Monday, June 2, 2014

moyang masuk u


KUALA NERUS – Ketika orang seusianya memilih untuk menghabiskan waktu dengan keluarga tercinta, berbeza bagi Wan Zainon Wan Abd Manan, 82, apabila beliau mengambil keputusan menyambung pengajian di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) di Pusat Pembelajaran Terengganu, di sini.
Ternyata cinta terhadap ilmu begitu utuh dalam diri anak jati Kampung Simpang Tokku, Chabang Tiga, Kuala Terengganu yang membahasakan dirinya dengan panggilan Tok Wan itu, walaupun sudah lebih 28 tahun bersara daripada bidang perguruan.
Semangat yang dimiliki wanita berstatus moyang dan nenek kepada 17 cicit, 29 cucu serta ibu kepada tujuh anak itu sememangnya mengagumkan ramai pihak, apatah lagi beliau antara penuntut tertua di institusi pengajian tinggi (IPT) ketika ini.
Kata Wan Zainon, keinginan untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengajian Islam atas kehendak dirinya sendiri selain ingin mengisi waktu terluang dengan sesuatu yang bermakna.
Cucu ajar guna komputer
Menurutnya, sebelum menyambung pengajiannya di OUM, beliau banyak mengikuti kelas antaranya kelas bahasa Arab dan al-Quran bagi mengisi masa lapang, tambahan memang minatnya untuk mempelajari dan menguasai bahasa Arab.
“Tapi tak banyak yang Tok Wan boleh belajar kerana sumber (waktu pembelajaran) terhad, sehinggalah Tok Wan lihat cucu dan cicit main komputer, jadi Tok Wan minta mereka ajarkan cara nak guna komputer.
“Dari situlah Tok Wan mula tambah lebih banyak ilmu dengan mempelajari bahasa Arab secara online seperti di Youtube, anak-anak juga ada belikan VCD,” katanya.
Wan Zainon berkata, walaupun ketika itu mempunyai komputer bagi membantunya belajar, beliau masih belum berasa puas sehinggalah anaknya memaklumkan OUM menawarkan kursus pengajian Islam.
Keluarga beri sokongan
“Alhamdulillah, ketika Tok Wan menyatakan hasrat untuk belajar, semua ahli keluarga termasuk anak, cucu dan cicit beri sokongan, malah salah seorang menantu Tok Wan pun belajar di tempat yang sama,” katanya.
Biarpun terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak dan pernah diserang strok yang tidak serius, Wan Zainon bersyukur kerana masih diberikan kesihatan yang baik sama ada dari segi pertuturan dan pendengaran.
Ketika ditanya mengenai jurang usia antara dirinya dengan pelajar lain akan mengundang perasaan tidak selesa, Wan Zainon mengakui perkara itu tiada masalah.
“Tok Wan tak lihat perbezaan usia yang jauh dengan pelajar lain akan membuatkan diri Tok Wan tersisih, sebaliknya perkara itu dilihat kelebihan buat Tok Wan, malah semua pelajar dan kakitangan di sini juga begitu mesra dan banyak membantu,” katanya.
Baru memulakan kelas pertamanya semalam, Wan Zainon sudah membuat persediaan rapi termasuk membuat nota sebagai rujukan bagi memudahkannya bertanya kepada pensyarah jika ada perkara yang tidak difahami.
Jadi contoh golongan seusia
Sementara itu, Pengarah Pusat Pembelajaran OUM Terengganu, Mohamad Umbaik Ismail berkata, kehadiran penuntut berstatus moyang di universiti berkenaan merupakan idola dan contoh kepada pihak lain untuk turut serta belajar walaupun sudah lanjut usia.
“Saya bagi pihak universiti (OUM) sangat berbangga dengan kesungguhan yang ditunjukkan Wan Zainon dan sekalung tahniah kepada beliau kerana begitu bersemangat untuk belajar walaupun bertongkat.
“Saya harap selepas ini lebih ramai mengikuti jejaknya menuntut ilmu dan kita di pihak OUM sentiasa memberikan perhatian dan bantuan yang diperlukan,” katanya.
Kata Mohamad Umbaik, selaras moto OUM iaitu ‘Universiti untuk Semua’, soal usia, status, atau apa sahaja perkara tidak membantutkan usaha mana-mana pihak untuk menambah ilmu ke peringkat yang tertinggi.
“Kami di sini teruja dengan kehadiran Wan Zainon dan diharap dia dapat menghabiskan sepenuhnya pengajian selama empat tahun ini, sekali gus mampu menarik lebih ramai pelajar senior untuk mengikuti jejak langkahnya nanti,” katanya.
Pusat Pembelajaran OUM Terengganu yang terletak di Bukit Tunggal mempunyai 1,484 pelajar yang sedang mengikuti pengajian di peringkat diploma, sarjana muda dan sarjana membabitkan 23 kursus ditawarkan.
Sumber: Sinar Online

No comments:

Post a Comment