ARKIB : 07/08/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 3
Asnaf mualaf yang dinafikan hak?
DEMI KEBENARAN
SAYA terpanggil untuk meluahkan rasa sedih, kecewa dan terkilan kepada Baitulmal Jabatan Agama Islam Ipoh, Perak.
Saya mempunyai seorang sahabat kaum Cina campuran India yang beragama Buddha.
Sejak Julai 2011 beliau telah memeluk agama Islam secara sukarela memandangkan beliau telah lama tinggal di kalangan Melayu beragama Islam.
Saya telah membantu dan menemaninya sewaktu melafazkan kalimah syahadah tersebut. Sahabat saya itu seorang yang buta huruf akibat kesusahan keluarga dan langsung tidak pernah bersekolah.
Disebabkan ketiadaan sijil kelayakan maka dia sangat sukar mendapatkan pekerjaan. Sebelum ini beliau pernah bekerja di bengkel motosikal milik abang kandungnya. Namun setelah dia diketahui memeluk agama Islam beliau telah diberhentikan serta-merta dan di pulau oleh abangnya. Maka beliau kini hilang punca rezeki dan terpaksa menyewa di tempat lain.
Saya telah menulis dan mengisi borang bantuan mualaf dan zakat bagi pihaknya (disaksikan oleh beliau sendiri) serta mendapat kelulusan daripada ketua kampung.
Seperti yang diketahui, salah satu golongan yang layak menerima bantuan zakat adalah golongan mualaf tetapi hampir setahun permohonan itu terpinggir dan tidak diketahui jawapannya. Sudah berkali-kali dihubungi dan jawapannya masih sama. Bersabar dan menunggu kerana pihak Baitulmal banyak kerja lain.
Malah saya pernah membawa sahabat saya ini sendiri ke Baitulmal untuk berbincang dengan pegawai berkenaan dan jawapan yang diberikan cukup menghampakan iaitu ramai lagi yang menunggu. Sampai dua atau tiga tahun baru dapat bantuan.
Baru-baru ini sekali lagi saya menghubungi pegawai dari Baitulmal dan salah seorang daripada pegawai memeriksa dan mengatakan bahawa mungkin pegawai dulu tak buat kerja, terlepas pandang, banyak urusan lain dan sebagainya.
Tahun lepas salah seorang pegawai telah berjanji akan datang menyiasat pada Hari Raya Haji tahun lalu. Namun setelah semuanya berlalu dan banyak kali dihubungi mereka menyatakan bahawa pegawai mereka sibuk.
Janji tinggal janji. Malah dia tidak berani berjanji sama ada sahabat saya itu berjaya mendapat bantuan tersebut atau pun tidak disebabkan sahabat saya ini mempunyai keupayaan untuk bekerja.
Saya percaya pada slogan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan. Namun jika golongan seperti ini ditindas tak mustahillah kegiatan jenayah akan terus meningkat saban hari.
Pada pandangan saya, sahabat saya wajar diberi bantuan memandangkan dia tidak tahu membaca dan langsung tidak dihantar bersekolah.
Berpuluh kali beliau memohon pekerjaan baik kemahiran mahupun sebagai pengangkat barang. Rata-rata memerlukan pekerjanya tahu membaca, menulis dan mengira sedangkan sahabat saya ini golongan terpinggir yang tidak mendapat apa-apa kebajikan.
Saya sebagai seorang umat Islam malu dengan layanan yang diberikan oleh pegawai dari jabatan tersebut yang menganggap golongan sebegini pengemis yang gemar meminta-minta pada halnya mereka tidak berada di tempat golongan seperti ini.
No comments:
Post a Comment