Monday, October 11, 2010

Sewa RM6,000

Tamak kejar sewa RM6,000
Oleh Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my
2010/10/11

GUA MUSANG: “Kami dihalau keluar selepas pemilik mengejar tawaran harga sewa lebih tinggi tanpa mempedulikan rayuan supaya kami diberi peluang mencari rumah sewa lain terlebih dulu,” kata Norhasnida Ab Ghani, 18, yang mendakwa dihalau dari bilik sewanya, Khamis lalu.

Norhasnida bersama tujuh rakan lain mendakwa, pemilik bangunan di tingkat atas bangunan kedai di Taman Mesra Wangi di sini, bertindak menghalau penyewanya gara-gara menerima tawaran sewa lebih tinggi berikutan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Menurut Norhasnida, pemilik bangunan kedai berkenaan memberikan notis kepada penyewa pada Rabu lalu dan mengarahkan mereka mengosongkan bangunan itu keesokan harinya.


“Bayangkan, dalam masa satu hari, mana mungkin kami dapat mencari tempat tinggal lain. Lagipun kami semua hanya bekerja sebagai jurujual dengan pendapatan tidak seberapa.


“Lebih menyedihkan, pemilik bilik sewa kami turut menutup bekalan air paip pada malam pemberian notis itu, menyebabkan kami terpaksa keluar rumah dalam keadaan yang tidak terurus,” katanya.


Menurut Norhasnida, dia menyewa bilik di bangunan kedai itu sejak awal tahun ini hanya dengan bayaran RM70 sebulan untuk seorang.


Bagaimanapun, katanya, berikutan pilihan daya kecil Dun Galas yang akan bermula dengan hari penamaan calon 26 Oktober ini, kos sewa premis di sekitar kawasan ini meningkat berkali ganda dan difahamkan pemilik bangunan tempat dia menyewa menerima tawaran sewa sehingga RM6,000.


“Dua daripada rakan saya terpaksa berhenti kerja kerana sukar mendapat rumah sewa dalam masa yang singkat disebabkan tindakan orang ramai mencari rumah sewa menjelang pilihan raya kecil.


“Selepas dua hari keluar dari bilik sewa itu, baru kami dapat rumah sewa baru. Walaupun rumah baru itu agak uzur dan terletak di tanah rizab sungai, kami bersyukur kerana masih ada tempat berlindung dan hanya mampu memuatkan empat orang saja,” katanya.


Rakannya, Zalina Ariffin, 17, berkata, dia tidak menyangka pemilik bilik sewanya sanggup menipu supaya dia mengosongkan rumah dengan memberi alasan mahu membaiki bangunan berkenaan.


“Pada mulanya kami diberitahu pemilik bangunan itu yang dia hendak membaik pulih semua enam bilik yang ada di bangunan terbabit dan selepas sebulan nanti barulah boleh kami masuk semula.


“Bagaimanapun, muslihat pemilik bangunan terbabit terbongkar apabila ada individu mendedahkan tembelangnya bahawa bilik di bangunan itu akan disewakan kepada petugas parti yang akan bertanding pada pilihan raya kecil itu dengan harga lebih tinggi,” katanya.


Zalina berkata, pemilik bangunan tidak sepatutnya bertindak demikian.

No comments:

Post a Comment