Tuesday, April 19, 2011

Bank Selamatkan Ibu Tertipu RM18 Ribu

Ibu terselamat jadi mangsa 'gores dan menang'

DR DAHLIA DAHNIL
Bandar Baru Selayang, Selangor

SETINGGI-TINGGI ucapan terima kasih kepada pengurus sebuah bank di Kepong yang telah berjaya membantu ibu saya yang hampir terperdaya oleh syarikat gores dan menang.

Ibu saya kononnya telah memenangi sebuah Toyota Camry. Dia dikehendaki untuk segera mengeluarkan wang untuk ditunjukkan kepada pihak syarikat bagi membuktikan beliau adalah layak untuk memiliki kereta Toyota Camry tersebut. Mengikut pihak syarikat gores dan menang tersebut, wang tersebut akan dikembalikan.

Ibu tua yang begitu teruja kerana seumur hidup beliau tidak pernah begitu bernasib baik untuk mendapat kereta secara percuma dengan segera telah pergi ke bank untuk membuat pengeluaran wang memandangkan wang tersebut akan dikembalikan. Berbagai-bagai teknik yang digunakan oleh syarikat gores dan menang ini. Dan sasaran penipuan ditujukan kepada warga tua yang tidak mengerti apa-apa.

Kecekapan pihak bank mengesan situasi sebegini memang tidak disangkal. Apatah lagi sikap peramah kakitangan bank yang melayani ibu ketika itu, berbual santun dapat megesan unsur-unsur penipuan yang tidak disedari langsung oleh si ibu tua itu. Dan seterusnya berjaya menghalang penipuan ke atas ibu saya.

Apa yang lebih penting adalah keselamatan ibu tua saya telah diberi keutamaan kerana kuncu-kuncu syarikat gores dan menang sedang menunggu si ibu di luar bank untuk menanti wang RM18,000. Terima kasih sekali lagi saya ucapkan. Syabas dan tahniah.

No comments:

Post a Comment