Tuesday, October 12, 2010

Lagi Kisah Balqis Ghaib

Kisah Balqis 'ghaib' tarik tumpuan ramai

BESUT 11 Okt. - Siti Balqis Mohd. Nor , 22, gadis misteri di Kampung Gong Nangka di sini yang kisah mengenai dirinya sering ghaib dan berada dalam situasi seumpama sebuah filem seram, dikatakan hilang lagi malam kelmarin.

Dia diturunkan dari atas pokok dalam keadaan lesu dan bagi gadis itu dia ingin mengakhiri apa yang dilalui yang mungkin mencecah 100 kali dalam tempoh kira-kira dua bulan.

"Mungkin sudah hampir 100 kali, saya tidak tahu siapa mengambil saya dan selalu tidak tahu di mana saya berada sebenarnya.

"Tetapi dalam masa saya dikatakan hilang itu saya pernah terlihat makhluk semacam gorila berbadan besar.

"Dia tidak menjawab salam saya ketika saya berada dalam keadaan sedar ketika itu," ujarnya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Menurut Siti Balqis, rentetan awal kehilangannya walaupun berada di tengah-tengah keluarga bermula apabila kakinya berdarah dengan banyaknya tanpa sebab dan dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.

"Beberapa hari selepas itu, saya melalui pengalaman tiba-tiba ditarik dari lantai rumah ke bawah dan kemudian ditemui di sekitar kawasan pokok pisang," ujarnya.

Kehidupan yang dilalui Siti Balqis menjadikan rumahnya tumpuan orang ramai setiap malam untuk bersama membantu mengawasi di samping melihat usaha-usaha yang dijalankan oleh bomoh dan pengamal perubatan Islam bagi menghindari fenomena itu.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat turut menziarah bersama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri Jabi, Ramlan Ali dan Pengarah Yayasan Islam, Md. Kamaru Al-Amin Ismail kelmarin.

Menurut Ramlan, bersama mereka adalah tiga orang ustaz untuk membantu mengatasi gangguan yang dipercayai dilakukan oleh makhluk halus itu.

"Sebelum maghrib semalam, saya berada di rumahnya. Ada menerima mesej melalui khidmat pesanan ringkas kononnya dia ada di Bukit Keluarga.

"Kita pergi beramai-ramai mencarinya sehingga pukul 3 pagi, ada orang jumpa dia berada di atas pokok rambutan berhampiran rumah," ujarnya.

Katanya, memang sukar untuk dipercayai apa yang dilalui oleh gadis ini sejak dua bulan lalu namun setiap kali dia ditemui, fizikalnya begitu keletihan, amat tidak bermaya dan menyedihkan.

Gadis itu dilaporkan lenyap sekelip mata walaupun berada di tengah-tengah keluarga, dikatakan dikendong oleh 'lembaga besar berwajah binatang' ke pelbagai lokasi termasuk di tanah-tanah perkuburan.

Ramlan turut menceritakan apa yang disaksikan sendiri ketika bersama ramai orang di rumah berkenaan tiga hari lalu.

"Dia (Siti Balqis) masuk ke bilik air di ruang tamu dan semua orang memerhati pergerakannya. Dia keluar seketika dan masuk semula dan terus hilang.

"Bilik air itu tidak mempunyai laluan lain untuk menyelinap keluar selain pintu depan. Kita cari dia di sekitar rumah dan dua jam kemudian, dia ditemui di tepi dapur," ujarnya.

Dalam pada itu, ibu gadis berkenaan, Norizan Said, 47, memberitahu, sejak kisah anaknya disiarkan seramai 17 bomoh datang menawarkan diri untuk merawat anaknya secara percuma.

Malam kelmarin adalah kemuncak apabila dua bomoh tempatan dikatakan berjaya menangkap makhluk yang sebelum ini didakwa menjadi punca anaknya ghaib.

Bagaimanapun dua bomoh itu mengelak daripada ditemu bual dan sekadar memberitahu sembilan jin dan makhluk halus yang ditangkap itu akan dihanyutkan ke laut.

No comments:

Post a Comment