RM10,000 bawah tilam hangus
14 September 2012
Mohd Noor Zainol, 65, berkata, wang itu dikeluarkannya dari sebuah bank minggu lalu bagi memudahkannya dari berulang-alik mengeluarkan wang setiap kali diminta anak bongsunya yang belajar di sebuah universiti di Pulau Pinang di sini.
Menurutnya, wang yang disimpan di bawah tilam dalam bilik atas rumahnya di Kampung Permatang Bertam di sini itu gagal diselamatkan ketika kediamannya terbakar pada jam 4.15 petang, kelmarin.
“Ketika kejadian saya bersama isteri, Noriah Abu Bakar, 60, berehat di bahagian luar rumah sementara menantikan waktu solat Asar dan terhidu bau benda terbakar sejurus selepas itu.
“Isteri saya kemudiannya bergegas untuk melihat apa yang berlaku sementara saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana mengalami masalah sakit lutut,” katanya.
Bekas pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) itu berkata, sebaik isterinya cuba memasuki rumah separuh papan dan batu itu, asap tebal mula memenuhi seluruh ruang rumah.
“Saya mengarahkan isteri tidak meneruskan usahanya memasuki rumah kerana bimbangkan keselamatan dirinya dan dalam masa sama menjerit meminta pertolongan.
“Hanya lebih kurang lima minit sahaja rumah yang diduduki selama lebih 50 tahun itu musnah bersama wang tunai, peralatan rumah dan segala dokumen penting milik kami,” katanya yang kini tinggal sehelai sepinggang.
Rumah itu diduduki Mohd Noor bersama isteri selepas tujuh anaknya yang sudah berkahwin tinggal di luar daerah, manakala anak perempuan bongsunya yang masih belajar itu akan pulang menjenguk mereka seminggu sekali.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kepala Batas, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Aziz Yusuf berkata, tiga jentera bersama 16 anggota bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kira-kira jam 4.16 petang, kelmarin.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, api marak 90 peratus dan pihaknya mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke beberapa rumah berdekatan.
Menurutnya, kebakaran dipercayai berpunca dari bilik bawah rumah itu dan jumlah kerugian setakat ini dianggarkan kira-kira RM70,000.
'Punca kebakaran masih disiasat dan tidak menolak ia kemungkinan berpunca dari litar pintas, bagaimanapun punca sebenar hanya akan diketahui selepas siasatan menyeluruh dilakukan oleh Unit Forensik Kebakaran jabatan, " katanya.
Sementara itu, kejadian terbabit mendapat perhatian beberapa pihak termasuk Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kepala Batas, Jabatan Kebajikan Masyarakat Seberang Perai Utara, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bertam, Zabariah Abdul
Wahab yang mengunjunginya sambil menghulurkan bantuan segera meringankan beban.
No comments:
Post a Comment