Warga asing bawa pulang troli ke rumah
Tarikh : December 16, 2011
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jalan Semilang, Omar Abdullah berkata, lebih 50 troli dilihat berada di merata-rata tempat, bukan sahaja di kawasan perumahan, parit, tepi jalan, malah ada juga yang dibuang di dalam sungai.
Menurutnya, lambakan troli itu mengundang pelbagai masalah, terutama gangguan lalu lintas, selain aliran sungai tersekat.
“Saya kesal kerana troli itu diletakkan sesuka hati di merata tempat, lebih parah yang dibuang ke dalam sungai. Tidak kurang lima troli ada dalam sungai. Keadaan itu menyebabkan sampah tersangkut dan air tidak dapat mengalir. Ia boleh mengundang banjir.
“Masalah ini sudah lama tetapi makin menjadi-jadi sejak beberapa bulan lalu. Sebelum ini pihak pasar raya mengutip semula troli yang bersepah ini, tetapi lama-kelamaan mereka biarkan sahaja sebab terlalu banyak dan tidak terkawal,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Omar berkata, ada juga troli yang ditukar fungsinya dan digunakan sebagai ampaian untuk menyidai pakaian.
Beliau dalam pada itu berkata, ada pihak turut mengambil kesempatan menjual troli ke premis barangan lusuh demi mengaut keuntungan peribadi.
Katanya, perbuatan itu didakwa sering dilakukan pada waktu malam ketika jalan sunyi.
“Mereka akan kumpul troli itu di satu tempat, dan lori akan datang mengambilnya lalu dibawa untuk dijual,” katanya.
Justeru, beliau yang mewakili penduduk meminta pihak pasar raya supaya memantau masalah itu demi kepentingan bersama.
Pada masa sama, beliau mencadangkan pengawal keselamatan ditempatkan di setiap pintu keluar pasar raya agar troli tersebut tidak dibawa keluar sewenangnya.
No comments:
Post a Comment