Tuesday, June 11, 2013

merempit hari persandingan

Aksi pengantin 'mat rempit'
NORMAWATI ADNAN & SHAHRIZAL AHMAD ZAINI
4 Mac 2013
pengantin
Sharifudin dan Norhafizah menunjukkan motosikal digelar ‘Suzuki belang’ yang sering digunakan ketika beraksi dalam persembahan lagak ngeri.
IPOH – Kalau sudah namanya 'mat rempit', di majlis persandingan sendiri pun masih sempat menunjukkan aksi.

Itu yang berlaku pada majlis persandingan Sharifudin Shahrin, 28, dan pasangannya, Norhafizah Fakhrudin, 27, di Kampung Sri Kinta,  semalam.

Sharifudin yang berpengalaman lebih enam tahun dalam bidang permotoran dan aksi ngeri sedikit pun tidak kekok menggayakan beberapa aksi menggunakan motosikalnya di hadapan tetamu.

Dengan mengenakan pakaian pengantin silang serba kuning lengkap bersampin, Sharifudin yang sebelum ini digelar mat rempit melakukan aksi wheelie stand dan doughnut selama hampir 10 minit.

Ketika ditemui, Sharifudin berkata, impian untuk beraksi di majlis perkahwinan sendiri memang sudah lama tertanam sebagai kenangan mereka berdua.

“Alhamdulillah, semuanya sudah selesai dan berjalan dengan lancar, semalam (kelmarin) saya juga sempat membuat aksi sama di rumah mentua,” katanya.

Sharifudin berkata, minat mendalam dalam dunia permotoran mendorongnya mula menjinakkan diri dalam sukan ekstrem itu dengan menyertai pelbagai pertunjukan dan persembahan di seluruh negara bersama Wazi Boyz.

Malah katanya, dalam kesibukan menguruskan majlis perkahwinannya itu, dia masih berkesempatan membuat persembahan aksi trust (berdiri di atas tangki motosikal sambil mendepakan tangan) sempena kembara bersama Modenas dalam rangka promosi model motosikal baru di Shah Alam beberapa minggu lalu.

Ditanya perancangan selepas berkahwin, Sharifudin yang mempunyai bengkel sendiri berdoa agar dikurniakan cahaya mata secepat mungkin bagi membolehkannya beraksi di atas motosikal bersama anaknya.

“Sebelum ini saya sering bawa isteri untuk melihat aksi yang saya buat dalam mana-mana persembahan, walaupun dia nampak agak takut, tetapi saya mahu dia biasakan diri,” katanya.

Norhafizah mengakui, agak bimbang dan takut dengan setiap aksi yang dilakukan Sharifudin, namun tetap memberi sokongan kerana memahami minat mendalam suaminya itu.

Rombongan yang tiba di kediaman lelaki kira-kira jam 1 petang itu turut diiringi 40 motosikal klasik sejauh hampir 300 meter.

No comments:

Post a Comment