Wednesday, October 6, 2010

tipu 15.5 Juta, Jel Sehari

Bekas pengarah urusan tipu RM15.5 juta dipenjara sehari

KUALA LUMPUR 5 Okt. - ''Awak sedih atau gembira?''

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, S. M. Komathy Suppiah bertanyakan perkara itu selepas melihat tertuduh, Datuk Ngu Tieng Ung, 43, yang berada di kandang salah tiba-tiba menangis sehingga wajahnya menjadi merah dan terpaksa ditenangkan oleh peguamnya, Ng Aik Guan.

Bekas pengarah urusan syarikat pembinaan, Pancaran Ikrab Berhad (PIB) itu menunjukkan reaksi tersebut sejurus mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM2 juta selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan menipu syarikat berkenaan membabitkan kerugian berjumlah RM15.5 juta, 13 tahun lalu.

Tieng Ung pada 15 Mei 2005, mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan membabitkan Akta Perindustrian Sekuriti.

Turut didakwa pada tarikh yang sama ialah jururunding kewangan bebas, Wong Jit Kang, 54, yang didakwa bersubahat dengan Tieng Ung.

Lelaki itu bagaimanapun telah melarikan diri dan dipercayai berada di Hong Kong tahun lalu sebelum waran tangkap dikeluarkan ke atas tertuduh terbabit.

Bagi tuduhan pertama dan kedua, Tieng Ung didakwa menipu membabitkan pembelian 4,250,000 unit saham PIB bernilai RM15.5 juta antara 7 dan 20 Oktober 1997 di PIB, Tingkat 27, UBN Tower, No. 10, Jalan P. Ramlee di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 87A Akta Perindustrian Sekuriti 1983 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM1 juta dan penjara maksimum 10 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Sekuriti, Roz Mawar Rozain memohon hukuman berat kerana perbuatan itu telah menyebabkan PIB kerugian besar dan diambil alih oleh syarikat lain malah Tieng Ung juga telah menikmati 'hasil' penipuannya itu.

Selepas mempertimbangkan hujah dan rayuan kedua belah pihak, Komathy menjatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda RM1 juta bagi setiap pertuduhan yang berjalan secara serentak.

Bagi denda pula, mahkamah membenarkan ia dibayar secara ansuran sebanyak 12 kali bermula 5 November ini dan jika gagal berbuat demikian pada tarikh yang ditetapkan, boleh dipenjara 30 hari.

No comments:

Post a Comment