Wednesday, April 27, 2011

Banyak Maksiat Di PP

Lubuk maksiat jadi teladan

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

BEBERAPA bulan lalu terdapat dakwaan dan laporan media mengenai kebanjiran beribu-ribu rumah urut dan pusat judi baru di Selangor yang dilihat bercambah sejak peralihan tampuk kepimpinan kerajaan negeri kepada pihak pembangkang.

Terbaru, Pulau Pinang yang turut jatuh ke genggaman pembangkang pada Pilihan Raya Umum 2008 turut dikatakan berubah menjadi lubuk judi, hasil siasatan dan serbuan polis dalam beberapa operasi berasingan kebelakangan ini.

Menyebut mengenai rumah urut dan judi, mungkin ramai secara umum mengaitkannya dengan budaya atau amalan biasa masyarakat terbanyak di dua negeri tersebut.

Terdapat juga alasan pihak tertentu bahawa kegiatan tersebut menular berikutan permintaan tinggi penduduk setempat, sedangkan aktiviti haram itu jelas menjurus kepada 'memancing pelanggan' daripada 'dikejar' orang ramai.

Persoalan utama kini, mungkinkah terdapat dalang besar atau sindiket yang mengambil kesempatan terhadap tempoh peralihan kuasa di celah-celah sistem pentadbiran yang belum kukuh atau silapnya kepada pemerintah itu sendiri?

Masalah sosial berkaitan judi dan rumah urut tidak akan ada penghujungnya jika pihak yang mentadbir mengambil jalan mudah melepaskan tangan kepada kerajaan Persekutuan atau lalai dalam penguatkuasaan sehingga ada golongan tertentu mengambil kesempatan.

Pensyarah Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Amir Baharuddin berpendapat, situasi sedemikian sebenarnya berpunca daripada kumpulan yang sedang memerintah negeri itu sendiri dan bukannya situasi peralihan kuasa.

"Ini berpunca daripada pemerintahan terutamanya anggota parti DAP di kedua-dua negeri tersebut.

"Saya melihat kumpulan dalam pemerintahan baru ini kurang sensitif terhadap Perlembagaan dan juga sensitiviti rakyat yang berbilang bangsa dan agama," dakwanya.

Beliau menegaskan, penguatkuasaan bagi mencegah dan mengawal aktiviti rumah urut dan judi juga akan menjadi sukar jika pemerintah sedia ada tidak menganggap isu tersebut sesuatu yang penting.

Tambahnya, tampuk pemerintahan tertinggi di kedua-dua negeri memainkan peranan penting dalam menentukan apa yang berlaku sama ada baik atau buruk dan mereka tidak boleh menganggap sesuatu yang sensitif sebagai isu yang remeh.

"Mereka perlu lebih sensitif dengan permintaan dan kehendak masyarakat setempat. Jika isu rumah urut dan judi dianggap tidak penting, sebanyak mana tangkapan dibuat sekalipun akhirnya akan terlepas dengan mudah.

"Bukan sekadar sensitif kepada umat Islam dan Perlembagaan, rata-rata kaum dan penganut agama lain juga tidak begitu menerima percambahan industri urut dan judi di kawasan kediaman mereka," jelasnya.

Memberi contoh pemerintahan di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) terdahulu, Amir menyatakan masalah pusat urut atau judi tidak timbul kerana semuanya terjaga dan terkawal.

"BN dulu perintah dengan mengambil kira kehendak rakyat dan cuba mengimbangi permintaan dan penerimaan kaum serta agama yang pelbagai supaya tidak mengguris perasaan dan sensitiviti mereka.

"Ini semua bergantung kepada kerajaan negeri itu sendiri (bukan kepada Kerajaan Pusat) untuk menentukan perkembangan aktiviti urut dan judi yang semuanya perlu dilesenkan melalui premis yang digunakan," ujarnya.

Amir turut menempelak individu dan parti politik dalam kepimpinan tertinggi kedua- dua negeri yang menyumbang kepada permulaan dan berkembangnya masalah tersebut sejak berlaku peralihan kuasa tiga tahun lalu.

"Kita kena lihat juga dari segi peluang kerja yang disediakan atau ditawarkan kepimpinan negeri yang baru itu sejak beberapa tahun mentadbir negeri masing-masing.

"Jika tidak banyak peluang kerja lain disediakan sebaliknya bercambah peluang menjadi GRO (gadis pelayan pelanggan), maka itulah industri yang akan berkembang pesat di bawah kepimpinan mereka," tegasnya.

Bagi pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling pula, realiti masalah rumah urut dan judi berpunca daripada sikap DAP yang tidak ambil kisah sensitiviti umat Islam.

"Realiti di Pulau Pinang sama saja dengan di Selangor yang dilihat lebih dikawal DAP daripada parti pembangkang lain.

"DAP dan PKR sendiri dilihat tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat Islam setempat dalam membuka dan membiarkan industri urut dan judi ini berkembang serta jelas sekali tidak mempedulikan perjuangan Islam oleh parti Pas yang kononnya rakan seperjuangan mereka," katanya.

Tambahnya, selama ini pun hanya Pas yang dilihat beria menjaga nilai dan penerapan ajaran Islam dalam masyarakat setempat di bawah pemerintahan pembangkang tetapi usaha itu tidak didokong DAP dan PKR.

"Sikap DAP ini begitu nyata sekali apabila menuntut 'pemerintah Islam' di Kelantan mengeluarkan lesen judi kepada golongan bukan Islam, apatah lagi di negeri yang mereka sendiri perintah.

"Walaupun isu ini mungkin tidak begitu besar bagi bukan Islam, pembangkang tidak boleh membuat keputusan secara umum tanpa mengambil kira pandangan ramai terutamanya di Pulau Pinang yang masih mempunyai ramai penduduk Islam," tegasnya.

Mohamad Faisol mengakui kerajaan BN terdahulu turut membenarkan pembukaan industri tersebut tetapi dalam keadaan terkawal supaya tidak mengguris sensitiviti majoriti umat Islam, tanpa mengekang kebebasan bukan Islam.

"Situasi yang jelas terpampang kini bukan provokasi terhadap kepimpinan pembangkang tetapi satu realiti yang perlu direnung rakyat negara ini terutamanya mereka di Selangor dan Pulau Pinang.

"Rakyat boleh menilai sendiri cara pemerintahan pembangkang terutamanya sikap pemimpin DAP dan PKR terhadap perjuangan Pas serta perhatian mereka terhadap sensitiviti umat Islam," ujarnya.

Beliau berharap situasi yang dibiarkan berleluasa dalam kepimpinan dua negeri tersebut kini terpaksa dihadapi rakyat yang mengundi mereka. Diharap apa yang berlaku ini dapat menjadi teladan dan kayu ukur kepada semua pihak menjelang pilihan raya umum akan datang.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment