Thursday, December 6, 2012

mykad hilang punca bangkrap

Status muflis mengejutkan
Wartawan Sinar Harian
6 Disember 2012
Status muflis mengejutkan
Sang Ka Meng menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang tidak pernah memiliki kereta terkejut apabila mendapati dirinya diisytiharkan muflis kerana gagal membayar ansuran sebuah kenderaan mewah.

Mangsa, Sang Ka Meng, 28, kini bukan sahaja berdepan dengan tanggungan hutang yang tidak diketahuinya malah bakal kehilangan kerja sebagai tukang pendawaian elektrik di Singapura kerana telah seminggu tidak bekerja.

“Saya hanya tahu disahkan muflis selepas ditahan penguatkusa Imigresen ketika hendak ke tempat kerja 28 November lalu.

“Saya tidak dibenarkan ke luar negara atas alasan nama saya disahkan bankrap oleh Jabatan Insolvensi Malaysia kerana mempunyai tunggakan di sebuah bank atas pembelian kereta Toyota Camry,” katanya bingung mengenang nasib diri dan keluarganya.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu mengakui pernah kehilangan kad pengenalan akibat disamun pada 2010 namun pelik bank terbabit boleh meluluskan permohonan kenderaan mewah sewenang-wenangnya.

“Majikan (sekarang) mengarahkan saya menyelesaikan perkara ini dengan segera kerana tidak mahu mengganggu kerja,” katanya yang membuat aduan di Pejabat Pas Johor di sini, semalam.

Beliau turut membuat laporan polis di Tampoi kerana mengesyaki dokumen peribadinya dipalsukan pihak tertentu untuk penipuan.

Permasalahan Ka Meng mendapat perhatian Pusat Aduan Rakyat Kempas, Suhaizan Kaiat yang akan membantu mendapatkan surat kebenaran perlepasan sementara bagi membolehkan mangsa bekerja.

“Kita akan membuat permohonan di Jabatan Insolvensi untuk mengeluarkan surat perlepasan sementara dalam menyelesaikan proses bankrap ini yang dijangka akan mengambil masa yang panjang.

“Kita juga akan ke bank bagi mendapatkan dokumen perjanjian. Kehidupan lelaki ini bersama keluarganya perlu diteruskan, jika ia berlarutan ia akan menjejaskan rezeki mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment