Tuesday, October 12, 2010

Amalan Sihir Menjadi-Jadi

Wujudkan Akta Jenayah Sihir

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF
utusanpahang@utusan.com.my
KUANTAN 11 Okt. - Penubuhan Akta Jenayah Sihir perlu diwujudkan bagi membanteras kegiatan tersebut yang boleh merosakkan akidah umat Islam dan membawa kematian terhadap mangsa terbabit.

Pensyarah Undang-Undang Kolej Antarabangsa Institut Kemajuan Iktisas Pahang (IKIP), Dr. Mahyuddin Ismail berkata, walaupun jenayah tersebut masih belum membimbangkan tetapi langkah perlu diambil supaya pengamal ilmu tersebut dibawa ke muka pengadilan.

Menurut beliau, sebagai langkah permulaan, satu seminar diadakan bagi mencari jalan dan kaedah dalam membentuk undang-undang membanteras jenayah itu.

"Oleh itu, kerjasama antara Kolej Antarabangsa IKIP, Yayasan Pahang, Jabatan Kehakiman Syariah Pahang dan Majlis Agama Islam Pahang (MAIP) menganjurkan seminar jenayah tersebut sebagai langkah permulaan ke arah itu.

"Penganjuran seumpama itu akan dapat diteruskan oleh mana-mana negeri dalam mencari jalan penyelesaian mewujudkan satu undang-undang atau jabatan yang boleh mengekang gejala itu daripada terus berleluasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Perasmian Seminar Undang-Undang Jenayah Sihir di Kolej Antarabangsa IKIP, di sini hari ini.

Seminar tersebut dirasmikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Datuk Rahman Md. Yunus.

Muhyiddin memberitahu, akta tersebut perlu mengandungi peruntukan untuk menubuhkan Jabatan Siasatan Jenayah Sihir di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan mempunyai kuasa tertentu bagi melaksanakan tugas dengan berkesan.

Tambahnya, antara kuasa tersebut adalah menyiasat dan menjalankan segala prosedur berkaitan bagi membanteras kegiatan jenayah menggunakan ilmu sihir.

Katanya, dengan penubuhan jabatan berkenaan, maka proses undang-undang iaitu aduan, siasatan, tangkapan, penggeledahan, pendakwaan dan perbicaraan akan dapat dilaksanakan.

Dalam pada itu, Rahman berkata, keperluan mewujudkan akta tersebut amat wajar dan penganjuran seminar tersebut tepat pada masanya demi kebaikan umat Islam.

Katanya, seminar itu akan turut membincangkan kaedah pendakwaan pesalah dengan bukti yang perlu dikemukakan supaya dapat dilakukan dengan lancar.

"Dalam seminar itu boleh difikirkan bersama bagaimana mahu mengumpul bahan bukti tersebut kerana mahkamah memerlukannya untuk diadili ketika perbicaraan nanti," jelasnya.

No comments:

Post a Comment