Wednesday, October 13, 2010

Taman Permainan?


Inilah taman permainan kami

Oleh RASMI ABDULLAH
kota@utusan.com.my

PERALATAN taman permainan yang telah rosak teruk sehingga tidak boleh digunakan lagi.

KUALA LANGAT 12 Okt. - Jika kanak-kanak lain gembira bermain di taman permainan konsep baru yang serba lengkap, cantik dan selamat, nasib berbeza bagi anak-anak Orang Asli di Kampung Busut Baru, Sri Cheding di sini.

Walaupun mereka juga mempunyai sebuah taman permainan di kampung itu tetapi keadaannya sangat menyedihkan. Semuanya serba kekurangan, uzur dan banyak yang sudah rosak.

Dan yang paling dibimbangi ialah ia sudah tidak selamat digunakan lagi bukan sahaja kerana keadaan fizikalnya tetapi kerana alat permainan di situ diperbuat daripada kayu, besi dan simen.

Selain itu, kawasan tersebut juga didapati semakin bersemak dan ditumbuhi banyak pokok-pokok kecil yang boleh mengganggu kanak-kanak untuk berlari-lari.

Keadaan itu menyebabkan kanak-kanak Orang Asli lebih suka bermain di kawasan perhentian bas di tepi jalan atau di kawasan penempatan mereka daripada pergi ke taman permainan itu.

Seorang penduduk, Bi Ali, 40, berkata, seluruh penduduk kampung itu sangat kecewa dengan keadaan tersebut, sekali gus menggambarkan seolah-olah mereka dipinggirkan.

Menurutnya, ketiadaan taman permainan yang sempurna menyebabkan kanak-kanak di kampung itu tiada tempat untuk beriadah seperti kanak-kanak di bandar.

"Tambah kecewa apabila sebelum ini ada pihak yang berjanji untuk membangunkan kawasan ini termasuk membina taman permainan yang baru tetapi sehingga sekarang, tidak ada apa-apa yang dilakukan.

"Taman permainan itu semakin hari semakin uzur dan sudah tidak sesuai digunakan lagi," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Katanya, walaupun terdapat satu taman permainan di Kampung Sri Cheding tetapi kedudukannya agak jauh untuk kanak-kanak di sini.

"Ibu bapa juga bimbang untuk melepaskan anak-anak mereka pergi ke sana," katanya.

Bi Ali berkata, penduduk kini sangat mengharapkan pihak bertanggungjawab membina sebuah taman permainan yang selesa untuk anak-anak Orang Asli di situ supaya mereka tidak rasa terabai.

Seorang lagi penduduk yang ditemui, Akko Azaan, 35, juga melahirkan harapan yang sama supaya anak-anak Orang Asli di situ dapat merasai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

"Jangan kerana kami ini duduk di kampung, maka pihak bertanggungjawab mengambil sikap bertangguh-tangguh dalam menyediakan kemudahan kepada kami.

"Kami juga ingin anak-anak di sini merasa kemudahan yang sepatutnya mereka rasai sejajar dengan kemajuan negara ini," ujarnya.

Dia berharap pihak berkuasa akan bertindak segera menggantikan taman permainan itu dengan kemudahan yang lebih baik dan selamat secepat mungkin.

"Jika tidak boleh membina sebuah taman permainan yang baru, baiki dahulu apa yang telah usang dan rosak," katanya.

Seorang kanak-kanak, Aivin Loret, 8, yang sedang bermain di kawasan kampung berkenaan juga melahirkan keinginan untuk bermain di sebuah taman permainan yang cantik.

"Saya mahu taman permainan yang cantik macam yang selalu saya lihat dalam televisyen supaya dapat bermain dengan kawan-kawan yang lain," tambahnya.

No comments:

Post a Comment