Wednesday, April 13, 2011

Pahitnya Nak Beranak

Pengalaman pahit sambut anak pertama di Hospital Serdang

IZHAR Serdang, Selangor.

Dua minggu lepas isteri saya selamat melahirkan anak pertama kami di Dewan Bersalin Hospital Serdang, Selangor.

Detik kelahiran anak kami yang ditunggu selama 40 minggu mengandung sepatutnya disambut dengan gembira oleh kami sekeluarga. Tapi sehingga kini isteri saya mengalami trauma untuk memegang, menggendong serta menyusukan anak. Lebih teruk, isteri saya seperti serik untuk melahirkan anak lagi.

Inilah pengalaman kami semasa berada di Dewan Bersalin Hospital Serdang:

* Sikap biadap jururawat bertugas di bahagian kaunter dalam dewan bersalin. Beliau hanya menunjuk dengan memuncungkan bibir bilik yang menempatkan isteri saya.

* Semasa isteri saya mengalami contraction jururawat merentap tangan isteri saya secara kasar untuk memasang wayar intravena tanpa memaklumkan prosedur.

* Jururawat bertugas mengingatkan kami, sekiranya mereka meninggikan suara jangan anggap mereka kasar. Itu adalah prosedur biasa bagi membantu ibu bersalin.

* Bila cecair intravena habis, saya ke kaunter untuk memaklumkan kepada jururawat bertugas. Seperti tidak dilayan, sekumpulan Houseman dan jururawat cuma menjeling kepada saya. Hanya selepas 30 minit barulah seorang Jururawat Masyarakat masuk secara kebetulan (bagi tujuan pemeriksaan CTG). Mukanya masam seperti terpaksa bila saya mengatakan cecair intravena perlu diganti.

* Selama empat jam kami di bilik bersalin, cuma tiga kali jururawat masuk melihat keadaan sedangkan ini adalah pengalaman pertama kami. Tiada panduan atau dorongan bagi kami berdua oleh kakitangan atau doktor bertugas.

* Ketika hampir bersalin, jururawat masyarakat yang menyambut bayi kami bersikap kasar. Sudahlah tidak memaklumkan prosedur, terus menepuk paha isteri saya serta menengking isteri saya bagi mengeluarkan bayi.

* Selepas bersalin, isteri saya diarahkan memegang bayi dan memberi penyusuan pertama untuk bayi kami. Ini adalah pengalaman pertama isteri saya memegang serta menyusukan bayi. Janggal serta kekok bagi isteri saya. Jururawat bertugas memerli isteri saya dengan berkata, "Nak pegang baby pun tak betul, macam mana nak jadi mak?". Kebetulan puting isteri saya tidak timbul, ini lagi menambahkan tekanan untuk menyusukan anak kami.

Persoalan saya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Jururawat Malaysia serta pihak Hospital Serdang:

* Adakah menjadi polisi KKM bagi menempatkan serta mendidik kakitangan di dewan bersalin supaya biadap dan kurang mesra terhadap pelanggan?

8 Adakah sikap kasar, biadap serta meninggikan suara akan dilakukan terhadap pelanggan VVIP yang bersalin di hospital kerajaan? Dan adakah adil kami rakyat biasa diperlakukan seperti ini?

* Wajarkah KKM menilai atau menarik kembali anugerah Hospital Rakan Bayi di Hospital Serdang kerana tiada bimbingan diberikan kepada isteri saya cara penyusuan bayi selain dari 'hinaan' oleh kakitangannya?

* Adakah menjadi polisi dan budaya kepada Lembaga Kejururawatan Malaysia melahirkan jururawat yang tidak profesional, tidak tersenyum dan kasar dalam mengendalikan pesakit?

* Wajarkah pihak Hospital Serdang menilai semula penempatan jururawat yang biadap dan kasar di dewan bersalin?

Saya berharap KKM tidak mengeluarkan kenyataan penafian. Lakukanlah kajian serta dapatkan respons daripada setiap pesakit dari semasa ke semasa bagi meningkatkan perkhidmatan hospital kerajaan.

Benarlah kata rakan-rakan saya yang pernah bersalin di hospital kerajaan, sikap biadap serta kasar yang ditunjukkan oleh setiap jururawat tidak mencerminkan sikap profesional dan penyayang dalam menjalankan tugas.

Apa gunanya slogan KKM 'Kami Sedia Membantu' jika sikap kakitangannya lebih gemar menggunakan slogan 'Kamu Perlu Bantuankah' untuk masyarakat? Bersama-samalah berubah supaya slogan yang diucapkan mencerminkan perkhidmatan yang ditampilkan.
TAJUK-TAJUK BE

No comments:

Post a Comment