Saturday, April 23, 2011

Gajah Masuk Masjid


Gajah serang masjid

JERAM LANDAK - Sekumpulan jemaah yang ingin menunaikan solat Subuh awal pagi semalam gempar apabila mendapati keadaan persekitaran masjid di kawasan ini mengalami kerosakan akibat serangan gajah.

Kejadian awal pagi itu turut memusnahkan tanaman seperti pokok pisang dan kelapa selain menyebabkan pagar di bahagian belakang masjid itu rosak.

Haiwan itu turut meninggalkan najis di kawasan bangsal masjid selain merosakkan beberapa peralatan memasak seperti tungku kawah.



Gajah datang dari arah kebun



Seorang penduduk, Aziz Yusof, 40, berkata, sehari sebelum kejadian gajah memasuki kawasan masjid, haiwan itu didapati berada di kebunnya.

“Sekitar jam 6 petang kelmarin, saya selesai menoreh dan kembali ke kebun kira-kira jam 8 malam untuk mengisi bahan pengeras getah berikutan hujan dijangka berlaku malam itu.

“Ketika sampai di kebun, saya mendapati pondok kayu yang menjadi tempat saya berehat rosak dan hampir musnah. Selain itu, beberapa dahan pokok getah juga patah. Saya cuba mengenal pasti penceroboh yang masuk ke kawasan kebun getah ini dan ternampak najis gajah tidak jauh dari pondok kayu itu,” katanya.

Aziz berkata, setelah ternampak najis itu, dia bergegas pulang ke rumah kerana khuatir diserang gajah.

“Saya bimbang haiwan itu datang secara tiba-tiba dan menyerang saya,” katanya.



Larang penduduk keluar



Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan itu, Isa Mohd Yusof berkata, semua penduduk diminta supaya tidak keluar menoreh getah pada hari kejadian berikutan serangan gajah di kampung itu.

“Hampir seluruh penduduk mempunyai kebun getah dan kami percaya kumpulan gajah yang terdiri daripada ibu dan anak masih ada di kawasan kebun itu.

“Justeru, saya berharap penduduk kampung dapat mendengar arahan kerana bimbang keselamatan mereka terancam,” katanya.

Isa berkata, terdapat beberapa penduduk ternampak kelibat haiwan itu yang memusnahkan kebun pisang sekitar tiga hingga empat hari lalu.

“Kami percaya kumpulan gajah itu datang dari hutan simpan berhampiran. Selain itu, penduduk turut menjumpai tapak kaki gajah di sungai berhampiran iaitu tempat haiwan itu menyeberang untuk sampai ke kampung ini.

“Saya sudah melaporkan kejadian ini kepada Pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) daerah dan mereka bergegas ke sini untuk menjejaki kumpulan gajah itu,” katanya.



Kejadian pertama



Seorang warga emas, Siti Aminah Abdul Rahman, 63, berkata, kejadian serangan gajah itu pertama kali berlaku sepanjang dia tinggal di kampung itu.

“Selama 63 tahun saya tinggal di sini, tidak pernah kampung ini diserang atau dimasuki gajah. Kejadian pada hari ini (semalam) amat menakutkan dan kami sebagai penduduk gusar untuk pergi ke mana-mana kerana takut diserang gajah.

“Haiwan itu sukakan abu dari dapur kayu dan dipercayai menyerang kawasan masjid kerana terdapat abu di bangsal,” katanya.





Cuba buat pemantauan



Sementara itu, Pengarah Perhilitan negeri, Khairiah Mohd Shariff ketika dihubungi Sinar Harian berkata, setelah menerima laporan daripada penduduk, pegawainya pergi ke kawasan itu malam kelmarin untuk membuat pantauan.

“Tindakan susulan turut dilakukan pagi semalam dan pegawai Perhilitan melakukan tembakan untuk menghalau gajah dari kawasan kampung itu.

“Kami percaya gajah itu bergerak dalam satu kumpulan dan sebahagian daripadanya sudah menyeberangi sungai untuk pulang ke habitat asal mereka.

“Namun, terdapat seekor lagi gajah yang masih ada di sekitar kampung itu kerana dipercayai berpecah daripada kumpulan asal,” katanya.

Khairiah berkata, Perhilitan akan memantau dari semasa ke semasa keadaan kampung itu dan penduduk diminta supaya tidak menoreh getah buat sementara waktu.

“Buat sementara waktu, unit gajah dari Jabatan Perhilitan sedang melakukan operasi di daerah Bera. Setelah selesai, mereka akan bergerak ke kampung itu untuk membuat tindakan susulan,” katanya.

Murid Dibelasah Kerana Enggan Beri 20 Sen

Pelajar dibelasah kerana tidak serah duit 20 sen

TELUK INTAN - Seorang pelajar berusia 14 tahun cedera selepas dibelasah oleh seorang pelajar senior selepas mangsa enggan menyerahkan wang syiling 20 sen di sebuah sekolah di Bagan Datoh, di sini dua hari lalu.

Kejadian berlaku pada 1.30 petang ketika mangsa Nalson John, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Khir Johari, Sungai Sumun, Bagan Datoh yang juga orang kelainan upaya (OKU) telah ditahan oleh pelajar senior ketika mangsa sedang berjalan di hadapan kelasnya.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Goh Kok Liang berkata, sebaik ditahan pelajar senior itu dikatakan meminta 20 sen daripada mangsa namun mangsa enggan memberikan wang itu menyebabkan pelajar senior itu menendang mangsa di bahagian perut dan kepala.

Tendangan itu telah mengakibatkan mangsa hampir pengsan dan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Klinik Sungai Sumun oleh guru sekolah selepas diberitahu mengenai kejadian itu oleh pelajar lain, katanya di sini hari ini.

Goh Kok Liang berkata, pelajar terbabit kemudian dihantar ke Hospital Teluk Intan (HTI) oleh guru sekolah tersebut untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, bapa mangsa juga telah membuat laporan berhubung kejadian itu dan polis telah mengambil keterangan daripada pelajar senior itu.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, katanya.

Sementara itu bapa mangsa K. Agashdin, 41, seorang pekerja kilang kelapa sawit di Sungai Dulang, Bagan Datuh terkejut apabila diberitahu kejadian itu dan bergegas ke HTI untuk melihat anaknya.

Agashdin kesal dengan kejadian itu dan berharap pihak sekolah dapat mengambil tindakan terhadap pelajar senior tersebut.

Tahanan Lepas Lari

Tahanan reman lari guna kereta polis

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PAPAR: Seorang tahanan reman kes pecah rumah licik melarikan diri menggunakan kereta polis selepas dia ditinggalkan di dalam kenderaan itu berseorangan ketika dibawa untuk siasatan di lokasi jenayah dilakukannya di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari, ketika suspek, Norzaleh Md Sipin, 33, dibawa anggota polis ke Kampung Sedul, Ranau, di sini untuk siasatan lanjut berhubung kegiatan yang pernah dilakukannya di kampung itu.


Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan George Rakman berkata, suspek ditahan di Labuan pada 15 April lalu kerana disyaki terbabit kes pecah rumah di daerah ini dan kesnya disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Untuk siasatan, polis membawanya ke lokasi kejadian bagi pengesahan mengenai beberapa bahan bukti yang dijualnya kepada seorang lelaki di kampung itu.


“Suspek dibawa ke kampung itu dengan kereta peronda polis. Bagaimanapun, dia tidak tahu nama kampung yang hendak dituju menyebabkan dua anggota polis membawanya menahan sebuah kereta yang melalui kawasan itu bagi bertanya nama kampung berkenaan.


“Ketika itulah suspek mengambil kesempatan melarikan diri dengan memandu kereta polis,” katanya.

George berkata, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ranau dan IPD Telupid sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan usaha sedang giat sedang dijalankan bagi mengesan suspek.


“Kereta peronda polis itu berjaya ditemui di sekitar Telupid beberapa jam kemudian. Di dalamnya, polis menemui kemeja-T berwarna merah jenama Adidas dan kemungkinan besar suspek menukar pakaian sebelum melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini, suspek masih bebas dan usaha sedang dijalankan di semua daerah.


“Dia berasal dari Kota Belud dan beralamat terakhirnya di Kampung Suang Parai, Menggatal. Dia juga berbadan tegap, mempunyai ketinggian 1.67 meter serta mempunyai tatu berbentuk lipan di lengan kanan, tengkorak di lengan kiri dan bentuk Maori di kaki kanan,” katanya.


Sehubungan itu, George meminta orang ramai yang mengenali atau ternampak lelaki berkenaan menghubungnya di talian 016-8819145, Bilik Gerakan IPD Papar 088-916064, Inspektor Che Rosli di talian 016-8437878 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Guru Bagi Penampo Jepun

Pipi lebam kena tampar
Oleh Norfaisal Jahuri
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JASIN: Seorang murid tahun satu sebuah sekolah rendah di daerah ini berbirat pipi selepas mendakwa menerima ‘penampar Jepun’ daripada guru lelaki sekolah berkenaan, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, Muhammad Khairul Nizam Mohd Norizam dikatakan terbuang air besar dalam seluar membuatkan guru berkenaan berang lalu menampar pipinya beberapa kali menyebabkan murid itu menangis kesakitan.


Difahamkan kejadian berhampiran kantin sekolah itu turut disaksikan murid lain kebetulan berada di situ untuk menjamu selera pada waktu rehat.

Bapa mangsa, Mohd Norizam Ali, 35, berkata dia menyedari pipi anaknya mempunyai kesan birat berhampiran telinga kiri ketika menurunkannya dari motosikal selepas menjemputnya pulang sekolah.


Dia bertanyakan bagaimana kesan yang nampak jelas kemerah-merahan serta mempunyai garisan itu boleh terjadi dan anaknya memberitahu dia ditampar seorang guru.


“Saya terus ke sekolah bersama anak dan ditemani isteri (Noorjumaaton Nawawi, 32) yang sarat mengandung untuk menemui guru terbabit bagi meminta penjelasan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Jaya Batang Melaka, dekat sini, semalam.

Mohd Norizam mendakwa setiba di sekolah dia menemui guru berkenaan dan bertanyakan mengenai kejadian itu dan guru itu mengaku menampar pipi anaknya, tetapi mendakwa menampar pipi kanan, bukannya pipi kiri yang berbirat.


“Anak saya bagaimanapun memberitahu dia ditampar di pipi kiri menyebabkan guru terbabit terdiam. Saya kemudian berjumpa guru besar bagi mendapatkan penjelasan, tetapi guru besar berkata dia tahu mengenai perkara itu kerana ketika kejadian dia tiada di sekolah,” katanya yang bekerja sendiri.

Menurutnya, guru besar terbabit meminta maaf mengenai kejadian itu manakala guru lelaki yang menampar anaknya hanya berdiam diri. “Saya tidak kisah kalau Muhammad Khairul Nizam dihukum kerana melakukan kesalahan tetapi bukanlah dengan menampar atau mencederakan di bahagian muka.


“Saya sendiri ada merotannya, tetapi memadailah sebagai pengajaran, bukan mengikut emosi,” katanya.


Mohd Norizan berkata, guru besar sekolah berkenaan datang ke rumahnya petang kelmarin untuk melihat keadaan anaknya selain mengambil beberapa keping gambar kesan kecederaan.


Katanya, perbuatan menampar anaknya itu agak keterlaluan memandangkan Muhammad Khairul Nizam cuma murid tahun satu dan bukan sengaja membuang air besar dalam seluar.


“Anak saya trauma dengan kejadian itu dan enggan ke sekolah pagi tadi (semalam) kerana takut untuk berhadapan dengan guru berkenaan,” katanya.

Konduktor Kena Belasah

Konduktor bas dibelasah penumpang samseng

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SENTUL: Gara-gara disangka warga asing, seorang konduktor bas dibelasah seorang penumpang samseng hanya kerana diajukan soalan ‘Mahu ke mana?’, Isnin lalu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Dolah, 30, mendakwa cedera di mata, tangan, leher dan belakang badannya akibat dibelasah penumpang itu.


Menceritakan kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, Dolah seperti biasa mengambil bayaran tiket dari penumpang mengikut destinasi mereka.

Sebaik tiba di hentian bas Taman Pelangi, seorang lelaki menaiki bas itu dan bertanya pemandu sama ada bas itu menuju Gombak atau tidak.


Menurutnya, lelaki itu berlagak seperti samseng dengan menolaknya yang ketika itu mengambil bayaran dari penumpang dan tanpa meminta maaf, lelaki terbabit terus duduk.


Katanya, dia mendekati lelaki itu dan bertanya destinasinya, namun pertanyaannya tidak diendahkan menyebabkan dia meminta lelaki terbabit turun jika tidak tahu destinasi yang hendak dituju.

“Ketika saya berpusing untuk mengutip wang tiket penumpang lain, lelaki itu menolak saya dari belakang hingga badan saya terhentak di kerusi penumpang sebelum tersungkur.


“Lelaki itu menumbuk dan menendang saya tanpa henti, selain mencakar leher saya hingga luka dan memaki-hamun saya.

“Mujur pemandu memberhentikan bas sebelum beberapa penumpang membantu meleraikan pergaduhan itu,” katanya.


Dolah yang tidak berpuas hati tampil membuat laporan di Balai Polis Batu Caves, Rabu lalu.

Syarat Poco-Poco dDibolehkan

Poco-poco boleh tapi bersyarat
Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEPANG: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa (JKF) Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang di sini, sejak Rabu hingga semalam memutuskan tidak menghalang orang ramai terbabit dengan tarian poco-poco, selagi tidak melanggar garis panduan ditetapkan.

Pengerusinya, Prof Emeritus Tan Sri Datuk Dr Abdul Shukor Husin berkata, jawatankuasa itu sudah mengeluarkan Garis Panduan Amalan Kebatinan Dalam Persembahan Kesenian Tradisional Masyarakat Melayu pada 2007 yang boleh dijadikan rujukan berhubung perkara itu.


“Di antara garis panduan ditetapkan adalah menjaga pergaulan antara lelaki dan wanita serta mengawal pergaulan, menjaga etika berpakaian, tidak berbentuk pemujaan dan tidak melakukan ritual atau ibadat orang bukan Islam.

“Jadi, jika berdasarkan garis panduan itu, kita tidak ada halangan... tambahan lagi kita dimaklumkan tarian poco-poco sudah dibuat dengan pelbagai cara dan ada juga pandangan menyatakan ia baik untuk kesihatan.


“Namun, kita menasihatkan masyarakat Islam supaya berhati-hati dan melihat kepada garis panduan itu, sekiranya tidak melanggar (garis panduan) dan mendatangkan kesihatan, kita tiada halangan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan muzakarah terbabit di sini, semalam.


Januari lalu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak memutuskan tarian poco-poco diharamkan di negeri itu kerana ia mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama lain iaitu Kristian selain pemujaan roh, malah berdasarkan kajian ia sering diamalkan di Jamaica dan bercirikan agama Kristian.

Bagaimanapun, Abdul Shukor berkata, pihaknya masih melakukan beberapa kajian terhadap tarian berkenaan sebelum keputusan lanjut berhubung perkara itu diambil. Beliau berkata, keputusan pengharaman tarian itu di Perak masih kekal memandangkan Majlis Agama Islam Negeri mempunyai kuasa mengeluarkan fatwa berhubung sesuatu perkara.


Sementara itu, katanya muzakarah selama tiga hari itu turut membincangkan mengenai penggunaan vaksin untuk jemaah haji dan umrah dan mereka bersetuju penggunaan vaksin Meningitis Mencevax yang sudah digunakan sejak sekian lama di negara ini adalah harus dan dibenarkan.

“Kita sudah meneliti semua pandangan yang diterima dan sudah mendapatkan maklumat terperinci daripada Kementerian Kesihatan dan pakar berkenaan. Berikutan itu kita bersetuju ia harus digunakan masyarakat Islam... tambahan pula ia sudah lama digunakan di negara ini,” katanya.

