Bakal Pengantin Perempuan ‘Tertekan’ Tak Bersunat…
SAYA berusia 28 tahun dan akan mendirikan rumah tangga pada pertengahan tahun ini. Saya bekerja sebagai jururawat.
Saya dapati alat sulit saya kelihatan berbeza daripada wanita lain
apabila labia minora kelihatan sangat lebar. Saya bertanyakan kepada ibu
sama ada saya disunatkan semasa dilahirkan, namun ibu saya tidak ingat,
cuma katanya kemungkinan ada.
Apabila bertanyakan pada ayah pula, dia memberitahu perempuan tidak wajib bersunat jadi kemungkinan saya tidak disunatkan.
Saya jadi takut dan agak tertekan sekiranya bakal suami tidak dapat
menerima keadaan saya ini. Saya pernah terdengar perbualan orang tua
bahawa lelaki tidak sukakan perempuan yang tidak bersunat.
Ini menambah tekanan pada saya. Pada usia ini, bolehkah saya melakukan
prosedur bersunat? Jika ada, di manakah tempatnya? Saya berasa cukup
malu dan harap doktor dapat memberi pandangan.
Lis,
Selangor.
JAWAPAN
Saiz labia minora ada sedikit berbeza antara wanita, malah saiz atau
panjang labia minora kanan juga mungkin sedikit berbeza daripada labia
minora kiri.
Bersunat bagi perempuan juga berbeza mengikut amalan masyarakat. Kini,
amalan bersunat di Malaysia lebih kepada ‘cukup syarat’ contohnya dengan
hanya menyentuh gunting atau pisau pada bahagian kemaluan bayi atau
kanak-kanak perempuan, bukannya seperti dulu dengan memotong lebih
banyak bahagian atas sudut pertemuan labia minora.
Apa yang lebih penting adalah menjaga kebersihan kemaluan, sama ada
sudah bersunat ataupun belum. Kotoran atau daki lebih mudah berkumpul di
celah atau bawah sudut terbabit pada wanita yang tidak bersunat, tetapi
ini tidak bermakna wanita yang sudah bersunat bebas daripada kotoran
berkenaan.
Sebagai jururawat yang ada mempelajari bahagian kemaluan wanita, anda
pasti lebih berpengetahuan dalam menjaga kebersihan bahagian terbabit.
Labia minora memainkan peranan dalam membantu ‘menutup’ bahagian bukaan
salur kencing dan bukaan faraj. Labia minora yang lebih lebar sepatutnya
lebih melindungi bahagian ini daripada jangkitan kuman. – Harian Metro
Dr. Adilah Ahmat
Pakar Perunding Perbidanan & Sakit Puan Dan Rawatan
Kesuburan/IVF, Hospital Pantai Bangsar Dan Hospital Pusrawi Jalan Tun
Razak Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment