Soalan peperiksaan SPM lebih memihak kepada pelajar perempuan?
ZIN MARKAM
Pontian, Johor
"SAYA belajar bersungguh-sungguh, tumpukan perhatian semasa guru
mengajar, mengulang kaji pelajaran, tanya cikgu jika tak faham dan
banyak buat latihan." Biasanya inilah jawapan apabila ditanya sebab
pelajar cemerlang dalam peperiksaan.
Memang benar sikap pelajar sebegini menjadi faktor penting menentukan
kejayaan akademik. Bagaimanapun terdapat beberapa faktor lain seperti
faktor guru, pentadbir sekolah, kemudahan pengajaran dan pembelajaran,
prasarana sekolah, keluarga, rakan sebaya, masyarakat dan persekitaran
luar sekolah.
Berdasarkan kajian, seorang pakar pendidikan di Pusat Permata Pintar
Negara, Prof. Dr. Rahayah Arifin mendapati prestasi pelajar lelaki dalam
keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semakin menurun sejak 15 tahun
lalu berpunca daripada bentuk soalan peperiksaan yang lebih memihak
kepada pelajar perempuan.
Menurutnya, soalan SPM lebih menjurus kepada kemahiran menulis, teks
dan linguistik yang lebih dikuasai pelajar perempuan. Manakala soalan
yang mengandungi elemen berkaitan angka, grafik, visual, logik dan
matematik tidak ditekankan dalam SPM sedangkan inilah yang lebih
dikuasai pelajar lelaki.
Dalam menyediakan set soalan untuk sesuatu kertas peperiksaan
biasanya ada keseimbangan antara tiga aras kesukaran iaitu soalan mudah,
soalan sederhana dan soalan yang lebih mencabar. Soalan juga hendaklah
meliputi semua tajuk utama dalam sukatan pelajaran supaya taburannya
lebih menyeluruh.
Eloklah Lembaga Peperiksaan Malaysia meneliti populariti soalan
berdasarkan jantina ini dan menilai kesesuaiannya, dalam proses
pembinaan soalan untuk kita berlaku adil. Keseimbangan soalan yang
memihak kepada pelajar lelaki dan perempuan wajar diambil kira. Kasihan
pelajar lelaki kerana selama ini bentuk soalan lebih memihak kepada
pelajar perempuan.
Namun pelajar lelaki perlu membaiki disiplin diri. Kita kerap
mendengar pelbagai masalah pelajar seperti ponteng sekolah, ponteng
kelas, kurang memberi perhatian ketika guru mengajar, tidak minat
belajar, malas berfikir serta tidak mengulangkaji pelajaran. Juga tiddak
buat kerja rumah, tiada jadual belajar, selalu berkeliaran dan
sebagainya.
Jika pelajar lelaki masih terus mendominasi sikap negatif tersebut,
prestasi cemerlang SPM akan tetap memihak kepada pelajar perempuan.