Sunday, April 24, 2011

Sewa Lembu

Warga emas berang sewa lembu tak bayar

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my

MENTERNAK haiwan sememangnya satu cabang perniagaan yang menguntungkan. Namun sebelum menceburi bidang tersebut, seseorang itu seharusnya mengetahui sepak terajang dalam bidang penternakan mahu pun perniagaan.

Tanpa ilmu dalam bidang-bidang tersebut, nescaya kita akan mudah diperkotak-katikkan oleh orang lain hatta rakan kongsi yang diharap-harapkan.

Kes minggu ini melibatkan Hamzah Abdullah, 60, dari Kuala Terengganu. hasratnya untuk bergiat dalam perniagaan menternak haiwan memberi pengalaman baharu dalam kehidupannya.

Kisahnya bermula apabila dia membeli tiga ekor lembu pada 2008. Memandangkan dia tidak berpengalaman mengurus dan memelihara haiwan itu, tanggungjawab tersebut diserahkan bulat-bulat kepada sebuah syarikat penternakan lembu.

Kedua-dua pihak bersetuju dengan dua syarat.

Syarat pertama ialah mengenakan kadar sewa RM4,500 setahun untuk ketiga-tiga ekor lembu itu.

Manakala syarat kedua, hasil pembiakan diserahkan kepada syarikat berkenaan.

Apa yang mengecewakan ialah perjanjian dimeterai hanya tinggal catatan di atas kertas apabila syarikat itu gagal membayar sewa yang sepatutnya.

Nekad untuk menghentikan urus niaga itu, warga emas tersebut menuntut semula bayaran RM25,000 daripada syarikat berkenaan.

Tuntutan tersebut adalah untuk menebus semula bayaran lembu-lembu yang disewakan kepada syarikat terbabit yang gagal memenuhi perjanjian.

Dalam kepayahan, dia sanggup datang ke ibu negara semata-mata untuk menyelesaikan tuntutannya di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Pada prosiding tribunal baru-baru ini, hasil kebijaksanaan Presiden TTPM, M. Suppiah, masalah itu berjaya diselesaikan dengan persetujuan bersama antara Hamzah dan wakil syarikat terbabit.

Wakil syarikat itu yang hanya mahu dikenali sebagai Normala berjanji menjelaskan keseluruhan bayaran tersebut tetapi memohon sedikit masa kerana syarikatnya mengalami kerugian sejak beberapa tahun lalu.

Buat permulaan, ujar Normala, syarikatnya akan menjelaskan bayaran tuntutan sewa RM4,500. Baki sebanyak RM21,000 pula akan dijelaskan secara ansuran sehingga Jun ini.

Suppiah kemudiannya menjelaskan, pengakuan Normala akan direkodkan dan diambil kira sebagai perintah tribunal.

Sekiranya syarikat tersebut gagal berbuat demikian, Hamzah boleh melaporkan kepada Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment