Wednesday, October 13, 2010

Jom Jadi Mr. Mama


Inforana mahu lahir 'Mr. Mama'

Oleh FAUZI MOHD
utusanterengganu@utusan.com.my

Para peserta kursus 'Program Azam Kerja Pengurus Kediaman' bagi pembantu rumah wanita warga tempatan anjuran Kolej Inforana di Kuala Terengganu baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU 12 Okt. - Kolej Inforana (Inforana), sebuah pusat kemahiran di sini akan menjadi perintis untuk melahirkan pembantu rumah lelaki atau 'Mr. Mama' warga tempatan melalui kursus yang dijangka diperkenalkan hujung tahun ini.

Pengurus Perhubungan Korporatnya, Ariza Hamalia Ahmad berkata, pihaknya kini masih menunggu kelulusan kerajaan bagi memulakan pendekatan baru itu.

Menurut beliau, pihaknya memutuskan untuk melatih golongan lelaki bagi mengendalikan tugas yang lazimnya bagi wanita berasaskan maklum balas positif yang diterima.

"Terdapat juga golongan lelaki begitu berminat terhadap kerjaya ini manakala adanya majikan yang bertanyakan mengenai pembantu rumah daripada golongan ini yang boleh juga melakukan kerja-kerja lebih lasak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jelasnya, kursus selama enam bulan ini dinamakan Skim Pembantu Rumah Terengganu (T-HAS) dan peserta yang berjaya menamatkan latihan dikurniakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2.

"Pelatih lelaki akan diberi bimbingan sama seperti pelatih wanita mengenai aspek pengurusan kediaman seperti penyediaan makanan, jahitan dan hiasan dalaman, pengurusan landskap dan tanaman termasuklah aspek penjagaan kanak-kanak," ujarnya.

Inforana merupakan salah satu pusat yang dilantik sebagai perunding oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sejak tahun lalu dengan 60 pembantu rumah wanita tempatan telah berjaya dilatih kolej itu.

Terletak di Jalan Tok Lam dekat sini, Inforana ditubuhkan pada 1 April 2002 dan didaftarkan sebagai pusat kemahiran di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pelancongan.

Kolej ini diterajui oleh Pengarah Eksekutifnya, Ahmad Ramzi Abd. Rahman dan isterinya, Naimatulasma Abdullah serta lebih 40 orang kakitangan yang berwibawa.

Katanya, latihan bagi pembantu rumah wanita diberikan di bawah modul 'Program Azam Kerja Pengurus Kediaman' yang juga sebagai langkah membantu mengurangkan pergantungan khidmat tersebut dari negara asing.

"Modul ini merangkumi teknik pengurusan kediaman dan penghuninya, penjagaan pemakanan dan kesihatan, pengetahuan asas penjagaan kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) serta pertolongan cemas," katanya.

Ujarnya lagi, modul yang diguna pakai berdasarkan silibus daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan tenaga pengajar telah pun lulus Latihan Bagi Pelatih (TOT) yang dikendalikan oleh kementerian itu sendiri.

"Pihak kami percaya, ada permintaan menggalakkan untuk pembantu rumah warga tempatan pada masa kini kerana tidak banyak kerenah perlu dilalui majikan bagi menggaji mereka memandangkan tidak perlu berurusan dengan Imigresen.

"Kursus selama dua minggu ini telah menarik penyertaan golongan ibu tunggal, suri rumah dan juga para belia kerana mereka sedar, kerjaya sebagai pembantu rumah kini menjadi keperluan yang begitu mendesak dan diangkat sebagai isu nasional," ujarnya.

Tambah Ariza lagi, peserta bukan sahaja mengikuti pembelajaran di dalam kelas, malah mereka berpeluang untuk mendekati kanak-kanak, warga emas serta OKU di pusat-pusat jagaan terdekat.

"Di samping penekanan kepada aspek teknikal, peserta juga dilatih supaya mempunyai sifat-sifat amanah dan bertanggungjawab terhadap pekerjaan dan majikan mereka," ujarnya

No comments:

Post a Comment