran namun tugas sebenar menghendaki mereka keluar mencari pelanggan untuk melabur dalam syarikat yang didakwa menjalankan perdagangan mata wang asing (forex) di luar negara.

Pihak syarikat berjanji akan membayar gaji lumayan iaitu memberi komisen AS$60 (RM186.80) kepada pekerja yang berjaya membawa seorang pelanggan melabur.

Ini bermakna makin ramai pelanggan dibawa melabur maka bertambah besar gaji akan dibayar kepada pekerja berkenaan.

Tertarik dengan tawaran gaji lumayan itu, maka ramai graduan lepasan ijazah bersetuju bekerja di syarikat terletak di Jalan Yap Kwan Seng di sini.

Sumber polis berkata, bagi memastikan sasaran memperoleh komisen tinggi tercapai, ada di kalangan graduan yang baru bekerja sanggup memujuk ahli keluarga dan rakan-rakan termasuk ibu bapa agar menjadi pelanggan mereka.

Katanya, mangsa bersetuju melabur antara RM100,000 dan RM200,000 setelah diyakinkan syarikat terbabit mereka akan memperoleh keuntungan lumayan.

Namun, katanya, mereka mula sangsi apabila setelah sekian lama melabur dan syarikat sudah mencapai sasaran pelaburan lebih RM2 juta, keuntungan yang dijanjikan langsung tidak diterima.

“Pekerja yang berasa tertipu akhirnya membuat laporan polis dan siasatan mendapati syarikat terbabit sebenarnya menjalankan perniagaan haram dengan menjadikan graduan lepasan ijazah sebagai mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sumber berkata, setakat ini, sudah lima laporan polis diterima daripada graduan lepasan ijazah yang mendakwa menjadi mangsa penipuan syarikat berkenaan.

Beliau berkata, hasil laporan tersebut, pihaknya baru-baru ini telah menyerbu syarikat terbabit dan menahan 15 pekerja termasuk pengurus dan pembantunya untuk siasatan lanjut.

Katanya, semua pekerja kecuali pengurus dan pembantu pengurus syarikat berusia antara 20 dan 30 tahun kemudian dibebaskan setelah keterangan mereka direkodkan.

“Pengurus dan pembantu pengurus syarikat terbabit direman di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut.

“Setakat ini, polis sudah mengambil keterangan daripada 31 mangsa yang mendakwa pernah ditipu oleh syarikat terbabit,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati syarikat terbabit sudah beroperasi kira-kira tiga tahun lalu dan mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat pelaburan asing, Capitol Group International Limited (CGIL) di New Zealand.

Katanya, syarikat terbabit menjual saham dengan harga AS$4,000 (RM12,458) bagi satu lot.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan tangkapan suspek dalam kes tersebut.

No comments:

Post a Comment