Wednesday, October 13, 2010

Kenang Jasa

Mat Nor dirai dalam majlis perpisahan selepas 31 tahun berkhidmat

KUALA LIPIS 12 Okt. - Setelah melalui pelbagai suka duka selama lebih 31 tahun sebagai tukang sapu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Tengku di sini, Mat Nor Sulong (gambar), 56, akhirnya menamatkan kerjayanya itu apabila bersara wajib daripada perkhidmatan kerajaan hari ini.

Sebagai penghormatan terhadap bakti yang ditaburkan di sekolah itu, satu majlis perpisahan diadakan dengan dihadiri oleh Pengetua SMK Padang Tengku, Rozita Kamaruddin dan seramai 1,060 orang guru, kakitangan dan pelajar.

Mat Nor yang lebih mesra dengan panggilan Pak Adam di sekolah berkenaan diarak dengan bunga manggar ke pintu pagar sekolah selepas memasukkan kad tebuk atau punch card terakhirnya.

Dia yang berkelulusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) 1969 memulakan perkhidmatan sebagai tukang sapu di sekolah berkenaan pada 1979 di bawah pengetua pertama, Zakaria Derani.

"Saya berkhidmat di bawah 11 pengetua dan tidak pernah bertukar sekolah lain. Di sini saya mula bertugas dan di sinilah juga saya melangkah keluar menamatkan perkhidmatan dan mula menjalani kehidupan sebagai seorang pesara," katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis 'Jasamu Dikenang' di SMK Padang Tengku, dekat sini.

Dia yang mempunyai empat anak dan dua cucu berkata, banyak kenangan dilalui sepanjang bertugas di SMK Padang Tengku terutama ketika pembinaan surau sekolah pada 1979 secara bergotong-royong bersama guru dan ibu bapa.

"Paling menjadi kenangan saya ialah apabila seorang guru kaum Sikh yang mengajar di sekolah ini turut membantu membina surau sekolah ini.

"Saya teruja dengan sikap guru berkenaan tanpa mengira batas agama dan kaum, dia turut menyingsing lengan bergotong-royong membantu membina surau untuk pelajar Islam sekolah ini," katanya.

Mat Nor yang berasal dari Kampung Gua, dekat sini berkata, sepanjang perkhidmatannya, dia pernah menyertai Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran (PSKPP) Pahang mewakili negeri ini dalam acara bola sepak.

"Selepas ini, saya akan menumpukan kerja-kerja kemasyarakatan sebagai ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Gua dan ada ruang untuk beribadat serta menjaga cucu," katanya.

Sementara itu, Rozita berkata, Pak Adam sangat mesra dan mudah didekati oleh guru, kakitangan dan pelajar di sini.

"Sepanjang bertugas di sini, dia banyak membantu kami menerusi program kebersihan dan keceriaan sekolah serta memberi pandangan termasuk dalam aspek pembinaan insan dan disiplin pelajar," katanya.

Tambahnya, tugasnya yang penuh dedikasi pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pelajaran Pahang pada 1985.

"Sikap positif dan disiplinnya boleh diteladani oleh semua kakitangan lain terutama dalam memacu kejayaan sekolah dalam bidang akademik, kokurikulum dan pembinaan insan," tambahnya.

No comments:

Post a Comment