Lima beradik perlukan bantuan
31 Julai 2012
PENGKALAN HULU - Seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai buruh di lombong bijih timah di Kelian Intan di sini dengan pendapatan RM600 sebulan hanya mampu meraih simpati bagi membesarkan dan menyekolahkan lima anaknya.
Zaleha Ahmad, 49, sentiasa bimbangkan masa depan anak-anaknya itu selepas kematian suaminya Mohd Yusof Ali, 59, akibat kemalangan jalan raya pada hari pertama Ramadan ini.
Lebih memeritkan lagi, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM200 sebulan kepada allahyarham suaminya sebelum ini yang menghidap sakit jantung juga telah dihentikan.
"Setiap hari persekolahan saya memerlukan wang sekurang-kurangnya RM15 sehari, tidak termasuk belanja dapur untuk kami empat beranak makan secara ala kadar sejak arwah tiada," katanya ketika ditemui di rumahnya di Penempatan Semula Masyarakat di Kampung Bukit Buluh di sini hari ini.
Anak sulungnya, Nur Hakimah, 15, belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Saban di sini, Mohd Hazrul Nizam, 13, di Sekolah Menengah Pengkalan Hulu, Nurul Shakila, 12, tinggal di asrama Pengajian Agama Al Taqwa di sini, Mohd Ikhrul Ikhwan, 10, di Sekolah Kebangsaan Kelian Intan sementara anak bongsu, Mohd Ashraf berusia enam tahun.
Zaleha yang bersyukur kerana Nurul Shakila kini tinggal di asrama anak anak yatim Al Taqwa berkata:"Saya tidak mampu menyediakan pakaian hari raya untuk anak anak".
Setiap hari kerja dia akan ke lombong seawal 7 pagi dan pulang ke rumah pukul 3 petang.
Ketika ibunya bekerja, Nur Hakimah terpaksa memasak sebaik pulang dari sekolah.
Penderitaan lima beranak ini mendapat perhatian Naib Ketua Umno Bahagian Gerik, Aznil Ibrahim yang tampil menghulurkan sumbangan wang bagi meringankan beban keluarga ini.
"Saya berharap, pihak JKM daerah akan dapat menyambung bantuan bulanan kepada Zaleha dalam kadar segera memandangkan kesempitan hidup yang ditanggungnya," katanya.
Lebih menyedihkan, rumah mereka hanya mempunyai dua lampu sahaja iaitu di bahagian ruang tamu dan di bilik dapur.
Bagi mereka yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini, boleh menyumbang melalui Bank Islam atas nama Nur Hakimah Mohd Yusuf (Nombor Akaun: 02048020477018). - Bernama
No comments:
Post a Comment