Friday, October 15, 2010

Kampung PATI

Tapak semaian penuh PATI

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Tiada siapa menyangka sebuah tapak semaian berhampiran Hospital Sungai Buloh dekat sini rupa-rupanya sebuah perkampungan haram pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ini kerana kawasan seluas kira-kira empat hektar yang dianggarkan boleh menempatkan lebih 100 penghuni itu agak tersorok daripada pandangan umum.

Mereka bukan menginap sahaja di dalam rumah yang dibina, malah menjadikan longkang besar berhampiran Plaza Tol Hospital Sungai Buloh sebagai tempat tidur dengan beralaskan papan lapis.

Dalam operasi yang dijalankan kira-kira pukul 3 pagi tadi, seramai 30 orang termasuk tujuh wanita warga Indonesia, berumur antara 20 hingga 40 tahun diberkas.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Selangor, Johari Supardi berkata, semua itu terbongkar selepas pihaknya membuat risikan selama seminggu sebelum menyerbu tapak semaian itu.

"Kesemua warga asing itu didapati melakukan kesalahan iaitu tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan.

"Semua mereka kini ditahan untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke pusat tahanan sementara," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan mendapati, di kawasan itu juga terdapat laluan masuk rahsia PATI ke perkampungan tersebut sejak dua tahun lalu.

Katanya, Jabatan Imigresen sedang mengesan pemilik tapak semaian itu bagi membantu siasatan.

"Jika bersalah, individu itu boleh dikenakan tindakan kerana memberi perlindungan kepada mana-mana orang yang diketahuinya melanggar undang-undang," katanya.

No comments:

Post a Comment