Sunday, April 21, 2013

cyber jaya ada cyber ular

Ular sawa 200 kilogram Cyberjaya ditangkap


ANGGOTA polis memeriksa kenderaan jenis Toyota Hilux yang dinaiki mangsa tembak dari jarak dekat di Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.


CYBERJAYA - Tiga anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) terpaksa mengerah kudrat masa selama empat jam sebelum dapat 'memberkas' seekor ular sawa jantan seberat 200 kilogram berhampiran sebuah tapak pembinaan di Taman Tasik Cyberjaya di sini semalam.
Reptilia sepanjang lapan meter itu ditemui pada pukul 12.50 pagi oleh seorang pekerja tapak tersebut yang pada mulanya menyangka ular tersebut merupakan batang pokok yang merintangi jalan.
Ketua Operasi JPAM Putrajaya, Azman Salleh berkata, ular itu merupakan reptilia terbesar yang pernah ditangkap pihaknya.

soalan memihak kpd perempuan

ARKIB : 10/04/2013

Soalan peperiksaan SPM lebih memihak kepada pelajar perempuan?

"SAYA belajar bersungguh-sungguh, tumpukan perhatian semasa guru mengajar, mengulang kaji pelajaran, tanya cikgu jika tak faham dan banyak buat latihan." Biasanya inilah jawapan apabila ditanya sebab pelajar cemerlang dalam peperiksaan.
Memang benar sikap pelajar sebegini menjadi faktor penting menentukan kejayaan akademik. Bagaimanapun terdapat beberapa faktor lain seperti faktor guru, pentadbir sekolah, kemudahan pengajaran dan pembelajaran, prasarana sekolah, keluarga, rakan sebaya, masyarakat dan persekitaran luar sekolah.
Berdasarkan kajian, seorang pakar pendidikan di Pusat Permata Pintar Negara, Prof. Dr. Rahayah Arifin mendapati prestasi pelajar lelaki dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semakin menurun sejak 15 tahun lalu berpunca daripada bentuk soalan peperiksaan yang lebih memihak kepada pelajar perempuan.
Menurutnya, soalan SPM lebih menjurus kepada kemahiran menulis, teks dan linguistik yang lebih dikuasai pelajar perempuan. Manakala soalan yang mengandungi elemen berkaitan angka, grafik, visual, logik dan matematik tidak ditekankan dalam SPM sedangkan inilah yang lebih dikuasai pelajar lelaki.
Dalam menyediakan set soalan untuk sesuatu kertas peperiksaan biasanya ada keseimbangan antara tiga aras kesukaran iaitu soalan mudah, soalan sederhana dan soalan yang lebih mencabar. Soalan juga hendaklah meliputi semua tajuk utama dalam sukatan pelajaran supaya taburannya lebih menyeluruh.
Eloklah Lembaga Peperiksaan Malaysia meneliti populariti soalan berdasarkan jantina ini dan menilai kesesuaiannya, dalam proses pembinaan soalan untuk kita berlaku adil. Keseimbangan soalan yang memihak kepada pelajar lelaki dan perempuan wajar diambil kira. Kasihan pelajar lelaki kerana selama ini bentuk soalan lebih memihak kepada pelajar perempuan.
Namun pelajar lelaki perlu membaiki disiplin diri. Kita kerap mendengar pelbagai masalah pelajar seperti ponteng sekolah, ponteng kelas, kurang memberi perhatian ketika guru mengajar, tidak minat belajar, malas berfikir serta tidak mengulangkaji pelajaran. Juga tiddak buat kerja rumah, tiada jadual belajar, selalu berkeliaran dan sebagainya.
Jika pelajar lelaki masih terus mendominasi sikap negatif tersebut, prestasi cemerlang SPM akan tetap memihak kepada pelajar perempuan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20130410/fo_03/Soalan-peperiksaan-SPM-lebih-memihak-kepada-pelajar-perempuan#ixzz2R2waJlat
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sunday, April 14, 2013

orang lain buat salah



LUQMAN menunjukkan SMS ugutan daripada individu tidak dikenali di Seberang Jaya, Pulau Pinang semalam.



SEBERANG JAYA - Gara-gara wajah dikatakan mirip pelajar yang terlibat dalam kejadian pukul di sebuah sekolah menengah di sini seperti yang tersiar di internet baru-baru ini, seorang pelajar tingkatan tiga sekolah itu kini hidup ketakutan selepas menerima ugutan daripada individu tidak dikenali.
Luqman Al Hakim Ahmad, 15, mendakwa, dia menerima 50 khidmat pesanan ringkas dan lebih 100 panggilan telefon berunsur ugutan serta cacian.
"Ramai menyangka saya yang membelasah pelajar terbabit sebab susuk tubuh, wajah dan warna kulit saya dikatakan mirip salah seorang pelajar terlibat," katanya ketika ditemui di sini malam kelmarin.
Menurutnya, ia semakin serius apabila akaun laman sosial Facebook dan Twitternya turut menjadi sasaran kemarahan yang mahu memukulnya selain mengecam ibu bapanya.
"Sebenarnya kes pukul ini berlaku bulan lalu dan ketiga-tiga pelajar berkenaan sudah dibuang sekolah tetapi tiba-tiba sahaja klip video berkenaan tersebar dan mereka sangka saya terlibat," ujarnya.
Klip video selama 1 minit 32 saat itu memaparkan seorang remaja berpakaian seragam sekolah dibelasah sekumpulan remaja lain dipercayai rakan sekolah dalam sebuah kelas.
Luqman berkata, bimbang dengan keselamatan dirinya, dia membuat laporan di Balai Polis Seberang Jaya Rabu lalu.
Jelasnya, dia amat tertekan dengan kes itu dan berharap orang ramai tidak terus menuduhnya tanpa bukti serta tidak mengaitkan ibu bapanya dengan kejadian itu kerana dia ingin menumpu perhatian kepada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah yang akan diduduki pada tahun ini.

menyamar wanita jd doktor

Lelaki menyamar doktor wanita

Soh Hock Seng menunjukkan gambar suspek seorang lelaki menyamar sebagai doktor perempuan di Melaka, semalam.
MELAKA 13 April - Taktik seorang lelaki yang menyamar sebagai doktor wanita untuk bekerja di sebuah klinik swasta terbongkar dalam serbuan di premis berkenaan di Batu Berendam di sini Khamis lalu.
Ketika ditahan, suspek berusia 26 tahun, berasal dari Sabah serta menggunakan nama Doktor Ika itu sedang bertugas sebagai doktor sambilan di klinik berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Supritendan Soh Hock Sing berkata, siasatan mendapati suspek menggunakan Perakuan Amalan Tahunan palsu yang kononnya dikeluarkan Majlis Perubatan Malaysia bagi memohon pekerjaan di klinik itu.
Katanya, suspek juga didapati menggunakan cop palsu tertera namanya sebagai doktor bertauliah pada dokumen rawatan dan sijil sakit yang dikeluarkannya.
"Suspek memulakan pekerjaannya di klinik berkenaan sejak awal tahun ini antara pukul 6 petang hingga 10 malam dengan bayaran RM45 sejam.
"Siasatan awal mendapati suspek pernah menjalani kursus kejururawatan di sebuah kolej jururawat di Selangor. Dia juga pernah mengikuti kursus pengajian kejuruteraan di sebuah universiti di Johor namun tidak menamatkan kedua-dua pengajiannya," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka (IPK), Bukit Beruang di sini hari ini.
Hock Sing memberitahu, siasatan pihaknya turut mendapati suspek pernah menyamar sebagai doktor di Perak dan Pahang serta bertugas sebagai doktor sambilan di lima buah klinik swasta di negeri ini termasuk di Sungai Udang dan Melaka Baru di sini.
Katanya, pihaknya melakukan siasatan setelah menerima laporan daripada klinik berkenaan Isnin lalu.
"Klinik itu mula mengesyaki identiti lelaki berkenaan selepas menerima aduan daripada isteri kepada salah seorang pesakit.
"Setelah tertangkap barulah pihak klinik mengetahui tentang penipuan yang dilakukan," katanya yang memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan menyamar.

