Friday, August 31, 2012

bila ajal

Mati dalam rumah tinggal
Wartawan Sinar Harian
30 Ogos 2012
Mati dalam rumah tinggal
Mohd Azlan memeriksa mayat mangsa yang ditemui mati dalam rumah tinggal, semalam.
KULIM - Seorang lelaki warga emas ditemui mati dalam keadaan terlentang di dalam rumah tinggal di Kampung Kilang Sagu kira-kira jam 3 petang semalam.

Mangsa yang merupakan pengemis dipercayai tinggal di rumah itu sejak beberapa tahun lalu dan sering kelihatan di Pekan Kulim untuk meminta sedekah.

Ketua Balai Polis Kulim, Asisten Superintendan Mohd Azlan Abdul Kadir berkata, siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang penagih dadah.

Menurutnya, mangsa mempunyai waris tetapi mereka tidak mengendahkannya kerana tabiat buruk yang dilakukannya.

“Ketika mayat mangsa ditemui, ia masih baru dan saya percaya mangsa mati kira-kira dua jam sebelum mayatnya ditemui oleh orang ramai.

“Seorang kenalan mangsa ketika memberi kenyataan kepada polis berkata mangsa sering mengadu tidak sihat sejak beberapa minggu lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Azlan berkata, dari maklumat diperoleh, sehari sebelum kejadian, mangsa memberikan nombor telefon warisnya dan meminta kawannya itu menghubungi keluarganya sekiranya berlaku sesuatu terhadapnya.

Katanya, dari pemeriksaan dijalankan, tidak berlaku sebarang perlakuan jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa dan polis mengklasifikasikan mangsa sebagai mati mengejut.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

“Dari tinjauan dibuat mendapati kejadian ini merupakan kejadian kedua melibatkan pengemis dan saya meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membuat pemantauan dan menempatkan mereka terlibat di penempatan yang lebih baik untuk memastikan kesihatan serta kebajikan mereka lebih terjamin,” katanya.

Wednesday, August 29, 2012

buat rumah terbuka di hotel

Rancang rumah terbuka di hotel

KONSEP rumah terbuka sempena musim perayaan sudah menjadi suatu tradisi di negara ini. - Gambar hiasan


SETIAP kali tiba musim perayaan, perancangan mengadakan rumah terbuka sering muncul dalam senarai perkara yang hendak dilaksanakan. Seumpama sebuah tradisi dalam masyarakat kita, rumah terbuka adalah peluang untuk bertemu ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai yang jauh mahupun yang dekat di bawah satu bumbung.
Sempena Hari Raya Aidilfitri ini, jemputan rumah terbuka tentunya mengisi jadual kunjungan dalam kalangan masyarakat kita. Lagipun, kerana kelaziman hari raya di Malaysia disambut sepanjang bulan Syawal, ramai yang mahu mengambil peluang menganjurkan majlis tersebut.
Sebelum ini, rumah terbuka dianjurkan di kediaman persendirian, baik di kampung mahupun di bandar. Ada juga yang menggunakan ruang atau bangunan tertentu seperti khemah sementara ataupun balai rakyat di taman perumahan masing-masing.
Beberapa kediaman apartmen ataupun kondominium juga mempunyai kemudahan dewan serbaguna untuk menampung kunjungan tetamu yang ramai.
Kini, tuan rumah beralih pula kepada cara yang lebih mudah dan menarik. Mereka memilih untuk mengadakan rumah terbuka di hotel-hotel yang menyediakan perkhidmatan tersebut.
Bernilai tambah
Penyediaan hidangan lazat dan pelbagai perkhidmatan bernilai tambah oleh pihak hotel pastinya meringankan beban tuan rumah untuk mengemas, memasak dan seterusnya memberi keselesaan buat para tetamu.
Apabila banyak perkara asas rumah terbuka sudah dipertanggungjawab kepada pihak hotel, tuan rumah boleh memberi perhatian kepada tugas melayan tetamu dengan lebih lancar.
Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor ialah antara hotel yang menyediakan pakej rumah terbuka sepanjang bulan Syawal. Bermula pada harga RM49 seorang, keperluan mengadakan rumah terbuka sudah sedia dipenuhi dan dilaksanakan.
Bagi tujuan tersebut, barisan chef berpengalaman di Hotel Concorde mampu menyediakan pelbagai seleksi hidangan tradisi yang boleh menghidupkan suasana sambutan Aidilfitri.
Sajian utama seperti sate, puyuh dan ayam goreng rempah, daging gulai kawah dan kambing masak beriani boleh dinikmati. Semua kelazatan itu mengiringi keenakan lemang pulut serunding, ketupat, dodol serta banyak lagi hidangan lain. Tidak ketinggalan, susunan meja dan hiasan dewan makan mengikut tema yang dipilih juga disiapkan.
Selain itu, pakej rumah terbuka Hotel Concorde, Shah Alam turut disertai kegunaan dewan secara percuma, meja menyambut tetamu, bunga segar untuk setiap meja termasuk meja VVIP/VIP, sistem bunyi asas, tirai latar dengan maksimum 60 huruf tanpa logo dan tempat letak kereta untuk tetamu jemputan dengan kadar harga tetap.
Perjalanan acara rumah terbuka tentunya menjadi lebih tersusun dan tuan rumah boleh melayan semua tetamu yang hadir dengan hati yang tenang. Mereka tidak perlu bimbang andai makanan dan kerusi meja tidak mencukupi kerana semua itu akan diuruskan oleh kakitangan hotel.
Jika tetamu jemputan berasal dari luar daerah, tidak perlu bimbang kerana Hotel Concorde, Shah Alam, mempunyai sebanyak 381 bilik dan suit untuk tetamunya. Penginap boleh memilih unit bilik yang mempunyai pemandangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ataupun kolam renang yang indah.
Bagi anda yang telah merancang untuk mengadakan majlis rumah terbuka dan menyediakan tempat penginapan untuk tetamu jangan melepaskan peluang sempena ulang tahun ke-15 Hotel Concorde, Shah Alam kerana anda berpeluang untuk memperolehi 15 peratus diskaun jika menempah bilik secara talian. Promosi ini adalah untuk semua jenis bilik dan sah sehingga 30 September 2012.
Fleksibel, selesa dan berbaloi adalah kata kunci untuk kejayaan dan kemeriahan rumah terbuka anda. Jika ingin menempah pakej rumah terbuka atau mendapatkan maklumat lanjut sila hubungi talian 03-5512 220 serta sambungan 2122/2124. Selain itu anda juga boleh layari laman web shahalam.concordehotelsresorts.com.

melantak sebelum mencuri

Rumah Imuda dipecah masuk, pencuri sempat ratah kuih raya


IMUDA menunjukkan jeriji besi yang diumpil oleh pencuri untuk memasuki rumahnya.


KUALA LUMPUR - Rumah pelawak dan pelukis terkenal, Imuda dipecah masuk oleh sekumpulan pencuri yang sempat menjamu selera sebelum lesap dengan barangan serta wang tunai yang kesemuanya bernilai RM7,000 di Taman Datuk Ahmad Razali di sini baru-baru ini.
Kejadian itu hanya disedari oleh Imuda atau nama sebenarnya, Abdul Rahim Muda, 52, pukul 3 petang kelmarin selepas beliau bersama tiga ahli keluarganya pulang daripada bercuti raya di Pulau Pinang sejak 10 hari lalu.
Apa yang mengejutkan Imuda, kumpulan pencuri itu sempat membancuh beberapa gelas air sirap serta menjamah kuih raya yang diletakkan di dapur sebelum mereka menghilangkan diri.
Katanya, sebelum lari, mereka telah menggeledah rumah teres dua tingkat yang dihuni oleh keluarga Imuda sejak setahun lalu.
"Seluruh rumah termasuk kelima-lima bilik berselerak. Saya percaya kejadian ini dilakukan oleh tiga hingga empat orang.
"Setelah memeriksa persekitaran rumah, saya yakin penyamun berkenaan masuk ke dalam rumah setelah mengumpil jeriji besi di ruang tamu rumah dengan pemutar skru," katanya yang mula dikenali menerusi sitkom komedi Pi Mai Pi Mai Tang Tu pada tahun 1980-an.
Beliau membuat laporan di Balai Polis Ampang Jaya dengan melaporkan kehilangan komputer bimbit, empat utas jam tangan, tiga buah telefon bimbit serta wang tunai RM300.

wartawan tipu

Waspada penipu menyamar wartawan


MICHAEL (duduk di kiri) dan Man Fai (duduk di tengah) pada sidang akhbar bersama beberapa pengusaha restoran yang ditipu dua lelaki menyamar sebagai petugas media di Wisma MCA di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA menasihati pemilik restoran di ibu negara supaya berhati-hati jika didatangi oleh mana-mana individu yang mengaku sebagai wartawan dan jurugambar media cetak.
Ketuanya, Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya mendapat laporan terdapat dua lelaki yang giat menipu pengusaha restoran di sekitar Lembah Klang sejak kebelakangan ini dengan menyamar sebagai petugas media.
“Lelaki dikenali sebagai Jonathan dan Edmund ini memaklumkan pengusaha restoran bahawa premis mereka dipilih sebagai restoran terbaik di Malaysia oleh syarikat penerbitan.
“Mangsa diyakinkan bakal menerima Anugerah Restoran Terbaik Malaysia tetapi perlu bayar wang sehingga beribu ringgit kononnya untuk tujuan pengiklanan,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.
Michael berkata, Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA menerima sebanyak 10 aduan kes seperti itu membabitkan kerugian lebih RM30,000 sejak beberapa bulan lalu.

membunuh kerana mabuk

Dua wanita dibunuh lelaki mabuk

DI kawasan rumah inilah tempat berlakunya kejadian seorang lelaki yang mabuk bertindak
menikam Bibia dan Jalijah hingga mati di Kolombong, Kota Kinabalu kelmarin.


KOTA KINABALU – Bahana meneguk arak, seorang lelaki bertindak di luar batas kemanusiaan apabila membunuh dua wanita yang merupakan jiran bilik sewanya hanya kerana berang selepas ditegur meminum minuman keras tersebut dalam kejadian di Kampung Cenderakasih, Kolombong dekat sini kelmarin.
Pembunuhan pukul 7 petang itu mengakibatkan Bibia Daud, 40, dan Jalijah Jalin, 30, mati di tempat kejadian selepas masing-masing ditikam di leher dan perut oleh suspek berusia lingkungan 30-an tersebut. Kedua-dua mangsa merupakan warga Filipina.
Kejadian berlaku apabila suspek yang sedang mabuk naik berang selepas ditegur berulang kali mengenai kegiatannya itu oleh Bibia dan suaminya yang dikenali sebagai Elon, 52.
Tanpa disangka, suspek kemudian mengambil sebilah pisau lalu terus menikam leher suri rumah tersebut sebelum Elon mengejar suspek hingga berlaku pergelutan di dalam kawasan kejadian.
Bertambah malang apabila Jalijah yang baru pulang dari tempat kerja di sebuah pasar raya dirodok di perut oleh suspek ketika dia ingin memasuki rumah tersebut. Jalijah baru menyewa di situ sejak dua bulan lalu.
Difahamkan, kesemua yang terlibat tinggal di satu deretan rumah diperbuat daripada papan mempunyai 20 buah bilik dan dihuni lebih 60 penyewa.
Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun (gambar kecil) berkata, Elon yang semakin geram dengan tindakan suspek kemudian terus mengejar lelaki itu sejauh kira-kira 100 meter sambil membawa sebatang besi.
“Ekoran pergaduhan itu, kedua-duanya parah selepas mengalami pendarahan teruk. Mereka kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth.

macam kedai penjara

Umpama berniaga di pekan koboi


seorang peniaga menghulurkan barangan yang dibeli pelanggan dari celah jeriji kedainya di Taman City, Segambut semalam.


KUALA LUMPUR – Kira-kira 40 peniaga di Kawasan Perindustrian Taman City, Segambut di sini terpaksa menjalankan perniagaan menerusi celah-celah jeriji kedai demi keselamatan nyawa mereka.
Mereka yang merupakan peniaga alat ganti kenderaan di Jalan Selingsing di sini terpaksa berbuat demikian berikutan peningkatan kes jenayah samun bersenjata di kawasan itu sejak dua bulan lalu yang adakalanya sampai empat kes dalam sehari.
Tinjauan Kosmo! mendapati setiap peniaga berada dalam keadaan berwaspada dan akan melihat ke luar pintu kaca dan jeriji premis perniagaan setiap kali mereka ternampak kelibat orang yang lalu di hadapan kedai mereka.
Seorang pemilik kedai yang hanya mahu dikenali sebagai Lau, 40, berkata, dia kini terpaksa menjalankan perniagaan dengan mengunci pintu jeriji kerana masih trauma dengan kejadian disamun pada 26 Jun lalu.
“Kedai saya diserang tiga lelaki yang bersenjatakan parang kira-kira pukul 5.30 petang dua bulan lalu ketika saya hendak menutup kedai.
“Mereka langsung tidak takut walaupun kegiatan jenayah itu dilakukan pada siang hari malah mereka menyamun tiga buah lagi kedai lain selepas berjaya melarikan RM6,000 dari kedai saya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Jelasnya, keadaan jenayah di kawasan itu sangat teruk berbanding dua tahun lalu.
“Jika sebelum ini hanya jenayah ragut dilaporkan berlaku namun kini penjenayah berani menyamun premis perniagaan,” ujarnya.
Menurutnya, bukan sahaja golongan peniaga, malah pekerja di kawasan tersebut turut disamun dan diragut ketika mereka pergi dan pulang daripada bekerja.
“Perniagaan saya terjejas teruk apabila saya nekad berniaga dengan keadaan pintu kedai berkunci bagi mengelakkan disamun buat kali kedua.
“Jumlah pelanggan pula semakin kurang kerana siapa yang mahu membeli barang dari kedai yang berkunci kerana mereka perlu memilih dan melihat barangan yang diperlukan,” ujarnya.
Beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang yang terletak kira-kira 4.1 kilometer dari taman itu pada hari kejadian.
Seorang lagi peniaga alat ganti jentera berat, Ng Chee Heng, 40, berkata, dia terpaksa berniaga dengan mengunci pintu kaca kedainya demi keselamatan.

bertemu kembali

Bertemu selepas 59 tahun terpisah

NORMA (duduk dua dari kiri) bersama ahli keluarganya dan Chong (duduk di tengah) dalam pertemuan yang diatur oleh Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang wanita Cina yang dibesarkan dalam keluarga Melayu dan menganut agama Islam memperoleh hadiah cukup istimewa pada Syawal ini apabila dia akhirnya dipertemukan dengan ahli keluarganya yang sebenar selepas 59 tahun terpisah.
Meskipun kini berlainan agama, Norma Hashim, 59, seorang pesara kerajaan, cukup gembira kerana berpeluang menjalin semula hubungan kekeluargaan dengan enam lagi saudara kandungnya sejak dia diserahkan kepada keluarga angkat pada tahun 1953.
Katanya, dia telah lama berusaha menjejaki ahli keluarga kandungnya itu sebelum mereka dipertemukan tengah hari semalam hasil bantuan Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA.
“Saya diserahkan kepada keluarga angkat ketika berusia tiga bulan selepas ibu bapa kami terlalu miskin untuk menyara keluarga yang besar.
“Walaupun saya tidak lagi dapat berjumpa dengan ibu bapa kerana mereka telah meninggal dunia, peluang bertemu dengan adik-beradik pun sudah cukup menggembirakan,” katanya pada majlis pertemuan itu semalam.
Turut hadir Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong, tiga saudara kandung Norma iaitu Teo Hooi Nai, 63, Teo Hong Hing, 57, Teo Hong Meng, 71, serta beberapa keluarga terdekat.
Pada majlis itu, Norma ditemani oleh anak perempuannya yang juga seorang pegawai bank, Nuraida Mohd. Ali, 35, manakala suaminya, Mohd Ali. Awang, 61, seorang pesara swasta, tidak hadir kerana ada urusan lain yang tidak dapat dielakkan.
Kisah pencarian keluarga Norma ini pernah disiarkan oleh Kosmo! pada 21 Ogos lalu.

sejam rompak 4 kedai

Nekad sejam, rompakan 4 premis kedai 24 jam
Nik Amirulmu’Min Nik Min
29 Ogos 2012
Kelibat suspek melakukan samun ke atas pekerja salah sebuah kedai 24 di sini berjaya dirakam CCTV pr
Kelibat suspek melakukan samun ke atas pekerja salah sebuah kedai 24 di sini berjaya dirakam CCTV premis terbabit.
Seorang anggota Unit Forensik IPD Kuantan melakukan pemeriksaan ke atas barang dipercayai milik susp
Seorang anggota Unit Forensik IPD Kuantan melakukan pemeriksaan ke atas barang dipercayai milik suspek.
KUANTAN- Dua lelaki bermotosikal nekad menyamun empat premis kedai serbaneka 24 jam di sekitar Bandar Kuantan dalam tempoh kurang sejam awal pagi, semalam.

Suspek yang dipercayai penduduk tempatan berusia dalam lingkungan 20-an bertindak melakukan samun ke atas pekerja dan premis kedai di Jalan Semambu kira-kira jam 5.50 pagi sebelum melakukan perbuatan sama ke atas sebuah lagi kedai 24 jam di Jalan Beserah di sini kira-kira 10 minit kemudian.

Seterusnya kira-kira jam 6.15 hingga 6.30 pagi hari yang sama, suspek yang bersenjatakan  pisau itu turut menyamun dua lagi premis kedai 24 jam di kawasan Kubang Buaya dan Jalan Setali di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Abdul Aziz  Ahmad berkata, tindakan nekad dua suspek itu tidak membuahkan hasil yang lumayan sebaliknya mereka nyaris dicekup selepas terserempak dengan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) di persimpangan lampu Isyarat Jalan Beserah di sini kira-kira jam 6.50 pagi.

Menurutnya, berdasarkan maklumat pengadu yang juga pekerja  di keempat-empat premis terbabit, identiti suspek berjaya dicamkan berdasarkan jaket dan warna topi keledar dipakai  selain motosikal jenis Yamaha Lagenda 115Z berwarna hitam yang digunakan.

“Berdasarkan maklumat tersebut, angota MPV dikerahkan menjalankan rondaan sebelum terserempak dengan suspek di persimpangan lampu isyarat tersebut.

“Suspek cuba melarikan diri dengan memecut motosikal ke arah Lorong Air Putih 54 bagaimanapun cubaan mereka terhalang akibat jalan mati,” katanya ketika dihubungi di sini, petang semalam.

Abdul Aziz berkata, pada masa yang sama, motosikal yang dinaiki suspek turut terjatuh memaksa mereka meninggalkan kenderaan itu untuk meloloskan diri.

“Dalam cubaan mereka melarikan diri itu, salah seorang suspek tertinggal sebuah beg pinggang manakala beberapa barangan termasuk coklat dan rokok dipercayai hasil curi bertaburan di atas jalan.

“Turut ditemui dua buah pisau dipercayai senjata yang digunakan dalam kejadian samun selain beberapa dokumen penting yang mendedahkan identiti sebenar  suspek,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan dokumen yang ditemui, motosikal yang digunakan adalah milik salah seorang daripada mereka dan menggunakan nombor pendaftaran asal.

“Bagaimanapun hasil semakan rekod mendapati suspek yang berasal dari Balok dekat sini tiada rekod jenayah lampau,” katanya.

Beliau berkata, walaupun suspek berjaya meloloskan diri, namun berdasarkan maklumat yang ada, identiti mereka sudah dikenal pasti.

“Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan dan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Monday, August 27, 2012

samun guna mercedes

Bawa Mercedes menyamun

Oleh Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
MARANG: Seorang lelaki yang pernah bekerja sebagai pekerja penyelenggaraan di sebuah syarikat telekomunikasi di Karak, Pahang menggunakan pengalamannya untuk mencuri bateri pencawang syarikat telekomunikasi di sekitar daerah ini sejak setahun lalu membabitkan kerugian ratusan ribu ringgit.
Selain pengalaman itu, lelaki berusia 36 tahun berasal dari Taman Tapai Indah, Wakaf Tapai, di sini, turut menggunakan taktik membawa kereta Mercedes bersama sebuah lori setiap kali melakukan kegiatan mencurinya bagi mengaburi mata orang ramai yang kononnya dia sedang melakukan kerja penyelenggaraan di kawasan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kegiatan suspek akhirnya terbongkar selepas sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang membuat serbuan di kediamannya jam 1.30 pagi pada 24 Ogos lalu.
“Hasil soal siasat, suspek membawa polis ke sebuah rumah diubah suai menjadi tempat pengumpulan besi buruk di Kampung Tanjung, Kedai Buluh, di sini, pada jam 4.45 petang hari sama.

“Pemeriksaan menemui sebuah lori di belakang rumah itu yang di dalamnya mengandungi 75 bateri pencawang telekomunikasi dianggar seberat 1.47 tan bernilai RM33,750 dan siasatan mendapati perniagaan itu dijalankan tanpa lesen.

“Selain merampas semua barangan itu, polis turut menahan dua lelaki berusia 40 dan 42 tahun dari Kampung Tanjung, Kedai Buluh, di sini yang ketika itu berada di lokasi kejadian,” katanya pada sidang media di IPD Marang di sini, semalam.
Menurut Manoharan, dengan penahanan ketiga-tiga suspek itu, pihaknya dapat menyelesaikan 12 kes kecurian bateri pencawang telekomunikasi di Marang dilaporkan sejak Ogos tahun lalu membabitkan kerugian RM190,000. termasuk kes terbaru pada Khamis lalu apabila 16 bateri pencawang telekomunikasi milik Celcom dilaporkan hilang di Kampung Pengkalan Berangan, di sini.

Katanya, suspek utama dipercayai melakukan kegiatan itu bersama suspek berusia 42 tahun yang juga peniaga bahan lusuh sebelum menjualkannya kepada suspek ketiga berusia 40 tahun bekerja sebagai peniaga bahan lusuh selain menjual hasil curi itu kepada sebuah kedai bahan lusuh berlesen di Chendering, Kuala Terengganu. Rekod menunjukkan 360 bateri dengan berat 4.7 tan dianggarkan bernilai RM162,400 sudah dijual kepada kedai berkenaan.
“Ketiga-tiga suspek bagaimanapun tidak mempunyai rekod jenayah dan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah.

“Selain itu, polis memburu tiga lagi suspek yang dipercayai turut terbabit dalam kegiatan mencuri bateri milik syarikat telekomunikasi di daerah ini iaitu Muhammad Fairuz Embong atau dikenali sebagai Mamat Cina, 28, Kamaruzaman Mohd Nong atau Kamal, 41, dan Mohd Rizal Ismadi Ismail atau dikenali Lan Chaq, 30, dari Bukit Payung, Marang.

“Polis percaya dengan penahanan tiga suspek ini dapat menyelesaikan kes kecurian bateri pencawang yang berlaku di daerah ini,” katanya.

mogok seks daa

Wanita Togo mula mogok seks paksa presiden letak jawatan

27 Ogos 2012
Isabelle Ameganvi
Isabelle Ameganvi
LOME, Togo - Kaum wanita Togo memulakan mogok seks selama seminggu mulai hari - salah satu pendekatan kumpulan hak asasi sivil bagi menuntut presiden negara itu meletakkan jawatan.

Wanita di negara itu digesa tidak mengadakan hubungan seks dengan suami atau pasangan masing-masing mulai hari ini, kata ketua sayap wanita kumpulan Let's Save Togo, Isabelle Ameganvi.

Laporan Associated Press memetik Ameganvi berkata, tindakan itu akan mengenakan tekanan ke atas Presiden Faure Gnassingbe.

Ameganvi, seorang peguam berkata, kumpulan itu mengikut cara kaum wanita Liberia, yang menggunakan pendekatan mogok seks pada 2003 untuk menggerakkan kempen keamanan.

"Kami ada banyak cara untuk kaum lelaki memahami apa yang kaum wanita mahukan di Togo," katanya lagi.
Tindakan mogok seks itu diumumkan di Lome, ibu negara Togo pada satu perhimpunan yang diadkaan kelmarin.
Demonstrasi itu dianjurkan oleh satu perikatan yang membantah pembaharuan sistem pilihan raya, yang menurut mereka akan memudahkan Gnassingbe untuk menang dengan mudah dalam pilihan raya Oktober ini.
Gnassingbe dipilih sebagai presiden pada 2005 ekoran kematian bapanya, Gnassingbe Eyadema yang memerintah negara di sebelah barat Afrika itu selama 38 tahun.
Beliau dan isterinya tidak mengulas mengenai mogok seks ini.
Laporan AP juga menyebut bahawa perhimpunan kelmarin, yang berakhir dengan aman berbanding protes awal bulan ini, turut dihadiri ketua parti pembangkang. Lebih 100 orang ditahan dalam protes awal bulan ini.
Mogok seks ini mula mendapat perhatian rakyat Togo, yang jumlahnya dalam lingkungan tujuh juta orang.
"Mogok seks adalah tindakan yang baik memandangkan anak-anak kami ditahan di penjara. Saya percaya dengan mogok ini, kami dapat membebaskan mereka," kata Abla Tamekloe.
"Bagi saya, ia seperti berpuasa, melainkan anda berpuasa, anda tidak akan mendapat apa yang anda mahukan daripada Tuhan," katanya lagi.
Ketika ditanya sama ada suaminya akan bersetuju, Tamekloe berkata: "Mudah untuk saya lakukan. Saya sudah biasa, tetapi saya tidak pasti sama ada suami saya akan terima atau terima. Bagaimanapun saya akan menjelaskan kepada dia."
Seorang lagi wanita Togo berkata, dia menyokong mogok seks, tetapi tidak pasti sama ada boleh berbuat demikian selama satu minggu.
Laporan itu menambah bahawa meskipun mogok seks kelihatan menarik minat ramai wanita dan sebahagian kaum lelaki termasuk ketua-ketua parti pembangkang dan kumpulan hak asasi manusia tetapi tidak yakin ia akan berjaya.
"Satu minggu terlalu lama,: kata Fabre dari Pakatan Kebangsaan Bagi Perubahan.
Sebaliknya dia mengesyorkan tempoh yang pendek, kemungkinan dua hari. "Amalkan dua hari," katanya.
Beberapa pihak sangsi dengan permintaan Ameganvi.
"Mudah untuk dia bercakap sebab dia belum berkahwin," kata Ekoue Blame, seorang wartawan.
"Siapa yang dapat kawal pasangan di sebalik bilik yang tertutup," katanya lagi.

Sunday, August 26, 2012

glamour dalam blog

Popular di blog, tidak di dunia realiti?

SEKALI pun blognya, Terbang Tinggi Tinggi sangat popular di alam Internet, namun pemiliknya, Mohd. Faez Mat Rudia sebenarnya kurang dikenali di luar. Dia menggunakan nama Hamzah lan sebagai nama samaran.
.COM: Bagaimana boleh mendapat inspirasi menulis blog?
HAMZAH LAN: Saya masih ingat lagi sekitar tahun 2009, saya terbaca artikel mengenai penulis blog Red Mummy di akhbar tentang blog yang dihasilkannya. Uniknya mengenai blog itu, dia hanya menulis mengenai kehidupannya sahaja dan ia benar-benar membuatkan saya terfikir untuk melakukan perkara yang sama. Maka terhasil blog Terbang Tinggi Tinggi yang menceritakan mengenai kehidupan seharian saya pada peringkat awalnya. Bagaimanapun, lama-kelamaan penceritaan saya bukan lagi tertumpu kepada diri sendiri sahaja tetapi kepada orang lain juga. Saya mula menulis tentang cerita lucu, event dan reviu tempat makan yang menarik untuk dikongsikan bersama pengikut-pengikut di blog.
Apa treadmark blog Terbang Tinggi Tinggi?
Saya selalu melukis watak orang lidi dalam kebanyakan post yang bertujuan untuk memperjelaskan mengenai cerita yang ingin disampaikan. Bagi saya, ia juga menjadi satu tarikan untuk orang ramai mengikuti perkembangan blog saya dari semasa ke semasa. Walaupun kebanyakan jalan cerita orang lidi tersebut berunsur jenaka, sebenarnya ada mesej yang ingin saya sampaikan di sebaliknya. Jika dihayati, saya sering menyelitkan mesej-mesej mengenai kekeluargaan, persahabatan dan kasih sayang. Kalau nak tahu, sebenarnya saya hanya menggunakan software paint sahaja untuk melukis orang tersebut sebab saya tak berapa pandai nak menggunakan software lain.
5 perkara yang patut diketahui mengenai Hamzah Ian.
1. Personaliti Hamzah Ian di dunia realiti dan maya adalah berbeza sama sekali. Mungkin ramai beranggapan saya seorang yang ganas, gila-gila dan suka mencuba benda baru apabila membaca blog Terbang Tinggi Tinggi tetapi realitinya, saya seorang yang pemalu dan jarang menyertai mana-mana perjumpaan blogger-blogger kerana sifat saya yang satu ini.
2. Jika ada masalah untuk dikongsikan, saya lagi selesa share di blog dan jika terlalu personal saya akan mencari rakan-rakan blogger yang rapat. Realitinya, kebanyakan rakan-rakan saya adalah di kalangan blogger sendiri berbanding kawan-kawan sekuliah.
3. Saya tidak makan tiram. Tak kisah lah masak apa-apa pun, jika ada pilihan lain saya tidak akan memakan makanan tersebut disebabkan fobia. Disebabkan terlalu banyak makan tiram ketika baru nak berjinak-jinak dengan makanan laut tersebut saya mengalami sakit perut. Sejak itu, saya akan mengelakkan daripada memakannya.
4. Disebabkan saya mempunyai lidah kampung, saya tidak berapa gemar mencuba makanan yang ‘pelik-pelik’.
5. Perkara yang paling perlu diketahui pengikut-pengikut blog ialah nama sebenar saya bukan Hamzah Ian tapi Mohd. Faez Mat Rudin. Jadi siapa Hamzah Ian? Hamzah Ian itu memang tidak wujud. Entah bagaimana nama itu boleh terlintas di kepala semasa saya mencari nama untuk digunakan di blog.
Sempena bulan kemerdekaan ini, apa kenangan merdeka Hamzah Ian?
Saya masih ingat lagi semasa baru-baru mendapat lesen motosikal ketika berada di tingkatan empat, menjelang malam merdeka saya turut menyertai konvoi mengelilingi satu kampung sambil mengibarkan bendera Malaysia. Walaupun hanya membawa motosikal kapcai sahaja, saya tetap berasa bangga kerana dapat mengibarkan jalur gemilang.
Saya sayang Malaysia kerana...
Saya bebas melakukan macam-macam perkara tanpa sebarang halangan selagi ia tidak menyalahi ajaran Islam dan juga undang-undang negara.
Ucapan untuk pengikut-pengikut blog...
Saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada pengikut-pengikut setia blog Terbang Tinggi Tinggi yang tidak pernah jemu-jemu mengikuti perkembangannya dari semasa ke semasa. Selagi ada yang menyokong, saya akan terus menulis. =)

Saturday, August 25, 2012

temuduga cari laki

Temuduga untuk jadi calon isteri lelaki kaya


SEBAHAGIAN wanita berbual semasa mereka menunggu giliran untuk ditemu duga oleh dua kakitangan Kelab Usahawan Bujang China di Beijing pada Ahad lalu.


BEIJING - Sejumlah wanita muda di China yang bergaya dengan pelbagai fesyen dan kasut duduk di atas bangku dan memegang dokumen mengandungi maklumat tentang berat badan serta ketinggian mereka.
Mereka merupakan sebahagian daripada lebih 1,000 wanita yang menghadiri proses tapisan kendalian para kakitangan Kelab Usahawan Bujang China di sini untuk menjadi 50 calon yang dibenarkan berkenalan dengan 32 lelaki kaya.
Lelaki kaya itu mungkin bakal menjadi suami mereka.
Seorang peserta wanita menyatakan, dia sanggup menangis di dalam sebuah kereta BMW daripada duduk di tempat duduk belakang basikal.
Terdapat juga seorang lagi peserta wanita yang mahu meminta wang sebanyak AS$31,000 (RM96,069) sebagai syarat untuk berjabat tangan dengan seorang lelaki.
Wanita-wanita itu perlu berumur 20 hingga 28 tahun, mempunyai ketinggian 165 sentimeter, cantik dan lemah lembut dan sekurang-kurangnya mempunyai pendidikan kolej.
Pada Ahad lalu, wanita-wanita itu dinilai oleh pihak pengendali temu duga seperti bagaimana mereka mengendalikan tekanan dan apakah yang mereka mahu daripada seorang lelaki.
Kelab itu mengenakan syarat kepada para lelaki kaya yang mahu menyertai proses pencarian jodoh itu perlu mengesahkan kekayaan mereka dan membayar yuran sebanyak AS$31,000. - AFP

Thursday, August 23, 2012

warga asing sudah melebih

Padah tegur warga asing mabuk
Wartawan Sinar Harian
23 Ogos 2012
Padah tegur warga asing mabuk
Ramlee menunjukkan lokasi di mana dia dan rakannya diserang kira-kira 20 warga Myanmar lewat malam kelmarin.Gambar kecil: batu yang digunakan untuk membelasah mangsa
PUCHONG – Hanya kerana menegur tiga warga Myanmar yang jalan terhuyung-hayang disebabkan mabuk, seorang pekerja kilang parah dibelasah 20 rakan warga asing itu tanpa belas kasihan sehingga tengkuk dan tangannya patah di Taman Perindustrian Puchong Utama, lewat malam kelmarin.
Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam apabila mangsa, Mohd Nur Mallak, 31, duduk di tepi tangga rumah kedai di Jalan 2/1 itu bersama tiga lagi rakannya.
Rakan mangsa yang turut diserang sehingga terpaksa menerima beberapa jahitan di kepala, Ramlee Abdullah, 31, berkata, ketika kejadian dia dan rakannya duduk di situ sebelum tiga lelaki warga Myanmar muncul dalam keadaan terhuyung-hayang.
Menurutnya, rakannya menegur warga asing terbabit kerana dia terlanggar tubuh badannya  dan berkelakuan biadap selepas itu.

Katanya, berlaku pertengkaran dan sedikit pergaduhan menyebabkan seorang rakannya cedera di bibir sebelum kejadian terlerai beberapa minit selepas itu.
Ramlee berkata, dia menyangka kejadian berakhir di situ dan tidak terfikir warga Myanmar itu akan memanggil rakannya untuk membalas dendam.

Kata Ramlee, dua jam selepas itu,  dia yang ke tempat parkir motosikal didatangi seorang warga Myanmar yang mengepung dan menahannya.

Lelaki yang bertubuh kurus dan tinggi itu katanya, menepuk tangan sebanyak tiga kali sebelum muncul kira-kira 10 lagi rakannya yang lain.

Katanya, kumpulan lelaki terbabit terus menarik bajunya dan memukulnya menggunakan kayu cota, menyebabkan dia terpaksa melarikan diri ke sebuah restoran berhampiran.

Ramlee berkata, dia berlari sekuat hati meminta tolong dan terus bersembunyi di dalam sebuah restoran kerana dikepung hampir 20 lelaki warga Myanmar selepas itu.

Melihat kejadian kecoh dan kerusi meja dipecahkan, Ramlee berkata pekerja restoran terus menutup pintu kedai yang ketika itu terdapat beberapa pelanggan sedang menikmati hidangan.

“Dalam keadaan cemas itu, saya tidak perasan seorang rakan bernama  Mohd Nur tertinggal di luar restoran, dia dipukul  dengan batu bata, kayu, besi dan ditetak dengan parang,” katanya rakannya itu kemudian merangkak ke tingkat atas rumah kedai itu untuk menyelamatkan diri.

Kata Ramlee, kumpulan Myanmar itu melarikan diri sebaik melihat kereta peronda polis tiba kira-kira sejam kemudian.
Katanya, dia yang mendapatkan rakannya terkejut melihat mangsa cedera parah dan terus menghubungi ambulan untuk rawatan selanjutnya.

“Tengkuk dan tangannya patah manakala kepalanya retak akibat serangan kumpulan Myanmar itu, saya pula menerima beberapa jahitan di bahagian belakang kepala akibat dipukul dengan kayu.

“Saya akan membuat laporan di Balai Polis Bukit Puchong hari ini (semalam), disebabkan tidak dapat berbuat demikian ketika hari kejadian kerana menahan sakit,” katanya.

Sementara itu seorang saksi kejadian, Salman Mapplati, 22, berkata, dia yang duduk di kawasan tempat letak kereta di bawah rumah kedai terbabit turut menjadi mangsa serangan kumpulan terbabit.

Wednesday, August 22, 2012

pencuri telefon

Akibat kemaruk telefon pintar
Wartawan Sinar Harian
22 Ogos 2012
Akibat kemaruk telefon pintar
Imej lelaki bertubuh gempal dan berseluar pendek dirakam melarikan sebuah telefon pintar di sebuah kedai telefon bimbit.
KUALA ROMPIN - Gara-gara kemaruk memiliki Samsung Galaxy Note, seorang lelaki berbadan gempal sanggup mencuri, namun tanpa disedari, tindakannya itu dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kedai menjual telefon bimbit dan aksesori di Bandar Kuala Rompin, di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun lelaki itu licik menyembunyikan identitinya dengan memakai topi keledar dan cermin mata hitam bagi menyukarkan imejnya dirakamkan CCTV tersebut.

Peniaga kedai, Keh See Jing, 27, berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada jam 1 petang, selepas seorang pekerjanya melayan seorang pelanggan lelaki berbadan besar di sebuah kedainya.

See Jing yang ketika itu tidak berada di kedai terbabit berkata, lelaki itu dipercayai meminta pekerjanya menunjukkan sebuah telefon Samsung Galaxy Note yang berharga RM1,899 kerana berhasrat untuk membelinya.

“Saya tiada di kedai ketika itu dan hanya dimaklumkan pekerja ada pelanggan yang ingin membeli telefon itu di kedai. Saya menyuruh pekerja datang ke sebuah lagi kedai saya untuk mengambil telefon bimbit yang diinginkan pelanggan.

“Sebaik sahaja pekerja saya mengambil telefon bimbit itu, pelanggan itu meminta supaya pekerja mengambil sebuah lagi telefon yang sama jenis tetapi berlainan warna di kedai tempat dia (pekerja) mengambil telefon terbabit,” katanya.

Menurutnya, sebaik saja pelanggan itu menyuruh pekerjanya mengambil telefon pintar itu, tiba-tiba lelaki bertubuh gempal berseluar pendek terbabit dipercayai lesap dan menghilangkan diri.

“Pekerja saya yang datang semula ke kedai mendapati pelanggan itu sudah tiada, malah telefon pintar itu juga hilang dipercayai diambil lelaki terbabit tanpa disedari,” katanya.

Menurutnya, imej lelaki itu juga pernah dirakamkan CCTV di sebuah kedai menjual telefon bimbit milik rakannya di Endau, Johor kerana mengambil telefon Samsung Galaxy Tab, seminggu selepas melarikan telefon bimbit di kedainya.

“Modus operandi lelaki ini sama iaitu memakai topi keledar dan cermin mata hitam dan datang ke kedai, kononnya untuk membeli telefon bimbit, tetapi malangnya telefon yang diingininya pula dikebas,” katanya.

Menurutnya, dia juga sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin.

“Kita minta supaya peniaga kedai telefon bimbit yang lain berhati-hati dengan tindakan lelaki ini bagi memastikan kedai mereka tidak menjadi mangsa seterusnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Tuesday, August 21, 2012

duit dari seluar dalam

Sorok wang curi dalam seluar dalam
Wartawan Sinar Harian
18 Ogos 2012
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed
PETALING JAYA- Disebabkan terdesak hendak menggunakan wang untuk menyambut hari raya, seorang wanita yang bekerja di sebuah  syarikat keselamatan cuba melarikan wang sebanyak RM1,800 dengan menyembunyikannya di dalam seluar dalamnya.

Menurut sumber, suspek berusia 27 tahun berasal dari Kelantan itu turut dikesan meletak sebahagian wang tersebut di dalam tong sampah bagi memudahkannya menyeludup keluar wang tersebut dari bilik kiraan wang.

“Perbuatan jahat suspek terbongkar apabila sekeping not RM50 terjatuh dari pakaiannya ketika pemeriksaan badan dilakukan ke atasnya selepas tamat waktu bekerja,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, suspek pada mulanya tidak mengaku bertanggungjawab ke atas kehilangan wang berkenaan namun setelah didesak, dia mengaku menyembunyikannya di dalam seluar dalam manakala separuh lagi wang di dalam tong sampah.

Suspek kemudiannya memberi alasan sengaja berbuat demikian kerana suka-suka namun bertindak menukar pengakuannya dan mengatakan terdesak mahu menggunakan wang untuk membeli barangan persiapan hari raya.

Pihak pengurusan tertinggi syarikat keselamatan itu mengambil keputusan menyerahkan kakitangannya terbabit kepada polis untuk tindakan selanjutnya manakala satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan dan wanita itu kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Sunday, August 19, 2012

keretapi terpelanting

Terpelanting banyak kali

Oleh RAMLI IBRAHIM dan SHAHRUL NIZAM MOHAMAD
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TERBALIK... dua gerabak tergelincir di Kampung Sungai Yu, dekat Gua Musang.
TERBALIK... dua gerabak tergelincir di Kampung Sungai Yu, dekat Gua Musang.
GUA MUSANG: “Kami tidak ingat perkara lain kecuali mati selepas terpelanting beberapa kali dalam gerabak yang terbalik,” kata Nor Hazliza Mohd Noor, 22, seorang daripada hampir 100 penumpang yang terperangkap dalam dua gerabak kereta api Ekspres Wau yang terbalik, awal pagi semalam.
Kejadian jam 6.45 pagi itu berlaku di Kampung Sungai Yu antara Stesen Kuala Lipis dengan Gua Musang ketika Ekspres Wau dari Kuala Lumpur ke Tumpat dalam perjalanan membawa hampir 1,000 penumpang menaiki 14 gerabak untuk pulang menyambut Aidilfitri di kampung.
Dipercayai dua gerabak penumpang kelas satu dan gerabak tempat tidur yang dinaiki hampir 100 penumpang terletak di bahagian belakang terputus dari sambungan gerabak depan, menyebabkannya tergelincir sebelum terbalik di tepi bukit.

Seramai 11 penumpang cedera, lapan lagi parah, termasuk seorang luka di muka manakala dua lagi patah tangan dan patah pinggang, dan dikejarkan ke Pusat Kesihatan Merapoh untuk rawatan.

Pemandu yang menyedari dua gerabak penumpang belakang terputus terpaksa memberhentikan kereta api terbabit sejauh hampir satu kilometer sebelum mengundur semula ke tempat kejadian bagi menyelamatkan penumpang dalam gerabak terbalik itu.

kena berehat juga

Sunny berehat berlakon lucah


SUNNY LEONE


AKTRES Bollywood yang merupakan pelakon lucah, Sunny Leone menjelaskan, dia ingin berehat selama setahun daripada berlakon dalam filem porno walaupun ia sudah sebati dengan namanya.
Sunny memberitahu sebuah akhbar utama di India bahawa dia akan menumpukan perhatian terhadap tawaran berlakon filem arus perdana.
"Saya akan semakin sibuk dalam dunia Bollywood untuk sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun. Jadi, dalam tempoh itu saya tidak akan terlibat dalam apa-apa produksi lain.
"Biarlah produksi pornografi itu meneruskan filem-filem mereka, tetapi buat masa ini saya tidak akan terlibat," kata pelakon filem Jism 2 itu.
Dalam pada itu, Sunny semakin menunjukkan minatnya kepada dunia lakonan yang lebih 'bersih' apabila menyatakan kegembiraannya terlibat dalam industri itu.
"Gelaran sebagai pelakon lucah sukar untuk disisihkan daripada diri saya, tetapi ia bukan lagi menjadi sasaran. Apa yang saya mahukan ialah melakukan kerja yang terbaik dan dihargai.
"Saya berlakon di Bollywood kerana ia mempersonakan saya. Oleh itu saya terima sahaja apa-apa tawaran yang diberikan. Saya mahu lakukan apa sahaja yang boleh membuatkan saya berbangga," kata Sunny.

kepala tembus tak mati

Tengkorak buruh ditembusi besi


GAMBAR menunjukkan pancang besi menembusi tengkorak Leite.


RIO DE JANEIRO - Beberapa doktor menyatakan seorang pekerja binaan berusia 24 tahun terselamat walaupun selepas sebuah pancang besi berukuran 1.8 meter menimpa dan menembusi kepalanya.
Seorang pegawai Hospital Miguel Couto di sini memberitahu rangkaian televisyen tempatan Globo, sepasukan doktor mengeluarkan besi itu daripada tengkorak mangsa, Eduardo Leite dalam satu pembedahan yang mengambil masa selama lima jam.
"Satu keajaiban telah berlaku kerana Leite selamat dalam insiden tersebut," katanya.
Batang besi itu, katanya, jatuh dari tingkat lima sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan di sini.
Pancang tersebut menembusi belakang tengkorak. Kemalangan dan pembedahan itu dilakukan pada Rabu lalu. - Agensi

Monday, August 13, 2012

padah buat mercun

Padah mercun buatan sendiri
ROSALWANI CHE SOH
13 Ogos 2012
Zaid Ahmad
Pergelangan tangan Mohd Shahril yang hancur selepas terkena serpihan mercun buatan sendiri.
KOTA BHARU-Padah bermain mercun! Dua remaja cedera parah dengan salah seorangnya hancur di bahagian pergelangan tangan kanan selepas terkena serpihan mercun buatan sendiri ketika menyalakan bahan letupan terbabit di padang Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjung, semalam.
Kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari itu berlaku ketika kedua-duanya yang dipercayai bekerja sebagai pengangkut barang di kawasan terbabit, menyalakan 20 biji mercun bola yang diubah suai dengan diletakkan dalam sebuah bekas.
Akibat tindakan mereka itu, Mohd Shahril Affendi, 20, hancur di pergelangan tangan kanan manakala Mohd Ahmad Ismail, 19, melecur di bahagian badan dan kabur kedua-dua mata kiri dan kanan.
Kedua-dua dua mangsa dikejarkan pihak ambulans dari Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan susulan.
Pegawai Perhubungan Awam HRPZ II, Zaid Ahmad berkata, kedua-dua mangsa dalam keadaan stabil, namun mengalami kecederaan parah.
“Kini mangsa dirujuk di unit kecemasan hospital sebelum dipindahkan ke wad biasa. Dipercayai kedua-dua mangsa berasal dari Kampung  Pangkal Dalam, Pasir Mas,” katanya.
Bagaimanapun kedua-dua mangsa enggan ditemubual ketika Sinar Harian cuba mendapatkan mereka di wad kecemasan terbabit.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan dari pihak hospital.
“Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda di bawah seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 selain dipenjara lima tahu atau dikenakan denda RM 10,000.
“Saya nasihatkan agar orang ramai lebih berhati-hati dan tidak melanggar undang-undang kerana bermain mercun bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah orang lain kerana ia bakal mengundang kejadian yang tidak diingini,” katanya.
Kejadian terbabit merupakan kes keempat di negeri ini, selepas kejadian di Gua Musang, Pasir Mas dan Rantau Panjang.

Sunday, August 12, 2012

sahur di hotel

Bersahur di hotel



BERSAHUR di hotel lebih selesa dengan kemudahan bilik dan variasi makanan.



JAM di tangan menunjukkan pukul 2 pagi. Jika diikutkan, masih terlalu awal untuk bersahur. Sementara menunggu waktu sahur, kru Jurnal bersiar-siar terlebih dulu di sekitar Petaling Street yang terletak beberapa ratus meter sahaja dari Ancasa Hotel & Spa tempat kami akan bersahur hari itu.
Lokasi itu sesuai bagi individu atau keluarga untuk membeli-belah sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri kerana ia memiliki variasi aksesori perhiasan diri seperti kasut, baju dan pakaian.
Suatu ketika dahulu berbuka puasa di hotel kedengaran agak pelik. Tetapi kini ramai warga kota menjadikan amalan itu sebagai satu trend malah tidak kurang pula yang cuba untuk bersahur di hotel pula.
Banyak hotel yang menyediakan perkhidmatan itu sekarang. Sebagai contoh, Ancasa Hotel & Spa menawarkan menu bersahur sejak lebih tiga tahun lalu dengan pakej berharga RM29 untuk dewasa dan RM23 bagi kanak-kanak.
Kepelbagaian makanan dalam hidangan bufet boleh membuatkan anda kecur air liur termasuk ulam-ulaman, telur dan ikan masin, kari ayam, ikan masak kicap dan sup kambing. Senarai menu ini bertukar setiap hari.
Sebaik sahaja melangkah ke bilik hotel, suasana cukup selesa dirasakan dengan alat pendingin hawa serta tilam yang empuk. Persekitaran sebegitu memang mudah untuk seseorang melelapkan mata.
Pukul 4 pagi, tetamu hotel mula turun untuk mengisi perut sebagai persiapan berpuasa keesokan hari.
Restoran Saffron Brasserie menjadi gelanggang untuk mereka mengambil berkat bersahur sehingga tiba waktu imsak.
Menurut Pengurus Perhubungan Awam Hotel Ancasa, Melinda Marie Ambrose, kebanyakan pelanggan yang bersahur pada hari itu terdiri daripada kakitangan kerajaan yang sedang berseminar di hotel itu.
“Suasana agak meriah kerana mereka dapat berkenalan antara satu sama lain selain merapatkan hubungan sesama Islam.
“Malah, mereka juga mengambil kesempatan bertukar-tukar idea dan berbincang mengenai sesuatu perkara kerana waktu pagi otak dan fikiran masih segar” katanya.


ANEKA juadah memberi peluang kepada pelanggan untuk memilih mengikut cita rasa masing-masing.



Teruja
Jelasnya, ramai pelanggan yang menunaikan solat Subuh secara berjemaah selepas bersahur.
“Cuma saya tidak dapat turut serta kerana bukan beragama Islam tetapi saya memang teruja dengan pendekatan yang diamalkan.
“Ini kerana bangun pada waktu awal pagi agak sukar. Tidak ramai orang yang boleh melakukan perkara itu,” tutur Melinda.
Menurut seorang tetamu, Norsham Sabil, 46, yang berasal dari Shah Alam, Selangor, dia berpeluang bersahur di hotel sejak dua tahun lepas.
“Sebenarnya bersahur di hotel menawarkan pengalaman yang menarik selain tidak perlu terkejar-kejar untuk memasak,” katanya.
Barizah Zainal Abidin, 38, pula memberitahu, dia dapat tinggal di bilik yang selesa di samping boleh menikmati pelbagai jenis makanan berkhasiat.
“Pelbagai menu makanan disediakan tetapi selera lidah Melayu saya tetap mengutamakan nasi.
“Bersahur di sini juga lebih praktikal jika kita berhajat membeli-belah di pusat beli-belah berhampiran pada waktu siang atau awal malam,” ujarnya.
Bagi Tuan Hilme Khairi Tan Yusoff, 29, ini merupakan kali pertama dia bersahur di hotel bersama isterinya, Nik Nurina Nik Saidina Omar sejak berkahwin enam bulan lepas.
“Biasanya kami bersahur ala kadar sahaja iaitu dengan makan roti atau nasi goreng. Bersahur di hotel ibarat aktiviti bulan madu kami juga,” kata Tuan Hilme bergurau.
Selain Hotel Ancasa, Hotel Marriot Putrajaya juga tidak ketinggalan dengan pakej bersahur. Apa yang uniknya, ia terus dihidangkan di bilik anda. Pakej itu ditawarkan daripada 21 Julai hingga 18 Ogos ini.
Menu yang disediakan pula meliputi soto ayam, ayam gulai lemak padang, roti, kuih-muih, telur sambal, sayur lodeh jawa dan telur fung yang pasti membuka selera.
Menurut Pengurus Kanan Pemasaran dan Komunikasinya, Lydia Mae Hendaroff, pakej bersahur itu bermula pukul 3 pagi hingga sebelum waktu Subuh.
“Pelanggan hanya memesan makanan terlebih dahulu dan menetapkan masa untuk pelayan hotel membawanya ke bilik mereka.
“Makanan akan siap dihidangkan di meja bulat yang disediakan khas di dalam bilik. Selepas selesai bersahur ia akan dikemas semula,” cerita Lydia.
Ujarnya, sambutan pakej bersahur itu cukup menggalakkan, begitu juga pakej berbuka puasa.
Bagi chef hotel, Liow Toh Kai, walaupun bukan beragama Islam dia mementingkan soal pemilihan makanan halal.
“Kepuasan pelanggan menjadi keutamaan. Selain itu, menu juga bertukar setiap hari.
“Sekiranya mereka inginkan menu makanan yang berbeza ia turut boleh disediakan,” katanya.
Realitinya bersahur di hotel merupakan satu budaya baharu tetapi tidak salah untuk mencubanya.

mata malam

Melihat dalam gelap


LOUISE (kanan) dan Andy (kiri) memastikan Harvey tidak ketinggalan dalam mendapatkan pendidikan sewajarnya.


SEORANG budak lelaki berusia tiga tahun di Britain, Harvey Webb mengalami masalah penglihatan yang pelik. Dia dapat melihat dengan baik dalam gelap, tetapi ‘buta’ apabila cerah.
Untuk mengatasi masalah itu, Harvey mengenakan sepasang cermin mata hitam bagi membantu dia melihat terutamanya ketika duduk di tempat bercahaya.
Ibu bapa budak itu terpaksa menutup kesemua langsir rumah mereka sepanjang hari. Sekurang-kurangnya cara itu membolehkan Harvey menatap wajah ibu bapanya.
Masalah penglihatan yang dihidapnya itu dikenali sebagai akromatopsia. Ia bermakna dia juga mengalami buta warna dan melihat dunia dalam dua warna sahaja iaitu hitam dan putih.
Ibunya, Louise memberitahu, Harvey tidak boleh melihat sebarang kecerahan sama ada lampu mahupun cahaya matahari.
“Cahaya normal pada siang hari yang dilihatnya sama seperti kita memandang silau cahaya matahari ketika memandu. Kami perlu menyediakan suasana paling gelap agar dia dapat melihat dengan baik,” kata Louise, 35.

