Saturday, April 23, 2011

Murid Dibelasah Kerana Enggan Beri 20 Sen

Pelajar dibelasah kerana tidak serah duit 20 sen

TELUK INTAN - Seorang pelajar berusia 14 tahun cedera selepas dibelasah oleh seorang pelajar senior selepas mangsa enggan menyerahkan wang syiling 20 sen di sebuah sekolah di Bagan Datoh, di sini dua hari lalu.

Kejadian berlaku pada 1.30 petang ketika mangsa Nalson John, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Khir Johari, Sungai Sumun, Bagan Datoh yang juga orang kelainan upaya (OKU) telah ditahan oleh pelajar senior ketika mangsa sedang berjalan di hadapan kelasnya.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Goh Kok Liang berkata, sebaik ditahan pelajar senior itu dikatakan meminta 20 sen daripada mangsa namun mangsa enggan memberikan wang itu menyebabkan pelajar senior itu menendang mangsa di bahagian perut dan kepala.

Tendangan itu telah mengakibatkan mangsa hampir pengsan dan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Klinik Sungai Sumun oleh guru sekolah selepas diberitahu mengenai kejadian itu oleh pelajar lain, katanya di sini hari ini.

Goh Kok Liang berkata, pelajar terbabit kemudian dihantar ke Hospital Teluk Intan (HTI) oleh guru sekolah tersebut untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, bapa mangsa juga telah membuat laporan berhubung kejadian itu dan polis telah mengambil keterangan daripada pelajar senior itu.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, katanya.

Sementara itu bapa mangsa K. Agashdin, 41, seorang pekerja kilang kelapa sawit di Sungai Dulang, Bagan Datuh terkejut apabila diberitahu kejadian itu dan bergegas ke HTI untuk melihat anaknya.

Agashdin kesal dengan kejadian itu dan berharap pihak sekolah dapat mengambil tindakan terhadap pelajar senior tersebut.

No comments:

Post a Comment