Saturday, April 13, 2013

tipu cara pishing

Enam penipu masuk perangkap


MOHD. RODWAN menunjukkan sebahagian peralatan yang dirampas daripada enam individu pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Niat jahat seorang wanita tempatan yang bersekongkol dengan lima lelaki Nigeria untuk mencuri wang RM5,000 milik seorang pelajar terbongkar apabila kesemuanya diberkas Rabu lalu.
Timbalan Pengarah II (Operasi/Risikan), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusuf berkata, penangkapan kesemua suspek berusia antara 25 hingga 35 tahun tersebut dibuat selepas pihaknya menerima satu laporan daripada seorang pelajar wanita yang mendakwa ditipu menerusi kaedah pishing.
Pishing ialah penipuan dengan menggunakan pautan ke laman sesawang palsu sesebuah bank. Ia dihantar secara rambang ke e-mel dan orang ramai selalunya akan ditipu selepas mengemas kini akaun masing-masing melalui pautan itu.
Menurut Mohd. Rodwan, mangsa yang merupakan penuntut universiti tempatan berusia 27 tahun terpedaya dengan modus operandi sedemikian sehari sebelum tangkapan dilakukan.

Friday, April 12, 2013

pengemis kacak jadi jutawan

Pengemis hot jadi kaya gara - gara internet


Cheng Guorong seornag pengemis menjadi kaya dan terkenal selepas gambarnya tersiar di internet.
Walaupun selekeh,berambut panjang ,lelaki ini memiliki wajah yang kacak yang menarik perhatian ramai peminat.Dia di gelar pengemis paling seksi di China dan turut mengecapi status simbol seks di Internet.Nasibnya berubah apabila gambarnya dirakamkan oleh seorang jurugambar amatur.

Pakaian semasa dia mengemis turut menjadi ikon fesyen.Dia juga banyak menerima tawaran iklan dan menjadi model peragaan.Dia juga ditawarkan sebagai pelakon dan akan berlakon dalam filem yang mengisahkan kehidupannya.Sumber

beranak masa berjalan


Thursday, April 11, 2013

tangki najis meletup

Tangki najis meletup, dua beranak cedera
Wartawan Sinar Harian
11 April 2013
Tangki najis meletup, dua beranak cedera
Surani yang baru pulih daripada melecur di bahagian muka menemani anaknya melecur seluruh muka.
ALOR GAJAH - Tindakan dua beranak membersihkan tangki najis menggunakan karbait mengundang padah apabila tangki itu meletup dalam satu kejadian di sebuah taman perumahan di Masjid Tanah, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu mangsa, Zakuan Syahmi Zaili, 9, melecur seluruh muka manakala ibunya, Surani Jayali, 48, cedera di muka akibat terkena api yang menyambar.

Jirannya yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian, Zakuan Syahmi mencampakkan karbait ke dalam tangki terbabit dan ketika membuka penutupnya gas karbait menyambar api pada gulungan kertas di tangan ibunya yang baru dinyalakan.

“Selepas memasukkan ketulan karbait yang kedua, Zakuan Syahmi bertindak membuka penutup tangki mengakibatkan gas karbait itu menyambar api yang menyala pada gulungan kertas di tangan ibunya.

“Akibat letupan itu, Zakuan Syahmi tercampak sejauh tiga meter sebelum menggelupur kesakitan dan kepanasan sehingga seluruh mukanya merah padam,” katanya.

Sementara itu, Surani berkata, ketika kejadian hanya dia dan anak bongsunya berada di rumah lalu bercadang untuk membakar jentik-jentik di dalam tangki.

“Sehari sebelum kejadian anak saya ada mengadu terlalu banyak nyamuk di rumah dan kami merancang untuk memusnahkan jentik-jentik dengan membakar tempat pembiakannya.

“Semasa memasukkan ketulan karbait, saya menghidupkan api pada kertas sementara anak saya mencangkung di hadapan tangki itu dan terus membuka penutup menyebabkan letupan berlaku,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan panik dia segera mendapatkan anaknya dan mendapati muka anaknya itu sudah kemerahan serta kebiruan lalu membawanya masuk ke bilik air.

“Ketika itu, saya dapat rasakan tudung melekat pada kulit muka dan jiran mula memenuhi hadapan rumah selepas terdengar letupan kuat.

“Saya terus membawa anak masuk ke bilik air dan menyiram air pada badannya kerana mengadu kepanasan sebelum jiran datang membawa kami ke hospital,” katanya.

Surani berkata, mujur ketika kejadian jiran segera datang membantu kerana suaminya, Zaili Yaacob, 54, berada di Kuala Selangor atas urusan peribadi.

“Saya bertambah panik apabila ke klinik berdekatan tetapi diberitahu doktor tiada sebelum ke klinik swasta, namun menerima jawapan sama lalu ke Hospital Alor Gajah,” katanya.

Dia yang baru pulih daripada melecur di bahagian muka berkata, sepanjang perjalanan menuju ke hospital, dia tidak henti meminta maaf kepada anaknya itu kerana merasa bersalah atas kejadian.

“Walaupun ia kemalangan yang tidak dijangka, namun saya tetap rasa bersalah atas kejadian yang berlaku terhadap anak yang kini terpaksa berehat dan tidak dapat ke sekolah.

“Sudah banyak kali maklumkan masalah ini kepada pihak berkaitan, namun tiada sebarang tindakan dibuat hingga kami terpaksa lakukan sendiri,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima sebarang berhubung kejadian berkenaan.

Wednesday, April 10, 2013

kakii tersekat dlam mesin basuh

Kaki kanak-kanak sangkut dalam mesin basuh

TELUK INTAN 9 April - Seorang kanak-kanak berusia empat tahun terpaksa menahan kesakitan hampir sejam setelah kaki kanannya tersangkut di dalam ruang pengering mesin basuh di rumahnya di Lorong 10B, Kampung Bahagia di sini hari ini.
Kejadian mencemaskan itu berlaku kira-kira pukul 1.30 petang ketika Sharul Muhammad Syammil bermain dengan peralatan elektrik tersebut dengan memasukkan kedua-dua belah kakinya ke dalam ruang pengering.
Namun secara tiba-tiba salah satu kakinya tersangkut sehingga paras lutut sebelum mesin itu rebah ke lantai ketika dia berhempas-pulas cuba melepaskan diri.
Cubaan ibunya, Norlizah Midon, 41, dengan dibantu beberapa jiran untuk mengeluarkan kaki Sharul juga tidak berjaya kerana keadaan ruang pengering tersebut yang sempit.
Sepanjang tempoh itu, kanak-kanak tersebut hanya mampu menjerit dan meronta-ronta kesakitan sehinggalah pasukan Bomba dan Penyelamat tiba kira-kira pukul 2.15 petang.
Suasana semakin cemas apabila Norlizah yang kelihatan panik turut menangis dan meraung-raung sehingga pengsan selepas melihat kaki anaknya mula berdarah.
Kaki kanak-kanak itu akhirnya berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 2.25 petang selepas anggota Bomba dan Penyelamat mengumpil bahagian belakang mesin tersebut.
Norlizah yang ditemui selepas itu memberitahu, dia hanya menyedari kejadian tersebut selepas terdengar bunyi mesin berkenaan rebah sebelum disusuli dengan jeritan kuat anaknya.
“Saya cuba keluarkan tetapi ruang terlalu kecil, jiran-jiran pun tiada idea sebelum mereka panggil bomba. Syukurlah, anak saya tidak apa-apa," katanya.
Sementara itu, Sharul berkata, dia memanjat mesin tersebut dan masuk ke dalamnya untuk sekadar berseronok tetapi terkejut sejurus menyedari kedua belah kakinya tidak dapat dikeluarkan.
“Saya berjaya keluarkan kaki kiri, tetapi tidak sempat nak keluarkan kaki kanan, mesin terjatuh. Saya cuba tarik tapi tidak boleh kerana jari tersangkut dalam lubang kecil," katanya yang mengaku serik ekoran kejadian tersebut.

Tuesday, April 9, 2013

tangkap sawa

Penduduk nyaris ditelan ular sawa
Wartawan Sinar Harian
8 April 2013
Penduduk nyaris ditelan ular sawa
Anggota JPAM mengangkat ular sawa yang berjaya ditangkap itu.
BALING, Kedah - Seorang penduduk nyaris ditelan ular sawa ketika dalam perjalanan ke kebun getahnya di Kampung Lanai, kira-kira jam 7.45 petang, kelmarin.