Sensitif
Cermin mata hitam yang dipakai Harvey direka bagi mengawal kemasukan cahaya sebanyak 10 peratus sahaja.
Keadaan itu bermakna Harvey mempunyai masalah untuk keluar bermain dan terpaksa berjaga-jaga dengan sinar matahari.
Akromatopsia dihidap oleh kira-kira 35,000 orang di seluruh dunia. Ia berlaku pada bahagian retina mata apabila sel-sel yang bertanggungjawab kepada sensitiviti warna dan cahaya tidak berfungsi sebaiknya.
Harvey dikenal pasti berdepan masalah itu pada tahun 2009 setelah ibu bapanya mengesan kelainan apabila dia berada dalam persekitaran terang.
Pada asalnya, doktor mengesahkan Harvey menghidap masalah nistagmus iaitu anak mata yang bergerak-gerak kiri ke kanan atau atas ke bawah. Namun, semasa berumur tujuh bulan barulah pakar mengesahkan dia menghidap masalah akromatopsia.
Menyedari seorang kanak-kanak memerlukan pendidikan awal sendiri, ibu bapa Harvey tidak mahu anak mereka ketinggalan. Justeru, pelbagai kaedah pendidikan awal yang bersesuaian didedahkan kepadanya.
“Seorang budak perlu belajar mengenai kehidupan melalui alam sekeliling. Mereka perlu keluar dan tengok haiwan di atas pokok atau pesawat di udara.
“Oleh kerana mata Harvey bermasalah, kami mencari kaedah lain untuk mengajarnya iaitu dengan menggunakan buku dan televisyen sebagai medium pembelajaran,” kata bapa Harvey, Andy.
Harvey kini dihantar ke sebuah pusat jagaan orang buta untuk mendapat latihan sewajarnya.
Masalah yang dihidapnya itu bermaksud dia tidak boleh memandu pada masa depan dan memerlukan bantuan sewajarnya di dalam kelas apabila mengikuti pembelajaran bersama kanak-kanak normal.
Sekurang-kurangnya dengan menyertai pusat itu, dia boleh menggunakan penglihatan yang terhad itu secara maksimum.

BEGINILAH penghidap akromatopsia melihat dunia iaitu dalam keadaan tanpa warna.


Terhad
Menurut pakar, sehingga kini tiada rawatan untuk mengatasi akromatopsia.
Perunding mata di Hospital Mata Moorfields, London, Dr. Tony Moore, berkata, penglihatan yang terhad akan mengehadkan aktiviti golongan itu.
Penghidap juga berdepan masalah keyakinan diri untuk berada di luar apatah lagi mereka sangat sensitif kepada cahaya.
“Pandangan mereka menjadi lebih teruk dalam keadaan cahaya terus berbanding kita yang akan nampak dengan lebih jelas dalam situasi begitu,” kata Moore.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Optometris Malaysia (AMO), Murphy Chan menjelaskan, keadaan seperti yang dialami Harvey perlu dikesan lebih awal oleh ibu bapa agar pembelajaran anak-anak tidak terbantut.
“Masalah itu boleh diketahui melalui pemeriksaan penglihatan oleh pengamal perubatan bertauliah. Seorang ahli optometris akan melakukan beberapa tahap pemeriksaan.
“Tanda paling utama seseorang itu mempunyai masalah ini ialah apabila dia menunjukkan simptom seperti sangat sensitif kepada cahaya dan sukar melihat” katanya kepada Jurnal.
Murphy berkata, masalah tersebut turut dipengaruhi faktor genetik. Anak boleh mewaris masalah itu daripada ibu bapa yang menjadi pembawa gen akromatopsia.
Bagaimanapun, penghidap mampu menjalani kehidupan yang lebih selesa dengan mengenakan alatan yang sesuai terutamanya cermin mata khas.
“Walaupun sehingga kini kaedah rawatan kekal belum ditemui, kanak-kanak yang menghidap masalah itu boleh memakai sepasang kaca mata khas untuk membantunya melihat.
“Selain cermin mata dengan kanta rabun dekat dan jauh, pesakit perlu mengenakan cermin mata dengan kanta merah untuk mengurangkan sensitiviti kepada cahaya.
“Kini sejenis alat terbaharu diperkenalkan iaitu eyeborg yang dikenakan pada mata untuk membantu mereka melihat warna melalui gelombang bunyi,” kata Murphy.

labah2 suka duduk dalam telinga

Labah-labah hinap lima hari dalam telinga
Wartawan Sinar Harian
12 Ogos 2012
Labah-labah hinap lima hari dalam telinga
Menakutkan, labah-labah berkenaan dapat dilihat menerusi rakaman endoskopi yang dimasukkan ke dalam telinga mangsa.
BEIJING - Labah-labah dijadikan sebagai makanan sampingan segelintir masyarakat dunia adalah perkara biasa yang sering dilihat, tetapi pernahkah anda mendengar labah-labah berada di dalam telinga manusia selama lima hari?

Di sebuah perkampungan jauh dari bandar Beijing, China, seorang wanita tidak menyangka telinganya telah dihuni oleh seekor labah-labah kecil sejak lima hari lalu.

Menurut doktor, kes berkenaan bermula apabila wanita malang itu mendapatkan rawatan kegatalan telinga di Hospital Besar Changsha kemudian mereka menemukan haiwan invertebrata pemangsa itu di dalam saluran telinganya.

"Dia amat bernasib baik kerana serangga itu tidak mencakar dinding saluran telinga serta bertelur di dalamnya," kata Dr Liu Sheng yang berjaya mengeluarkan labah-labah itu bersama kumpulan perubatan lain dengan menggunakan larutan salina ke dalam telinga mangsa.

Jelas Liu, mereka tidak dapat menarik keluar serangga itu kerana bimbang ia akan menggigit telinga mangsa.

i phone tipu

Impian raya dengan iPhone lebur
Wartawan Sinar Harian
12 Ogos 2012

KERTEH – Gara-gara diperdaya seorang lelaki, seorang juru pam yang bekerja di sebuah stesen minyak dekat sini kerugian sebanyak RM300 apabila telefon bimbit pintar jenis iPhone 4 yang dibeli dengan lelaki itu adalah telefon bimbit sampel dan tidak boleh digunakan.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 petang kelmarin, Zuraini Idris, 18, yang tertarik dan teruja dengan harga murah yang ditawarkan lelaki itu berumur lingkungan 30-an yang tiba-tiba datang ke stesen tempatnya bekerja membuat keputusan membeli telefon itu sebelum menyedari telefon berkenaan hanyalah telefon sampel.

Zuraini berkata, selepas menyerahkan wang sebanyak RM300, lelaki itu yang berpakaian agak selekeh dengan kening kanan luka segera keluar dari stesen minyak dan berlalu dengan teksi.

“Waktu didatangi lelaki itu, saya berada di kaunter di dalam kedai. Sebelum itu, dia tawarkan iPhone 4 itu dengan harga RM500 kepada pelanggan yang sedang mengisi minyak. Ada antara pelanggan yang tawarkan harga RM100 tetapi dia tak mahu.

“Lepas itu dia masuk ke dalam kedai dan tawarkan kepada saya. Ketika itu dia cakap ‘saya mahu cari makan’ dan tambahnya ‘ambik angkat RM300’. Dengan tawaran harga murah saya berminat jadi saya suruh dia buka kad Sim dan dia buka. Malah, dia turut mengambil gambar untuk tunjukkan kamera telefon itu bagus,” katanya semalam.

Bagaimanapun, menurut Zuraini, apabila dia menawarkan harga, lelaki itu yang berketinggian kira-kira 165 sentimeter itu memasukkan telefon itu ke dalam poket seluar kerana tidak bersetuju dengan harga itu.

“Justeru, saya bersetuju beli telefon itu dengan harga RM300. Saya pinjam duit kawan dan apabila saya bayar lelaki itu tergesa-gesa beri telefon yang dikeluarkan dari poketnya dan segera beredar keluar.

Tetapi, telefon itu tidak berfungsi walau saya sudah tekan butang ‘on’ dan saya rasa telefon yang diberi kepada saya bukan telefon seperti yang ditunjukkan pada saya sebelum itu.

“Pagi tadi saya pergi kedai telefon dan pemilik kedai beritahu telefon ini tak boleh guna dan hanya telefon untuk pameran,” katanya sambil mengakui keadaan telefon yang dibeli itu menyerupai telefon asli menyebabkan dia tidak menyedari ditipu.

Menurutnya, ketika itu kawasan persekitaran tempatnya bekerja agak sunyi kerana pelanggan tidak ramai sementara pekerja yang bekerja pula hanya empat orang sahaja.

Berikutan itu, Zuraini berharap orang ramai tidak mudah terpedaya dan menjadikan peristiwa yang menimpanya sebagai pengajaran.

“Melayang duit RM300 tambahan lagi raya sudah dekat. Kegembiraan untuk beraya dengan iPhone juga musnah.

“Namun, saya harap kisah saya ini dapat dijadikan sebagai ingatan kepada orang lain agar tidak terkena dan terpedaya dengan tipu helah yang sama,” katanya.

Saturday, August 11, 2012

penyelia kejam

Gadis diarah tanggal pakaian
Wartawan Sinar Harian
20 Julai 2012
Leena menunjukkan laporan polis dan surat kepada Pejabat Buruh terhadap tindakan yang dilakukan terh
Leena menunjukkan laporan polis dan surat kepada Pejabat Buruh terhadap tindakan yang dilakukan terhadapnya.
BATU PAHAT – “Hanya kerana dituduh mencuri, saya diarahkan menanggalkan pakaian saya.

“Ketika itu saya hanya menurut kerana saya baru empat hari bekerja dan tidak tahu prosedur alam pekerjaan ini,” kata Leena, 24, (bukan nama sebenar) yang mendakwa dia menjadi mangsa tindakan melampau seorang penyelia ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Leena berkata, pada mulanya dia menganggap perkara itu adalah perkara biasa, sebelum meminta pandangan keluarganya.

Menurutnya, keluarga juga menyatakan tindakan melampau itu melibatkan maruah, selain bimbangkan kemungkinan berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini di kemudian hari.

“Setelah mendapat nasihat dan mengetahui tindakan yang dilakukan oleh penyelia saya ini salah, saya terus membuat laporan polis berkaitan dengan kejadian berkenaan.

“Saya juga membuat aduan di Pejabat Buruh, kerana mahu tindakan tersebut diambil perhatian selain sebagai pengajaran kepada ketua serta majikan agar tidak melakukan sesuatu perkara dengan sesuka hati,” katanya.

Dia yang bekerja di sebuah farmasi di daerah ini berkata, kejadian berkenaan berlaku pada 16 Julai lalu, kira-kira jam 4.30 petang, ketika pertukaran syif pekerja.

"Pada mulanya, saya diarah untuk mengira hasil jualan saya pada hari terbabit dan setelah mengiranya beberapa kali, saya dapati hasil berkenaan ialah RM406.

“Bagaimanapun, setelah penyelia saya mengiranya, wang hasil jualan itu telah didapati kurang sebanyak RM50 dan kemudiannya saya dituduh mengambil wang terbabit," katanya.

Katanya, tidak berpuas hati dengan perkara tersebut, Leena diarahkan untuk menjalani pemeriksaan badan, tetapi wang yang didapati kurang itu tidak ditemui.

"Mereka seterusnya mengarahkan saya menanggalkan pakaian untuk pemeriksaan lanjut.

“Setelah mengetahui tindakan yang dilakukan ini salah, saya sememangnya cukup tidak berpuas hati kerana ia melibatkan maruah serta saya mahu tindakan melampau ini dikenakan tindakan,” katanya.

Katanya, bagaimanapun akhirnya setelah pemeriksaan terhadap jualan secara terperinci dilakukan, didapati akaun berkenaan mempunyai transaksi kad kredit sebanyak RM78.90

Sementara itu, ayah mangsa yang mahu dikenali sebagai Rahman, 78, berkata, dia terus mengarahkan anaknya membuat surat aduan peletakan jawatan serta-merta kerana bimbangkan perkara yang sama akan berulang kembali.

“Saya dan keluarga juga akan mengambil tindakan undang-undang kepada penyelia terbabit serta majikan kerana ia sesuatu perkara yang memalukan dan melibatkan maruah seorang wanita, selain pihak majikan lebih telus menjaga pekerja mereka.

“Saya juga bimbangkan kecanggihan teknologi akan mengaibkan anak saya, mungkin adanya rakaman situasi berkenaan dilakukan seterusnya disebarkan, walaupun ke semua mereka yang terlibat menafikannya,” katanya.

guru berpolitik

ARKIB : 06/08/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 18
Kesal sikap guru
Bapa prihatin
Kuala Lumpur.

Saya amat terkilan melihatkan guru guru muda masa kini yang terlalu sibuk berpolitik dalam laman sosial. Adakah mereka tak sedar yang menjadi rakan atau pengikut mereka di laman sosial kebanyakannya anak murid mereka.

Saya lihat ada guru yang menggunakan kata kata kesat menghina, mencaci majikan mereka sendiri iaitu kerajaan yang memerintah. Adakah itu nilai yang mereka mahu anak didik mereka ikuti?

Mereka perlu berhati hati dilaman sosial. Anak murid mereka lebih mempercayai apa yang mereka katakan. Lagipun kerajaan sekarang adalah majikan mereka.

Walaupun pandangan politik anda berbeza janganlah menghasut orang lain mengikut anda. Semua orang ada hak untuk berpolitik tapi biar kena cara. Guru mesti ingat mereka adalah contoh kepada anak didik mereka. Bekerjalah dengan ikhlas janganlah tanam hasad dengki dalam bekerja.

dua bil

ARKIB : 06/08/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 0
Bank masih membisu
PENGGUNA SETIA,
Kelana Jaya, Selangor.

Saya adalah pengguna setia kad kredit Maybank sejak lebih 10 tahun tanpa gagal menjelaskan bil bulanan.

Apa mendukacitakan saya, pada Februari 2012 , saya membeli sebuah laptop untuk anak saya di sebuah kedai di Plaza Low Yat Kuala Lumpur berharga RM 1,937.00.

Pada bulan berikutnya, saya menerima bil di mana pihak bank mengenakan bayaran berganda terhadap laptop tersebut, di mana dua bil didebitkan kepada saya dengan jumlah yang sama.

Pada awal Mac,saya telah membuat aduan di Maybank Cawangan Kelana Jaya dengan menyertakan resit belianya dan diberitahu keputusan akan dibuat dalam masa 45 hari.

Setelah lebih dua bulan tidak menerima apa-apa berita mengenai perkara ini, saya terus berhubung dengan Pegawai Perhubungan Pelanggan Bank yang berjanji untuk menyiasat. Tapi saya tidak menerima apa-apa berita.

Pada 11 Jun 2012, saya menulis sepucuk surat kepada pihak bank bertanyakan hal tersebut, tetapi tidak mendapat apa-apa berita sehingga ke hari ini. Harap pihak bank dapat jelaskan hal ini segera.

Friday, August 10, 2012

jadi hamba seks

Derita hamba seks berakhir
Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Derita seorang wanita warga Indonesia yang dikurung seorang lelaki dan dijadikan hamba seks selama lebih dua bulan hingga menyebabkannya mengandung berakhir apabila diselamatkan isteri lelaki berkenaan.

Difahamkan, wanita berusia lingkungan 20-an itu mula mengenali lelaki terbabit kira-kira tiga bulan lalu yang mendakwa kononnya ejen pendatang asing dan boleh membantu menghantarnya pulang semula ke negara asal.


Malangnya, sumber berkata, wanita itu bukan saja ditipu lelaki berkenaan malah terpaksa melalui detik hitam apabila dikurung dan dijadikan pemuas nafsu sebelum diselamatkan polis dengan bantuan isteri lelaki terbabit, awal pagi kelmarin.

Mangsa yang bekerja di sebuah negeri di pantai timur diperdaya lelaki berusia lingkungan 30-an berkenaan mendakwa boleh membantu menguruskan dokumen perjalanan pulang ke negara asalnya.


“Tanpa berfikir panjang, mangsa mengikut lelaki berkenaan bersama seorang lagi lelaki dipercayai rakan lelaki terbabit ke ibu kota. Mereka kemudian membawa mangsa ke sebuah kondominium di Kepong, di sini.


“Lelaki terbabit menyuruh mangsa menetap di rumah itu bersama rakannya sementara menunggu dokumentasinya selesai. Namun, selepas seminggu tinggal di rumah berkenaan, mangsa masih tidak mendapat pasport dan tiket penerbangan seperti dijanjikan,” katanya.

Menurutnya, mangsa dihalang keluar dari kondominium berkenaan selain turut dijadikan hamba seks apabila dipaksa melayani nafsu serakah lelaki berkenaan dan beberapa lelaki lain.


“Mangsa mendakwa lelaki itu dan rakannya dipercayai ahli sindiket pelacuran kerana sering membawa pulang beberapa wanita ke rumah berkenaan bersama beberapa lelaki lain yang dipercayai pelanggan kepada wanita terbabit,” katanya.

Sumber berkata, kira-kira jam 2 pagi kelmarin, mangsa yang dipercayai mengandung mengalami pendarahan teruk menyebabkan rakan lelaki terbabit panik dan bertindak menghubungi lelaki itu.


“Lelaki itu dipercayai menghantar kiriman SMS memberitahu keadaan mangsa. Bagaimanapun, kandungan SMS itu dibaca isteri lelaki itu menyebabkan wanita berkenaan terkejut.


“Wanita berusia lingkungan 30-an itu mengesyaki sesuatu sudah berlaku menyebabkan dia terus bergegas ke kondominium rakan suaminya itu sebelum menemui mangsa,” katanya.


Sumber berkata, tindakan wanita itu membawa padah apabila dia turut dikurung suaminya sendiri yang datang ke rumah berkenaan sebaik dimaklumkan rakannya mengenai kehadirannya.


Difahamkan, wanita terbabit kemudian bertindak menghubungi polis meminta bantuan sebelum sepasukan polis tiba di rumah itu dan menyelamatkan mereka.


Beliau berkata, kedua-dua suspek turut ditahan polis bagi membantu siasatan lanjut mengenai kejadian itu.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atip).

cakap tak serupa bikin

ARKIB : 07/08/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 3
Asnaf mualaf yang dinafikan hak?
DEMI KEBENARAN

SAYA terpanggil untuk meluahkan rasa sedih, kecewa dan terkilan kepada Baitulmal Jabatan Agama Islam Ipoh, Perak.

Saya mempunyai seorang sahabat kaum Cina campuran India yang beragama Buddha.

Sejak Julai 2011 beliau telah memeluk agama Islam secara sukarela memandangkan beliau telah lama tinggal di kalangan Melayu beragama Islam.

Saya telah membantu dan menemaninya sewaktu melafazkan kalimah syahadah tersebut. Sahabat saya itu seorang yang buta huruf akibat kesusahan keluarga dan langsung tidak pernah bersekolah.

Disebabkan ketiadaan sijil kelayakan maka dia sangat sukar mendapatkan pekerjaan. Sebelum ini beliau pernah bekerja di bengkel motosikal milik abang kandungnya. Namun setelah dia diketahui memeluk agama Islam beliau telah diberhentikan serta-merta dan di pulau oleh abangnya. Maka beliau kini hilang punca rezeki dan terpaksa menyewa di tempat lain.

Saya telah menulis dan mengisi borang bantuan mualaf dan zakat bagi pihaknya (disaksikan oleh beliau sendiri) serta mendapat kelulusan daripada ketua kampung.

Seperti yang diketahui, salah satu golongan yang layak menerima bantuan zakat adalah golongan mualaf tetapi hampir setahun permohonan itu terpinggir dan tidak diketahui jawapannya. Sudah berkali-kali dihubungi dan jawapannya masih sama. Bersabar dan menunggu kerana pihak Baitulmal banyak kerja lain.

Malah saya pernah membawa sahabat saya ini sendiri ke Baitulmal untuk berbincang dengan pegawai berkenaan dan jawapan yang diberikan cukup menghampakan iaitu ramai lagi yang menunggu. Sampai dua atau tiga tahun baru dapat bantuan.

Baru-baru ini sekali lagi saya menghubungi pegawai dari Baitulmal dan salah seorang daripada pegawai memeriksa dan mengatakan bahawa mungkin pegawai dulu tak buat kerja, terlepas pandang, banyak urusan lain dan sebagainya.

Tahun lepas salah seorang pegawai telah berjanji akan datang menyiasat pada Hari Raya Haji tahun lalu. Namun setelah semuanya berlalu dan banyak kali dihubungi mereka menyatakan bahawa pegawai mereka sibuk.

Janji tinggal janji. Malah dia tidak berani berjanji sama ada sahabat saya itu berjaya mendapat bantuan tersebut atau pun tidak disebabkan sahabat saya ini mempunyai keupayaan untuk bekerja.

Saya percaya pada slogan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan. Namun jika golongan seperti ini ditindas tak mustahillah kegiatan jenayah akan terus meningkat saban hari.

Pada pandangan saya, sahabat saya wajar diberi bantuan memandangkan dia tidak tahu membaca dan langsung tidak dihantar bersekolah.

Berpuluh kali beliau memohon pekerjaan baik kemahiran mahupun sebagai pengangkat barang. Rata-rata memerlukan pekerjanya tahu membaca, menulis dan mengira sedangkan sahabat saya ini golongan terpinggir yang tidak mendapat apa-apa kebajikan.

Saya sebagai seorang umat Islam malu dengan layanan yang diberikan oleh pegawai dari jabatan tersebut yang menganggap golongan sebegini pengemis yang gemar meminta-minta pada halnya mereka tidak berada di tempat golongan seperti ini.

nak bersahur pun tak senang

ARKIB : 08/08/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 2
Suami isteri bersahur disamun
Oleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM
utusanktn@gmail.com

KUANTAN 7 Ogos - Sepasang suami isteri yang baru bangun untuk bersahur terkejut apabila mendapati rumah mereka di Kampung Plentong Karak, Bentong, dimasuki empat penjenayah semalam.

