Wednesday, December 5, 2012

makan kertas

ARKIB : 03/12/2012

'Dikurung, dipaksa makan kertas'

SEBAHAGIAN pekerja wanita warga asing mangsa pemerdagangan manusia yang berjaya diselamatkan oleh Imigresen Selangor dalam satu operasi khas ditempatkan di Pejabat Imigresen cawangan Pelabuhan Klang, Selangor, semalam. - UTUSAN/SAHARUDDIN ABDULLAH
PELABUHAN KLANG 2 Dis. - Bekerja tanpa dibayar gaji, dikurung, kadangkala tidak diberi makan, dikasari dan dipaksa makan kertas jika melawan.
Itu antara penderaan dan seksaan yang didakwa terpaksa ditanggung oleh 105 wanita warga asing yang menjadi mangsa pemerdagangan orang selepas diperdaya sebuah agensi pekerja asing yang berpejabat di Bandar Baru Klang di sini.
Bagaimanapun, kesemua wanita yang berusia antara 18 hingga 25 tahun itu berjaya diselamatkan oleh sepasukan pegawai Imigresen diketuai Timbalan Penolong Pengarah (Penguat Kuasa) Pelabuhan Klang, Chandran Muniandy.
Kesemua mangsa iaitu 95 daripadanya warga Indonesia, Filipina (6) dan Kemboja (4) yang telah bekerja dengan agensi terbabit antara sebulan hingga enam bulan lalu diselamatkan dalam serbuan di pejabat agensi itu pukul 7.45 pagi semalam.
Turut ditahan ialah 12 lelaki yang tiga daripadanya merupakan warga tempatan dipercayai bertugas sebagai penjaga bangunan manakala sembilan lagi merupakan warga asing iaitu Indonesia (5), Kemboja (3) dan Filipina (1) yang bertindak sebagai penyelia.
Pengarah Imigresen Selangor, Amran Ahmad berkata, serbuan yang dinamakan Operasi Khas 6P itu dibuat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Anti Pemerdagangan dan Anti Penyeludupan Migran 2007 selepas pasukannya membuat pemantauan selama beberapa hari berdasarkan maklumat awam yang diterima.
"Ketika serbuan dibuat, kesemua wanita terbabit sedang dikurung di dalam enam buah bilik di tingkat tiga dan empat, bangunan pejabat agensi berkenaan yang dijadikan asrama. Setiap bilik memuatkan kira-kira 20 orang.
"Mereka kemudian dibawa ke pejabat Imigresen Pelabuhan Klang untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan bersama 12 suspek yang ditahan," kata beliau di sini hari ini.
Amran berkata, siasatan awal mendapati kesemua wanita terbabit ditugaskan sebagai pembantu rumah atau pencuci pejabat harian dan ada yang bekerja sebagai pembantu rumah secara tetap di lokasi tertentu.
Menurut beliau, mereka datang ke negara ini dengan pas lawatan sosial dan dijanjikan pekerjaan oleh agensi berkenaan dengan bayaran gaji RM700 sebulan.
"Bagaimanapun, gaji mereka tidak dibayar dengan bermacam alasan malah ada di antara mereka mendakwa didera secara emosi dan fizikal jika cuba melawan antaranya dipukul, dipaksa makan kertas serta kadangkala tidak diberi makan," ujarnya.
Tambah Amran, kesemua mangsa dibawa ke mahkamah untuk permohonan perlindungan dan kemudian dibawa ke rumah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Bukit Ledang, Damansara, Kuala Lumpur.
Beliau berkata, 12 suspek yang ditahan pula akan disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang atau Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda.
"Kita sedang mengesan pemilik agensi berkenaan yang dipercayai seorang lelaki berketurunan Cina untuk membantu siasatan," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121203/je_01/Dikurung-dipaksa-makan-kertas#ixzz2E7reqap9
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment