Lima ditahan cuba jual bayi RM7,000
KUCHING 27 Dis. - Polis menahan lima individu termasuk dua wanita pada Khamis lalu kerana dipercayai cuba menjual bayi perempuan yang baru dilahirkan teman wanita salah seorang daripada mereka dengan harga RM7,000.
Penahanan itu ekoran hasil maklumat ibu bayi berkenaan yang secara tidak sengaja menemui sepucuk surat mengandungi butiran jual beli di atas namanya di dalam bakul sampah di rumah didiaminya di Tabuan Keranji di sini.
Menurut sumber, wanita berkenaan berusia 31 tahun dan berasal dari Kuala Lumpur itu melahirkan bayi tersebut di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 19 Disember lalu.
"Sehari selepas itu, dia dibawa keluar teman lelakinya yang berasal dari Johor sebelum dihantar ke sebuah rumah di Tabuan Keranji.
"Wanita berkenaan yang masih dalam pantang dijaga oleh seorang wanita dari Sibu yang tidak dikenalinya," katanya di sini hari ini.
Menurut sumber, wanita berkenaan mendakwa tidak tahu menahu mengenai urusan jual beli berkenaan.
Katanya, berikutan laporan dibuat wanita itu, polis menahan kelima-lima suspek dengan empat daripadanya ialah penduduk tempatan pada petang Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mun Kock Keong mengesahkan kes berkenaan dan berkata, lima suspek itu ditahan untuk siasatan lanjut.
No comments:
Post a Comment