Terkejut ada pinjaman RM1.2j
14 Julai 2012
Hoh Chew Yue, 21, berkata, dia bertungkus-lumus bekerja selama dua tahun ini untuk menyimpan wang deposit bagi membeli sebuah kereta, sebelum memohon pinjaman bank sebanyak RM30,000 sebagai bayaran baki.
Bagaimanapun dia terkejut apabila dimaklumkan kakitangan bank terbabit pada 12 Jun lalu bahawa dia mempunyai pinjaman lain sebanyak RM1.2 juta, sekali gus menyebabkan permohonannya ditolak.
"Saya beritahu ibu bapa mengenai perkara ini dan mereka juga terkejut kerana mereka tahu saya mula bekerja pun kira-kira dua tahun lalu, jadi mustahil saya boleh buat pinjaman sebanyak itu," katanya kepada media, semalam.
Bagi mendapatkan kepastian, Chew Yue pergi ke Bank Negara keesokan harinya, namun jawapan yang diterima juga sama tetapi kali ini maklumatnya lebih terperinci apabila mendapat tahu pinjaman itu dibuat pada Februari 2011 atas namanya bersama dua individu lain.
Menurutnya, selepas laporan dibuat di Bank Negara, dia kembali ke bank tempatan di Mentakab untuk tindakan susulan, namun sekali lagi terkejut apabila mendapati baki pinjaman telah dilangsaikan dalam tempoh beberapa jam sahaja.
“Saya sangat keliru, ada individu yang tidak dikenali membuat pinjaman bank bersama saya dalam jumlah yang sangat besar dan lebih pelik ia diselesaikan dalam tempoh beberapa jam selepas sahaja laporan dibuat,” katanya sewaktu ditemui di rumahnya dekat Temerloh Jaya.
Chew Yue berkata, selepas siasatan dilakukan akhirnya bekas majikannya mengakui bertanggungjawab menyalahgunakan salinan kad pengenalan dan memalsukan tandatangannya untuk memohon pinjaman RM1.2 juta bagi membuka sebuah syarikat.
Keliru dengan semua itu, Chew Yue membuat laporan kepada Bank Negara dan polis bagi menyiasat kemungkinan ada penglibatan pihak-pihak tertentu kerana terlalu mudah pinjaman sebanyak itu diluluskan hanya menggunakan salinan kad pengenalan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor mengesahkan menerima laporan kes tersebut dan pihaknya sedang menjalankan siasatan.
No comments:
Post a Comment