Monday, November 22, 2010

Murtad


Derita batin sampai murtad
Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Disebabkan tidak sanggup terus menderita akibat digantung tidak bertali’ selama 10 tahun, ada wanita Islam yang bukan saja berhijrah ke luar negara, malah menjadi murtad selepas berkahwin dengan lelaki bukan Islam.

Mendedahkan kes berkenaan, Penasihat Persatuan Ibu Tunggal Permai Kasih Sungai Besi, Datuk Wan Abdul Halim Wan Othman, berkata wanita terbabit yang berusia 40-an bertindak sedemikian selepas tertekan tindakan suami asalnya yang berkahwin lain dan mengabaikan nafkah zahir serta batin.


Menurutnya, wanita itu yang berkerjaya profesional mendakwa fobia dengan ‘kata dua’ suami yang mahu melihat dia menderita sehingga mati dan membiarkannya digantung tidak bertali. “Kes ini antara puluhan, malah ratusan masalah yang dihadapi ibu tunggal digantung tidak bertali yang tewas dalam perjuangan mendapatkan hak mereka mengikut yang terkandung dalam al-Quran.

“Sepatutnya golongan seperti ini dibantu. Malangnya, pada masa ini kesukaran mereka terus tidak dibela sewajarnya sehingga ada yang nekad mengambil keputusan yang salah,” katanya.


Beliau berkata, kes wanita tertekan berkenaan yang berhijrah ke luar negara dan meninggalkan Islam, amat menyedihkan, tapi ia bukan sesuatu yang aneh kerana mereka juga memiliki naluri untuk menjalani kehidupan lebih baik.


“Tetapi, mereka digantung tidak bertali dan tidak diberikan bantuan apabila diperlukan. Keadaan itu menyebabkan harapan mereka hancur terutama apabila proses di mahkamah juga tidak memihak kepada mereka,” katanya. Wan Abdul Halim berkata, kemelut yang dihadapi ibu tunggal dan wanita digantung tidak bertali ini boleh ditangani dengan baik jika pelbagai pihak memberi tumpuan terhadap permasalahan yang dihadapi golongan berkenaan sejajar apa yang terkandung dalam al-Quran.


Beliau berkata, wanita yang sudah nekad menukar agama itu individu berpendidikan yang arif mengenai hak wanita seperti terkandung dalam al-Quran dan mereka berharap undang-undang itu digunakan.


Bagaimanapun, katanya, apa yang diharapkan mereka tidak menjadi kenyataan, malah proses ‘melepaskan diri’ terlalu sukar walaupun suami sudah berkahwin baru dan sengaja mahu melihat isteri digantung tidak bertali sehingga mati.

Menurutnya, mahkamah syariah mempunyai tanggungjawab dan amanah cukup berat bagi mendaulatkan hak wanita seperti terkandung dalam al-Quran bagi memastikan golongan itu termasuk ibu tunggal dan mereka yang digantung tidak bertali diberikan keadilan sewajarnya.


“Keadilan penting bagi memastikan golongan berkenaan dibantu bagi membina kehidupan baru selain menyelamatkan mereka daripada sikap suami atau pihak tertentu yang hanya mementingkan diri sendiri.


“Kita tidak mahu ada sesetengah wanita sepatutnya mampu menjalani kehidupan sempurna, tetapi akibat dihalang pihak yang tidak bertanggungjawab, kehidupan mereka berubah ke kancah yang tidak sihat dan merosakkan masa depan mereka,” katanya.


Tanpa berselindung, beliau tidak menafikan ada ibu tunggal yang terbabit kes yang tidak sihat, tetapi jika dikaji secara terperinci ia boleh dikaitkan dengan punca yang tidak sepatutnya terjadi, termasuk tidak dibenarkan berkahwin dengan lelaki pilihan mereka.


Katanya, banyak masalah yang menyebabkan ibu tunggal itu tertekan termasuk anak yang tamak harta sehingga tidak membenarkan ibunya berkahwin lain kerana bimbang harta itu akan dimiliki pasangan baru ibu mereka.


“Sepatutnya, masalah yang membelenggu ibu tunggal dan mereka yang digantung tidak bertali boleh diselesaikan dengan baik jika lunas Islam dijadikan asas utama kerana ia sudah pasti akan memberikan satu keputusan yang adil dan saksama.


“Bukan itu saja, ia sudah pasti menyelamatkan golongan berkenaan supaya tidak melakukan tindakan tidak bijak, termasuk berfikir untuk meninggalkan agama dianuti,” katanya.

Kena Tipu

Wanita rugi hampir RM40,000

Oleh RANIA PARAN
pengarang@utusan.com.my
MIRI 21 Nov. - Gara-gara ingin mendapatkan wang tunai yang banyak dalam tempoh segera, seorang wanita tempatan kerugian RM39,350 selepas diperdayakan seorang lelaki dari United Kingdom yang dikenalinya melalui Internet.

Mangsa yang berusia lingkungan 30-an memberitahu, dia mengenali lelaki itu sejak dua tahun lalu menerusi sebuah laman sosial di Internet.

Sejak tiga bulan lalu, katanya, mereka mula bercerita mengenai topik pelaburan dan kenalannya itu yang mendakwa bekerja sebagai peguam bela memberitahu bahawa dia merancang untuk melabur sebanyak 200,000 pound sterling (RM1 juta) bersama mangsa.

Tidak berapa lama kemudian, mangsa menerima panggilan telefon daripada seseorang yang mendakwa dirinya merupakan ejen logistik dari Kuala Lumpur.

Pemanggil itu memberitahu mangsa bahawa ada satu bungkusan yang dikirim oleh seorang lelaki dari London kepadanya namun pemanggil tidak pasti apakah kandungannya kerana bungkusan itu dibalut dengan ketat dan tidak boleh dibuka.

Sementara itu, kenalannya itu mengesahkan ada mengirimkan satu bungkusan mengandungi wang 200,000 pound sterling.

Namun demikian, ejen logistik itu meminta mangsa membayar RM4,000 untuk mendapat kelulusan kastam sekali gus bagi membolehkan bungkusan itu dihantar terus kepadanya.

Selang beberapa ketika, mangsa sekali lagi menerima panggilan daripada seorang 'pegawai kastam' di Kuala Lumpur yang memberitahu kandungan kotak itu tidak boleh diperiksa atau diimbas sebagaimana diarahkan oleh rakan sejawatannya di London.

Ejen logistik itu sekali lagi menghubungi mangsa dengan memberitahu dia memerlukan bayaran RM12,000 bagi membolehkan mangsa menuntut bungkusan itu.

Teruja dengan isi kandungan bungkusan itu, pada 2 November lalu, mangsa memasukkan sejumlah wang RM5,000 diikuti RM2,350 pada 3 November dan RM12,000 pada 4 November.

Pada 7 November, wanita itu sekali lagi memasukkan sejumlah RM9,900 dan diikuti RM5,100 pada jam 12.55 tengah hari pada hari yang sama menjadikan kesemua wang yang dimasukkan ke dalam akaun terbabit sebanyak RM39,350.

"Selepas memasukkan duit yang begitu banyak, baru saya tersedar ada sesuatu yang tidak kena. Saya rasa pihak terbabit menipu untuk memasukkan wang ke dalam akaun mereka," katanya selepas melaporkan kes itu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Andy Chia di pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Pujut, Pujut 7, semalam.

Selain itu, mangsa telah membuat laporan polis.

Menurut mangsa, setiap panggilan yang diterima adalah daripada individu yang berbeza berdasarkan bunyi suara dan masa yang berbeza.

Sunday, November 21, 2010

Kerana Internet

Belasah kerana permainan
Oleh JUNAIDI LADJANA
am@hmetro.com.my

KOTA KINABALU: Gara-gara permainan Internet, seorang remaja koma apabila dibelasah tiga rakan lelakinya menggunakan kepala tali pinggang selepas berlaku perselisihan faham di sebuah kafe siber di Jalan Sulaman Central, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, Kay Tamtali, 18, cedera parah di kepala selepas dibelasah tiga lelaki yang dipercayai tidak berpuas hati dengan permainan disertai mereka.


Difahamkan, berlaku pertengkaran mulut di antara mereka sebelum itu dan ketiga-tiga suspek yang tidak puas hati menunggu mangsa di luar kafe berkenaan.

Sebaik keluar, berlaku cabar mencabar antara mangsa dan semua suspek dan diakhiri dengan pergaduhan.


Dalam pergaduhan itu, seorang suspek melibas kepala mangsa menggunakan kepala tali pinggang, menyebabkan dia rebah dan tidak sedarkan diri.


Panik melihat mangsa terbaring berlumuran darah, semua suspek melarikan diri manakala orang ramai yang melihat kejadian itu menghubungi polis.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Rowell Marung ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya masih melakukan siasatan.


“Sebaik tiba di lokasi, polis menemui mangsa terbaring berlumuran darah sebelum dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan,” katanya.

Bomoh Muda

Bomoh 18 tahun puja kubur di Tumpat?

TUMPAT 20 Nov. - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) digesa bertindak segera ke atas seorang lelaki dan bomoh berusia 18 tahun yang dikatakan menggunakan sebuah kubur sebagai tempat pemujaan.

Kedua-duanya difahamkan membina sebuah pondok berwarna kuning sepanjang tiga meter dan lebar dua meter dengan berlantaikan mozek serta beratap daun nipah sehingga menimbulkan tanda tanya di kalangan penduduk kampung.

Seorang mangsa bomoh itu, Che Roslina Che Othman, 42, mendakwa, dia telah membuat enam laporan polis di Kelantan termasuk satu di Terengganu terhadap bomoh berkenaan namun tiada sebarang tindakan diambil.

Che Roslina juga mendakwa kerugian melebihi RM5,000 kerana terlalu taksub terhadap bomoh yang memakai nama 'Yang Mulia Tengku Mohd. Faris' itu.

"Saya telah diperkenalkan dengan bomoh itu melalui seorang kawan selepas kami sekeluarga mengalami sakit misteri, semasa berubat saya melihat sendiri dia pergi ke kubur itu untuk memuja.

"Dia membuat pelbagai permintaan tetapi saya bernasib baik kerana sebuah rumah, kereta dan geran tanah yang diberikan kepada bomoh berkenaan dapat diambil kembali baru-baru ini," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Sementara itu, tinjauan di tanah perkuburan itu mendapati dua payung berwarna kuning dipasang di atas kubur yang ditabur dengan pelbagai jenis bunga, selain terdapat sebentuk cincin dan tasbih bersaiz besar di atas kubur berkenaan.

Kesemua peralatan itu dipercayai digunakan untuk aktiviti pemujaan.

Sementara itu, seorang penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Mak Su, 70, berkata, dia pernah melarang lelaki terbabit daripada membina pondok tersebut bagaimanapun tidak diendahkan.

"Mereka cuma memberi alasan bahawa pondok ini dibina untuk mengindahkan kubur itu tetapi bagi saya ia bercanggah dengan ajaran Islam kerana saya pernah melihat bomoh ini membawa beberapa pesakit ke kubur tersebut.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa JHEAIK, Mohd. Ab. Aziz Mohd. Nor berkata, pihaknya memandang serius dakwaan tersebut memandangkan kegiatan itu bertentangan dengan ajaran Islam.

Beliau akan menghubungi Pejabat Agama Islam Daerah Tumpat dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan maklumat mengenai perkara tersebut untuk tindakan lanjut.

"JHEAIK belum menerima laporan mengenai dakwaan kegiatan pemujaan kubur itu. Insya-Allah saya akan menghubungi Pejabat Agama Daerah Tumpat esok untuk mengetahui perkembangan aktiviti berkenaan.

"Jika siasatan mendapati bahawa wujudnya unsur-unsur pemujaan kita boleh merampas bahan yang berkaitan dan kedua-dua lelaki ini boleh dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

Saturday, November 20, 2010

Ghaib Dengan Teman Internet

Peluk ibu sebelum 'ghaib'


MASJID TANAH: “Pada malam sebelum Nur Bazilah menghilangkan diri, dia tidur dengan saya di tingkat atas sambil memeluk saya dengan erat dan menyelimutkan badan tanpa menunjukkan tanda hendak meninggalkan kami sekeluarga,” kata ibu, Karimah Mahmood, 53, mengenai kehilangan anak gadisnya, Nur Bazilah Abdul Rahman, 18, dari rumah mereka di di Kampung Kubang Semang Penanti, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, pada 14 November lalu.

Karimah berkata, anaknya itu keluar dari rumah seawal jam 6.30 pagi dengan membawa sebuah beg sandang dipercayai selepas kecewa bercinta dengan seorang lelaki baru dikenali menerusi laman sembang sosial Internet.


Biarpun mengalami darah tinggi, beliau dan suaminya, Abdul Rahman Ahmad, 68, semalam, sanggup meredah perjalanan sejauh 300 kilometer dari Pulau Pinang ke Melaka semata-mata untuk mengesan anak bongsunya.

Difahamkan, anak bongsu dari lima beradik itu yang juga penuntut di sebuah kolej swasta di Ipoh, Perak, bertindak demikian selepas berlaku perselisihan dengan keluarga yang menegur perubahan dirinya selepas mengenali beberapa lelaki.


Pasangan terbabit datang ke rumah keluarga mereka di sini sejak kelmarin dan ditemani anak perempuan serta menantu mereka.


“Sebelum ini dia pernah memberitahu ada berkawan dengan seorang lelaki, tetapi dia kecewa selepas mengetahui teman lelakinya itu sudah memiliki teman wanita.


“Dia sebelum ini seorang pendiam dan kurang bercakap di rumah. Namun, sejak empat bulan lalu selepas menuntut di sebuah kolej swasta, perangainya mula berubah dan sering ingkar peraturan kolej dan keluar dari asrama bersama teman lelaki yang baru dikenali,” katanya.


Sementara itu, menantunya, Nur Hakim Ismail, 28, mengharapkan kerjasama semua pihak atau rakan-rakan yang mengenali Nur Bazilah atau lebih mesra dengan panggilan Adik, menghubunginya di talian 012-4031985 atau hubungi balai polis berdekatan sekiranya adik iparnya itu ditemui.

Menangis Konon

Remaja perempuan pencuri nangis ditahan


AMPANG: Seorang remaja berusia 16 tahun adalah antara dua suspek yang dicekup polis selepas dipercayai terbabit dalam beberapa kejadian samun di sekitar Ampang sejak dua tahun lalu.

Remaja berkenaan menangis ketakutan ketika dia dan rakannya dicekup di rumahnya di Pusat Komersial Ampang, di sini, awal pagi Rabu lalu.


Remaja yang sudah tidak lagi bersekolah itu difahamkan sudah 10 kali melakukan kegiatan samun di kedai runcit dan kedai serbaneka 24 jam di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Ampang, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan berkata, mereka dicekup ketika sedang berehat di rumah berkenaan bersama seorang lagi rakannya yang juga ketua kumpulan itu.


Katanya, kumpulan suspek lebih dikenali dengan panggilan Geng Harun bersempena dengan nama ketua kumpulan itu yang berusia 24 tahun.


“Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas kedua-dua suspek , polis turut menemui dua bilah parang dan beberapa keping kad sim telefon dipercayai disamun daripada mangsa.


“Pihak polis juga masih menjalankan saringan air kencing ke atas mereka bagi memastikan sama ada mereka positif mengambil dadah atau sebaliknya,” katanya.


Beliau berkata, kumpulan itu dikesan hanya menjalankan kegiatan pada awal pagi ke atas kedua-dua premis berkenaan kerana ketika itu kurang pelanggan.

Kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.


Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang remaja bersama tiga rakannya ditahan ketika berada dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berdekatan Hotel Flaminggo, di sini, kira-kira jam 5 pagi semalam.


Ketika dicekup semua mereka berada di dalam sebuah kereta jenis Honda Civic hitam yang sedang berhenti di bahu jalan.


Abd Jalil berkata, semua mereka berusia antara 16 dan 24 tahun dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan. Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan dalam kereta berkenaan, polis menemui tiga bilah parang dan dua bilah pisau lipat di bawah tempat duduk depan dan belakang yang dipercayai digunakan suspek bagi menyamun mangsa.

Hantaran 22 Ribu



Hantaran RM22,000
Oleh Esme Johari Wahab


SEPADAN...Elyana bersama suami selepas majlis akad nikah.
AMPANG: Penyanyi dan pelakon, Elyana selamat diijabkabulkan dengan jejaka pilihannya, Khairul Anuar Hussin, 35, dalam upacara akad nikah yang berlangsung meriah di Duchess Place, di sini, malam tadi.

Dengan sekali lafaz, pasangan berkenaan selamat diijabkabulkan oleh bapanya, Emrizal Shamsuddin pada jam 9.30 malam.
Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 23, menerima mas kahwin RM80 dan hantaran RM22,000.

Dia kelihatan anggun mengenakan baju kurung moden biru Tiffany sedondon dengan pasangannya hasil sentuhan pereka tersohor, Hatta Dolmat.



Elyana juga menerima tujuh dulang hantaran antaranya tepak sirih, sebentuk cincin berlian, jam tangan, beg dan dompet, set haruman penjagaan badan dan coklat.


Pengantin perempuan turut membalas tujuh dulang hantaran termasuk jam tangan, sepatu, dompet, set haruman dan buah-buahan.

Pasangan berkenaan mengikat tali pertunangan pada 11 Julai 2009.

Majlis persandingan pasangan itu berlangsung di Duchess Place malam ini dan majlis di rumah pengantin lelaki akan diadakan di Mentakab, Pahang, minggu depan.

Elyana, popular dengan lagu Tak Tercapai Akalmu serta Kalis Rindu selain berlakon dalam filem seram, Seriau serta Gong dan komedi remaja, Dunia Baru.