Dalam kejadian pukul 4 pagi itu, keempat-empat suspek dipercayai memasuki rumah tersebut melalui pintu depan yang diumpil dengan pemutar skru sebelum mengikat kedua-dua mangsa yang berusia 40-an.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Aziz Salleh berkata, seorang daripada suspek terbabit mengawal mangsa manakala tiga lagi menggeledah rumah mereka sebelum mengambil wang tunai RM500, telefon bimbit serta barang kemas yang ditemui dalam almari di bilik tidur.

"Selepas setengah jam menggeledah rumah mangsa, empat suspek terbabit kemudian melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran," katanya ketika di hubungi di sini hari ini.

Aziz berkata, mangsa yang bekerja di sebuah syarikat swasta kemudian berjaya membuka ikatan lalu membuat laporan di Balai Polis Karak.

Katanya, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong bergegas ke tempat kejadian bersama Unit Anjing Pengesan (K-9).

Tambahnya, susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 30-an yang dipercayai dapat membantu siasatan kejadian tersebut.

Katanya, lelaki terbabit masih ditahan di lokap Balai Polis Bentong bagi membantu siasatan berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Sehingga kini, jumlah keseluruhan kerugian yang dialami mangsa juga masih dalam siasatan polis," katanya.

padah campak anak anjing

ARKIB : 08/08/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 0
Campak enam anak anjing satu demi satu, Kumbang dipenjara sebulan

KUCHING 7 Ogos - Seorang lelaki dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencampak enam ekor anak anjing dari tingkat satu sebuah kedai pada pertengahan bulan lalu.

Kumbang Jali, 55, dari Demak Laut mengaku bersalah mencampak anak-anak anjing itu satu persatu sehingga kesemua haiwan itu mati pada pukul 7 malam, 18 Julai lalu di bahagian depan sebuah kedai di Jalan Setia Raja di sini.

Majistret Maris Agan menjatuhkan hukuman mengikut Seksyen 3(1) Ordinan Kezaliman Haiwan 1953 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, Kumbang didakwa melakukan keganasan terhadap binatang sehingga menyebabkan kematian.

Sehari selepas perbuatan kejam itu dilakukan, Persatuan Pencegahan Kekejaman Haiwan Sarawak (SSPCA) menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian itu.

Orang awam yang prihatin menyerahkan bangkai haiwan berkenaan kepada pihak SSPCA sebelum laporan polis dibuat yang membawa kepada penahanan lelaki terbabit pada 2 Ogos lalu.

Tuesday, August 7, 2012

oku jadi wira

Surirumah disamun, anak OKU jadi wira
Wartawan Sinar Harian
6 Ogos 2012
Surirumah disamun, anak OKU jadi wira
Anak kedua Khatijah, Nor Ibrahim Salleh menunjukkan luka pada tangan ibunya yang terpaksa menerima sembilan jahitan dipercayai dikelar penyamun dalam kejadian di kediaman mereka
KUALA TERENGGANU - “Saya tidak sangka, walaupun dia ‘anak istimewa’, tetapi dia masih mampu berfikir untuk menyelamatkan saya daripada teruk dibelasah dengan cara menyemburkan air kepada penyamun itu,” kata Khatijah Abdul Ghani, 28.

Ibu kepada empat anak itu berkata, tindakan anak ketiganya, Mohd Izzam Salleh, 8, Orang Kurang Upaya (OKU) kategori pertuturan itu berjaya menyelamatkan nyawanya semasa bergelut dengan seorang penyamun dalam satu kejadian di kediamannya, di Kampung Lerek, Tepoh di sini, Jumaat lalu.

Menceritakan detik cemas itu, Khatijah berkata, semasa kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari iaitu waktu solat Jumaat, hanya dia bersama tiga lagi anaknya termasuk Mohd Izzam berada di rumah, manakala suaminya, Salleh Awang, 45, dan anak sulungnya, Ahmad Ikhwan Salleh, 11, menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran.

“Ketika itu, saya sedang mencuci baju di bilik air dan tidak menutup pintu dapur untuk memudahkan saya mengambil air, memandangkan paip air berada di luar rumah.

“Sebelum itu, saya ada mendengar suara seorang lelaki bertanyakan sama ada ingin membeli kelapa atau tidak memandangkan suami saya merupakan seorang peniaga di pasar borong,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Khatijah berkata, tanpa sempat memberikan jawapan, secara tiba-tiba dia terasa ada benda tajam dihunus ke lehernya sebelum suspek menyuruh dia menyerahkan rantai yang dipakainya.

“Ketika itu, saya baru sahaja hendak berpaling melihat ke arah suara lelaki itu, namun hanya sempat memandang dia yang memakai topi keledar sekali lalu sahaja kerana dia terlalu pantas mencengkam leher saya dengan kuat dari belakang, sambil mengacukan pisau rainbow.

“Saya langsung tidak tahu di mana datangnya kekuatan untuk berlawan dengan suspek walaupun ketika itu, sedar nyawa saya dalam bahaya,” katanya.

Menurutnya, semasa sedang bergelut kira-kira hampir setengah jam itu, anaknya Mohd Izzam ternampak kejadian itu dan mungkin niat ingin membantunya, dia yang mempunyai masalah pertuturan menangis sekuat hati.

“Mungkin kerana ingin menyelamatkan saya, Mohd Izzam menangis sekuat hati dengan harapan jiran dapat mendengar sekali gus pada masa sama, dapat menakutkan suspek.

“Bagaimanapun, suspek langsung tidak mengendahkan tangisan Mohd Izzam dan disebabkan itulah, dia bertindak mengambil paip air berdekatan lalu menyembur ke arah suspek,” katanya.

Menurutnya, mungkin tidak tahan dengan semburan air paip itu, suspek terus cabut lari dengan meninggalkan pisau rainbow itu dan seliparnya, namun suspek sempat merampas sebahagian rantai di leher yang putus semasa sedang bergelut.

Dalam kejadian itu, Khatijah bukan sahaja kerugian hampir RM10,000 malah dia turut mengalami kecederaan di bahagian tangan akibat dikelar dengan pisau selain lebam pada mata kanan, dipercayai ditumbuk dan cedera di kepala dipercayai terhantuk pada dinding bilik air serta diterajang oleh suspek.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi semalam mengesahkan kejadian.

lori budu eksiden

3 tersepit dalam lori budu
Wartawan Sinar Harian
7 Ogos 2012
3 tersepit dalam lori budu
Operasi perniagaan sempena Ramadan di gerai ayam pusing milik Amshari Abdullah tertangguh seketika berikutan sebahagian gerainya itu dirempuh sebuah lori satu tan yang membawa m
DUNGUN– “Selepas terdengar dentuman kuat, saya menoleh ke belakang dan terlihat tiga orang tersepit dalam lori yang terbalik,” kata Zainun Mohd, 68, saksi kemalangan melibatkan sebuah lori dan Perodua Kelisa merempuh gerai ayam pusing di sini, pagi semalam.
Ketika kejadian, Zainun bersama suaminya, Abdullah Othman, 73, sedang membuang sampah di pekarangan rumahnya sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat berpunca daripada kemalangan melibatkan dua kenderaan itu.
Zainun berkata, dia cemas seketika apabila melihat lori muatan kotak bahan makanan sebahagiannya mengandungi budu dari arah Besut menuju ke Kuantan, Pahang itu terbalik manakala tiga penumpang termasuk pemandunya bertindih antara satu sama lain.
Katanya, tanpa berlengah dia terus meluru ke arah jalan raya sebelum menahan sebuah lori lain yang secara kebetulan melalui kawasan itu untuk meminta bantuan bagi menyelamatkan mangsa yang tersepit.
“Nasib baik gerai anak makcik belum beroperasi lagi, jika tidak mungkin dia juga akan menjadi mangsa,” katanya.
Sementara itu, akibat rempuhan berkenaan, beberapa barang di gerai ayam pusing milik anak Zainun, Amshari Abdullah, 28, dilaporkan turut rosak.
Tiga mangsa yang tersepit itu termasuk pemandu lori, Omar Salleh, 43, serta dua kelindannya masing-masing Ahmad Shafarin Omar, 41, dan Mohd Asri Ismail, 50, berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam.
Omar Salleh dari Besut dilaporkan masih tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawa-tan lanjut.
Dua lagi kelindan lori dan seorang pemandu Perodua Kelisa lelaki Melayu berumur 30-an hanya cedera ringan dan menerima rawatan di Unit Pesakit Luar Hospital Dungun.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kemalangan kira-kira jam 9 pagi di Kilometer 66.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan itu masih dalam siasatan pihaknya.

lori tempoyak bertembung

Pemandu nyaris maut, kereta bertembung lori tempoyak
Wartawan Sinar Harian
7 Ogos 2012
Pemandu nyaris maut, kereta bertembung lori tempoyak
Keadaan kereta dan lori terbabit setelah mengalami kemalangan, pagi semalam.
KOTA BHARU-Seorang pemuda nyaris maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan lori seberat dua tan yang penuh dengan muatan tempoyak di Jalan Kota Bharu- Kuala Krai, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, Mohd Irwan yang memandu kereta jenis Proton Wira, mengalami kecederaan di muka, tangan dan kaki.
Manakala Mohd Zamri Mad Noor, 31, yang memandu lori, bersama dengan dua kelindannya hanya mengalami cedera ringan.
Mohd Irwan berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas selesai bekerja di sebuah kilang di Padang Tembak di Pengkalan Chepa di sini.
“Saya tidak tahu bagaimana kemalangan itu berlaku, kerana apabila tersedar saya sudah berada di tepi jalan. Kemungkinan ketika itu saya terlelap seketika kerana penat bekerja pada waktu malam,” katanya.
Dia bagaimanapun bersyukur terselamat dan hanya cedera ringan dalam kemalangan itu.
“Ketika berada di luar, saya terkejut melihat keadaan kereta yang remuk. Mujurlah saya tidak mengalami kecederaan teruk kerana kemalangan itu berlaku begitu pantas” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Zamri, berkata dia bertolak dari Machang kira-kira jam 7 pagi untuk menghantar bekalan tempoyak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong, di sini.
“Sebaik tiba di tempat kejadian secara tiba-tiba kereta yang dipandu mangsa dari arah Kota Bharu memasuki laluan bertentangan sebelum kereta itu kemudian merempuh hadapan lori dan berpusing beberapa kali.
“Saya hanya mampu mengelak dengan membelok ke kanan sebelum terbalik dan terseret beberapa meter,” katanya.
Beliau berkata, dia bagaimanapun bersyukur kemalangan itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepadanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darul Naim, Ahmat Radi Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 9.45 pagi dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian dengan kekuatan empat anggota dan sebuah jentera.
“Setibanya di tempat kejadian, mangsa sudah berada di tepi jalan selepas dikeluarkan dengan bantuan orang ramai,” katanya.