Mangsa, yang berumur 50-an itu terkejut setelah mendapati seekor ular sawa itu cuba menyerangnya sebelum bertindak menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Baling.

Ketua Skuad JPAM Baling, Mohd Fadly Abu Hassan berkata, seramai empat anggota dikerahkan ke tempat kejadian bagi menangkap ular itu.

“Ular sepanjang kira-kira lima meter itu tidak bertindak agresif seterusnya memudahkan anggota ketika operasi menangkap ular itu.

“Mempunyai berat kira-kira 50 kilogram dan merupakan tangkapan ular sawa terbesar bagi tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, tindakan cepat penduduk menghubungi JPAM ternyata dapat membantu dalam memastikan ular itu ditangkap.

“Ular bersaiz ini bukan sahaja mampu menelan manusia, tetapi juga haiwan berbadan besar dan jika dibiarkan kemungkinan akan mengancam keselamatan penduduk,” katanya.

Katanya, ular itu akan disimpan di Pejabat JPAM terlebih dahulu sebelum diputuskan sama ada menyerahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Taman Negara (Perhilitan) ataupun dilepaskan.

Monday, April 8, 2013

pukau batang besi

Pukau guna besi kecil
NOR AINNA HAMZAH
8 April 2013
Pukau guna besi kecil
Rosminah menunjukkan laporan yang dibuat di Balai Polis Rembau selepas mendakwa dipukau dua lelaki.
REMBAU – Sebatang besi kecil menjadi alat yang digunakan dua penjenayah memukau mangsa agar menuruti segala arahan termasuk menyerahkan barangan berharga.

Itu nasib yang dialami seorang peniaga kedai makan di sini, apabila kerugian kira-kira 5,000 selepas dipukau dua lelaki yang menunjukkan dia sebatang besi kecil panjang dan bersaiz seperti straw minuman dan mempunyai ukiran seolah-olah sebuah kalimah, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa, Rosminah Mohd Said, 54, dikatakan selesai membeli barangan mentah di pekan Rembau, sebelum didatangi seorang lelaki menunjukkan sebatang besi berwarna coklat berkenaan, kononnya boleh dijadikan pelaris dalam perniagaan.

"Pada mulanya, saya tidak berminat untuk melihat besi itu. Tetapi, saya berubah hati selepas lelaki itu menyuruh saya memegang besi tersebut bagi melihatnya terlebih dahulu.

"Selepas itu, lelaki itu menepuk bahagian belakang bahu kanan saya menyebabkan saya terasa seperti berada di awang-awangan," katanya.

Menurutnya, ketika itu, dia hanya sedar mengikut apa saja yang diarahkan lelaki itu termasuk menyuruh menutup sisi kedai.

“Pada masa sama, datang seorang lelaki lain yang mempunyai sebatang besi sama, menyapa saya. Lelaki ini pun biasa dilihat dekat kedai makan saya," katanya ketika ditemui di kedai makannya di pekan Rembau, dekat sini, semalam.

Rosminah berkata, kedua-dua lelaki berkenaan berinteraksi dan membaca mantera menyebabkan dia mula rasa tidak selesa, bagaimanapun tidak mampu mengawal diri yang seolah-olah sudah dipukau.

Menurutnya, dia cuba melawan, namun salah seorang lelaki itu membuka beg tangannya, sebelum menyuruh dia memberi wang dalam beg berkenaan.

“Saya ambil RM1,000 dalam beg. Duit ini anak saya punya untuk beli barang majlis tunangnya. Saya cuma nampak duit itu dilipat dan dimasukkan dalam sampul surat," katanya.

Menurutnya, dalam keadaan melawan, dia dapat lihat seorang daripada lelaki itu menanggalkan rantai tangan dan dua cincin yang dipakainya.

"Bila selesai, mereka menunjuk dan menggoncang sampul surat yang diisi barangan saya itu, serta memesan saya membukanya selepas waktu maghrib.

"Sebelum lelaki itu beredar, dia sempat menepuk badan saya menyebabkan saya tersedar dan melihat sampul surat itu ada dalam beg tangan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia terus menjerit apabila mendapati dalam sampul surat berkenaan hanya berisi tisu dan batu.

Berikutan kejadian itu, Rosminah membuat laporan di Balai Polis Rembau, di sini, kelmarin.