Gara-gara curi coklat RM3, penganggur didenda RM500, penjara sehari
KUALA LUMPUR 6 Dis. - Gara-gara mencuri tiga keping coklat yang berharga RM3 dari sebuah pasar raya minggu lalu, seorang penganggur dihukum penjara sehari dan didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Shaiful Azhah Shaiful Azmi, 18, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.
Tertuduh didakwa mencuri dua keping coklat jenama Kit Kat dan sekeping lagi yang berjenama Brushberry di pasar raya Mydin, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada pukul 2 petang, 2 Disember lalu.
Pada prosiding berasingan, rakan lelaki terbabit, Mohd. Azlil Al Jefri, 18, turut menghadapi hukuman serupa bagi kesalahan mencuri yang dilakukan pada tempat, waktu dan tarikh yang sama.
Mohd. Azlil mengaku mencuri dua keping coklat jenama Kit Kat dan empat botol syampu yang keseluruhannya berjumlah RM52.40.
Pegawai Pendakwa, Asisten Supritendan Zulkifli Osman mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.
Selain itu, mahkamah memerintahkan kesemua tertuduh terbabit yang tidak diwakili peguam bela dipenjara lima bulan lagi jika mereka gagal membayar denda tersebut.
Bagaimanapun, kedua-dua rakan itu menjelaskan bayaran tersebut.
No comments:
Post a Comment