Berjuta Dilarikan

Kawan larikan RM4 juta
Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JITRA: Niat murni lebih 50 wanita yang kebanyakannya warga emas membantu seorang rakan mereka dengan memberikan pinjaman kerana suspek ingin menjalankan perniagaan dan pelaburan, terjerat apabila mereka tertipu membabitkan kerugian lebih RM4 juta.

Wanita berusia 50-an itu dikatakan sudah mengenali semua mangsa sejak antara 20 hingga 30 tahun lalu di Pusat Nyanyian dan Tarian di sini, namun masih tergamak menipu mereka sebelum menghilangkan diri akhir Mac lalu.


Difahamkan, suspek meminjam wang daripada mangsa kononnya untuk menjalankan perniagaan serta pelaburan dan berjanji akan memberi komisen antara lima hingga 10 peratus kepada mereka.

Kebanyakan mangsa yang berusia antara 40 hingga 80 tahun tidak menyangka suspek yang kelihatan baik dan pendiam itu mempunyai niat tidak baik.


Semua wanita itu mula menyedari perbuatan jahat suspek selepas dia tidak lagi mengunjungi pusat hiburan berkenaan iaitu tempat mereka sering berkumpul.


Suspek yang berasal dari Taman Ihsan di sini, sudah menjalankan kegiatan itu sejak lima bulan lalu dengan meyakinkan mangsa dia boleh mendapatkan keuntungan hasil pelaburan dan perniagaan yang dijalankannya.

Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Oong, 82, berkata dia kerugian hampir RM60,000 selepas tertarik dengan pelaburan yang dijanjikan wanita itu.


“Saya tak sangka dia berniat jahat. Sebelum ini kami percayakannya kerana kami anggap dia seperti adik beradik. Sudah 20 tahun saya kenal dia, kenapa dia sanggup buat saya macam ini.

“Sekarang saya jadi miskin sampai nak makan pun susah, habis semua duit simpanan saya selama beberapa tahun hilang sekelip mata,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sini, semalam.


Seorang tukang jahit dikenali sebagai Teoh, 56, berkata dia menyerahkan RM43,000 kerana percaya dengan suspek yang berjanji memberikan komisen 10 peratus.


“Dia ada datang rumah saya di Taman Indera pada Jun tahun lalu, kira-kira jam 8 pagi dan mempelawa saya menyertai skim pelaburan menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.


“Saya sudah lama kenal dia, sebab itu saya tidak curiga. Saya bagi dia duit sebanyak empat kali iaitu RM15,000, RM12,000, RM10,000 dan RM6,000.


“Sepanjang tempoh itu, saya cuma dapat komisen RM1,000 dan selepas itu tiada lagi sehingga dia menghilangkan diri,” katanya.


Yeoh, 50, berkata dia kerugian hampir RM80,000 selepas terpedaya dengan pelaburan dan perniagaan yang ditawarkan wanita itu.


“Suspek kata dia banyak perniagaan dan pelaburan yang sudah berjaya seperti kilang kain terbesar di Sungai Petani. Jadi dia suruh kami melabur dengannya supaya keuntungan dapat dikongsi bersama-sama,” katanya.


Sementara itu, Setiausaha Sulit Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Loh Eng Chong berkata, dia menerima panggilan daripada beberapa mangsa berhubung kes penipuan wang mencecah RM4 juta, Isnin lalu.


Menurutnya, mangsa memberitahu mereka tidak mengetahui ditipu wanita terbabit kerana semuanya menyimpan rahsia ketika memberi pinjaman wang kepada suspek.


“Bagaimanapun, penipuan itu terbongkar selepas masing-masing mula mengesyaki sesuatu sejak wanita berkenaan tidak lagi datang ke pusat hiburan untuk berlatih nyanyian dan tarian sejak 27 Mac lalu.


“Semua mangsa memberitahu wanita berkenaan memperdayakan mereka dengan ganjaran dua kali ganda daripada jumlah pinjaman yang dibuat dan sebab itulah mereka yakin dengan wanita berkenaan yang turut memberi cek namun ia hanya cek tendang,” katanya.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohamed Yusof ketika ditemui mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.