Remaja hilang di Cheras, jumpa di Melaka
15 Disember 2012
Mangsa Mohd Shukri Rahim, 15, menghubungi keluarganya menerusi telefon bimbit kira-kira jam 11 pagi semalam selepas pelbagai ikhtiar dilakukan untuk menjejaki remaja malang itu.
Remaja itu sebelum ini disedari tiada di rumah pada jam 6.30 pagi, Rabu lalu.
Bapa mangsa Rahim Jamuri, 40, berkata, dia mengesyaki sesuatu yang tidak baik berlaku kerana anaknya itu sebelum ini tidak pernah langsung keluar rumah tanpa memberitahunya apatah lagi keluar senyap-senyap pada awal pagi.
Menurutnya tambah memelikkan apabila seliparnya tidak terusik malah dia turut mengunci pagar rumah dengan mangga tetapi kuncinya dibawa sekali.
“Dia hanya memakai baju t dan berseluar pendek, puas saya bertanyakan rakan-rakannya yang tinggal di kawasan ini tetapi masing-masing tidak tahu di mana anak saya berada,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Menurutnya, telefon bimbit cuba dihubungi banyak kali namun gagal menyebabkan dia terpaksa membuat laporan polis selepas usaha menjejakinya gagal.
“Saya diberitahu oleh beberapa ustaz yang mengatakan anak saya masih berada berhampiran kawasan rumah iaitu di belukar berhampiran blok A3 menyebabkan pasukan bomba dan Gerakan Am dipanggil untuk membantu mengesan anak saya,” katanya.
Difahamkan anggota bomba terpaksa menjalankan operasi mencari menggunakan khidmat anjing pengesan namun gagal menemui sebarang petunjuk menyebabkan operasi dihentikan pada hari kedua.
“Kami sekeluarga tidak pernah berselisih faham dengan Mohd Shukri dan apa yang berlaku memang di luar dugaan. Saya sendiri tidak sangka perkara seperti ini boleh berlaku,” katanya.
Sembahyang hajat tepi belukar
USAHA berterusan dilakukan termasuk mengadakan sembahyang hajat dan bacaan Yasin oleh kariah Surau Yusof Al-Amin telah dilakukan beramai-ramai di satu kawasan lapang berhampiran kawasan belukar yang dikatakan menjadi laluan terakhir remaja itu sebelum hilang.
Pengerusi Suraunya Mahmud Abas berkata usaha yang dibuat bagi memohon kepada ALLAH SWT memberikan petunjuk terakhir selain usaha mencari mangsa terus dilakukan.
“Penempatan ini dahulunya bersambung dengan hutan simpan, jadi kami di sini memang akui lokasi ini agak keras kerana ada penduduk pernah terserempak dengan lembaga wanita menakutkan melintas di blok A 2 minggu lalu,” katanya
Tambahnya lagi, kejadian kehilangan yang berlaku sedikit sebanyak ada kena mengena dengan beberapa insiden pelik yang berlaku ketika pembinaan kawasan itu dijalankan.
“Ketika pembinaan rumah ini dahulu ada enam kes buruh binaan tergelincir jatuh dan ke semuanya menemui ajal,” katanya.
Dijaga harimau putih
SEMENTARA ibu remaja berkenaan Sharifah Rahimah Syed Sharif,40, berkata, melalui perbualan telefon Mohd Shukri ada memberitahu dia seperti mahu mencari seseorang dalam kawasan belukar tetapi tidak ingat siapa.
“Dia juga terdengar bunyi suara orang memanggil namanya berkali-kali berserta dengan laungan azan namun cubaannya melarikan diri dihalang sebelum dijaga seekor harimau putih.
“Sekarang dia berada di sebuah surau di Melaka, kami tidak tahu di mana tetapi kami akan ke sana mengambilnya dalam waktu terdekat,” katanya.
No comments:
Post a Comment