KOTA BHARU – Majlis perkahwinan yang sepatutnya menjadi kenangan manis
seumur hidup bertukar menjadi pengalaman pahit buat seorang pensyarah
institut pengajian tinggi awam (IPTA).
Malang buatnya apabila bakal suaminya itu tidak muncul-muncul pada hari
pernikahan mereka kelmarin, menyebabkan keluarga terpaksa menukar majlis
menyambut menantu kepada majlis sambutan Maulidur Rasul.
Pensyarah tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Yaya (bukan nama
sebenar), 28, berkata, pernikahannya sepatutnya berlangsung di sebuah
masjid di Pengkalan Chepa di sini, jam 3 petang, namun pengantin lelaki
tidak muncul selepas tiga jam menunggu.
Kejadian itu menyebabkan dia bukan sahaja trauma dan hilang keyakinan
diri, malah ahli keluarganya mengalami kerugian hampir RM60,000.
Menurutnya, dia mengenali bakal suaminya itu melalui laman website
mencari jodoh pada Mei tahun lalu dan mereka juga pernah beberapa kali
keluar bersama.
Kenal lima bulan
“Saya malu dengan kejadian ini kerana ia melibatkan maruah keluarga.
Saya langsung tidak menyangka dia sanggup menipu. Kami pernah beberapa
kali bertemu dan saya percayakannya walaupun baru mengenalinya dalam
tempoh lima bulan sebelum majlis merisik.
“Sebelum ini juga dia mengaku bujang dan bekerja di salah sebuah syarikat swasta terkenal di Baling, Kedah,” katanya.
Yaya mendakwa, sebelum majlis akad nikah, dia dipujuk lelaki terbabit
untuk memasukkan sejumlah wang selepas lelaki tersebut memberikan alasan
ia diperlukan untuk persediaan perkahwinan dan wang hantaran.
“Saya memasukkan wang dua kali. Mula-mula RM10,000 dan sekali lagi
sebanyak RM15,000 setelah mengetahui dia mempunyai banyak komitmen.
Tidak terlintas dalam fikiran saya yang dia akan bertindak begini,”
katanya yang mengakui lelaki itu adalah cinta pertamanya.
Menceritakan semasa majlis pernikahan itu, beberapa ahli keluarga
terdekat mencari lelaki terbabit di rumah ibu bapanya di sebuah kampung
di pinggir Kota Bharu namun hanya ibu bapa lelaki itu sahaja yang
muncul.
“Dia tiada di rumah, hanya ibu bapa sahaja yang ada tetapi mereka
bersikap seolah-olah tiada apa yang berlaku. Bapanya beritahu anaknya
telah berkahwin dan tidak mempunyai kerja tetap.
“Kalau betul sekalipun, sepatutnya hal ini dibincangkan dan bawa
berunding kerana ia melibatkan maruah keluarga,” katanya yang kehilangan
ayah pada 1999.
Yaya mengakui amat sedih dengan kelakuan bakal suaminya itu yang tidak
memberitahu perkara sebenar sejak awal lagi sehingga keluarganya telah
membuat persiapan untuk majlis perkahwinan mereka.
Pengantin lelaki gagal dihubungi
Sementara itu, abang mangsa, Man (bukan nama sebenar), 38, berkata,
laporan polis dibuat selepas lelaki itu gagal dihubungi dan malu kerana
ia melibatkan maruah keluarga.
“Saya sudah mengesyaki ada sesuatu tidak kena apabila dia meminta adik
memasukkan RM25,000 untuk persiapan perkahwinan mereka, namun saya masih
lagi berfikiran positif.
“Kira-kira jam 11 pagi kelmarin (Jumaat), kami menunggu pengantin lelaki
yang berjanji untuk menghantar borang perkahwinan, namun sehingga jam 5
petang, dia tidak hadir menyerahkan borang mahupun muncul pada majlis
nikah sedangkan kami telah menyediakan jamuan dan memanggil imam masjid
untuk akad nikah,” dakwanya.
Menurutnya, majlis kenduri terpaksa diteruskan kerana kad perkahwinan telah diedarkan dan jemputan dibuat sejak dua bulan lalu.
Ibu mangsa yang enggan dikenali pula berkata, dia tidak menyangka bakal menantunya itu sanggup memalukan anak perempuannya.
“Saya merestui hubungan mereka tetapi tidak sangka begini jadinya.
Mereka mengenali antara satu sama lain selama lima bulan dan tarikh 1
Februari ini dipilih sempena hari lahir bakal suami anak saya.
“Semasa merisik, ibu bapanya datang pada waktu malam (sepatutnya selepas
solat Asar) dengan hanya sebuah kereta dan dari situ, kami rasa pelik.
Mereka memberikan alasan kereta rosak tetapi kami masih menerima dengan
baik dan fikir positif tetapi begini akhirnya. Kami bukan berkira pasal
duit tetapi ini melibatkan maruah,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman
mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan akan menjalankan siasatan
lanjut. – Sinar Harian