Tuesday, September 17, 2013

menabung rm 20 sebulan mampu pergi haji

Berkat simpanan RM20 sebulan


Mohd. Zaidi Mohd. Said (dua dari kiri) beramah mesra dengan empat sekeluarga yang akan menunaikan fardu haji dalam majlis meraikan bakal jemaah haji di Permatang Pauh, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/SAZALI CHE DIN
PERMATANG PAUH 15 Sept. - Selama hampir 24 tahun, Zaid Man membuat potongan gaji bulanan sebanyak RM20 dengan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) sebagai simpanan untuk mengerjakan haji di Mekah.
Bekas pengawal keselamatan di Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabuddin, Bukit Mertajam itu tetap meneruskan rutin menyimpan duit di Tabung Haji biarpun bersara pada 1996 dan menumpukan kerja-kerja sebagai pesawah di Kampung Permatang Pasir di sini.
Menurut Zaid, 72, dia pernah mendapat panggilan menunaikan haji pada 1999 namun terpaksa ditolak pada saat-saat akhir akibat masalah yang tidak dielakkan.
"Tapi tahun ini saya tak akan menolak lagi sebab ini adalah impian saya dan isteri, Maseran Said, 69, sejak sekian lama dan perasaan teruja semakin membuak-buak untuk ke sana.
"Syukur kepada Allah kerana dapat peluang pada tahun ini serta rezeki yang diberi hasil simpanan RM20 itu selain mengerjakan bendang di kampung ini," katanya yang akan berangkat ke Tanah Suci pada 1 Oktober ini dan dijangka kembali ke tanah air pada 14 November.
Zaid ditemui Utusan Malaysia dalam majlis meraikan bakal jemaah haji Parlimen Permatang Pauh yang dianjurkan Pergerakan Pemuda UMNO bahagian itu hari ini.
Dalam majlis itu, sebanyak 90 jemaah menerima sumbangan wang tunai yang disampaikan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh, Mohd. Zaidi Mohd. Said.
Seorang lagi bakal jemaah, Wan Rohani Harun, 46, berkata, dia amat teruja menunaikan haji kali pertama bersama ibu, bapa dan seorang adiknya.
"Saya bersyukur dipilih untuk ke sana pada tahun ini bersama bapa, Harun Mat Taib, 73, dan ibu, Wan Esah Wan Chik, 65, serta seorang adik, Wan Rohana, 45.
"Ini kali kedua ibu dan bapa saya menunaikan haji selepas kali pertama pada 1999 dan tahun ini mereka akan menjadi mahram untuk saya dan adik," katanya yang berasal dari Kubang Semang.
Sementara itu, Zaidi berkata, majlis itu adalah acara tahunan Pemuda bahagian tersebut sebagai tanda ingatan kepada bakal jemaah haji.
Jelasnya, semua jemaah dinasihatkan memperbetulkan niat ketika melakukan ibadat dan dapat melakukan ibadat dengan sempurna.

No comments:

Post a Comment