Penyamun naik basikal larikan RM120,000
SHAH ALAM 29 Dis. - Hanya dengan menaiki basikal, tiga penjenayah dikatakan berjaya melarikan pelbagai mata wang asing dianggarkan bernilai RM120,000 selepas menyamun sebuah kedai pengurup wang di Jalan Pelabuhan, Pelabuhan Klang dekat sini semalam.
Kejadian tidak sampai lima minit itu berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi ketika seorang pekerja berada di dalam premis itu.
Difahamkan, premis tersebut tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan pengawal keselamatan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof berkata, siasatan awal mendapati, tiga lelaki terbabit, salah seorang daripadanya membawa objek seperti pistol mengugut pekerja premis terbabit supaya menyerahkan semua mata wang asing yang disimpan.
Beliau berkata, mangsa yang ketakutan terpaksa mengikut arahan ketiga-tiga suspek yang kemudian melarikan diri selepas memperoleh hasil samun.
"Mangsa kemudian membuat laporan polis dan hasil siasatan, ada saksi yang nampak ketiga-tiga suspek bergegas keluar dari premis tersebut dan melarikan diri dengan menunggang basikal.
"Bagaimanapun, polis belum dapat memastikan sama ada maklumat tersebut benar atau tidak," kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohamad, pihaknya sedang menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan namun belum ada tangkapan dibuat.
No comments:
Post a Comment