Wednesday, July 25, 2012

misteri

Dibelenggu misteri rumah dicalit, pakaian ditoreh
SYAMILAH ZULKIFLI
25 Julai 2012
Dibelenggu misteri, rumah dicalit, pakaian ditoreh
Zainon menunjukkan salah satu pakaiannya yang ditoreh, semalam.
SEREMBAN – Seorang nenek di Taman Panchor Jaya, di sini mendakwa hidup dalam keadaan tidak tenteram berikutan kejadian misteri dialaminya sejak empat tahun lalu.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Zainon, 64, mendakwa pakaiannya yang disimpan di dalam almari sering mempunyai kesan torehan.

Manakala, perabotnya pula dicalit bahan putih setiap kali meninggalkan rumah.

Paling menghairankan, katanya, tiada sebarang kesan umpilan pintu atau rumahnya dipecahkan, membuatkan dia mula buntu memikirkan kejadian misteri menyelubungi
hidupnya.

Kejadian terbaru berlaku 2 Julai lalu ketika dia yang baru pulang dari bercuti di luar negara terkejut apabila mendapati baju kurung pemberian anaknya yang disimpan di dalam
almari mempunyai kesan koyak di bahagian bahu.

Menceritakan kejadian, Zainon berkata, kejadian seperti itu kerap berlaku setiap kali dia meninggalkan rumah sama ada dalam tempoh lama atau sekejap.

“Saya tiada di rumah selama sembilan hari kerana pergi bercuti bersama keluarga dan apabila sampai di rumah saya terkejut kerana melihat beberapa pakaian saya mempunyai kesan koyak.

“Kejadian seperti ini berlaku berulang kali dan pernah juga pakaian dalam yang disimpan di dalam almari juga dikoyakkan menyebabkan saya mula bimbang dengan keselamatan diri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya, semalam.

Zainon berkata, paling menghairankan apabila pakaian yang disusun rapi di dalam almarinya hilang, namun keesokannya berada semula di tempat asal tetapi mempunyai kesan koyak.

Malah, terdapat kesan calitan hitam dalam biliknya dan calitan putih di perabot seolah-olah sebagai tanda bahawa ‘kerja-kerja’ telah dilakukan.
“Anak saya yang bimbang dengan keselamatan saya meminta saya berpindah tinggal bersama mereka, tapi saya sendiri tidak mahu kerana lebih selesa tinggal sendiri," katanya.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan, sebelum ini Zainon turut menerima gangguan pada waktu malam apabila bumbung rumahnya digegarkan dan di hadapan pagar rumahnya disimbah air.

“Saya turut membaca surah Yasin di rumah dan menggunakan perkhidmatan beberapa ustaz untuk mengesan apa yang berlaku," katanya.

Berikutan itu, dia beberapa kali membuat laporan polis berhubung kejadian itu, selain turut memasang kamera litar tertutup (CCTV) sebagai langkah keselamatan.

No comments:

Post a Comment