Surirumah disamun, anak OKU jadi wira
6 Ogos 2012
Ibu kepada empat anak itu berkata, tindakan anak ketiganya, Mohd Izzam Salleh, 8, Orang Kurang Upaya (OKU) kategori pertuturan itu berjaya menyelamatkan nyawanya semasa bergelut dengan seorang penyamun dalam satu kejadian di kediamannya, di Kampung Lerek, Tepoh di sini, Jumaat lalu.
Menceritakan detik cemas itu, Khatijah berkata, semasa kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari iaitu waktu solat Jumaat, hanya dia bersama tiga lagi anaknya termasuk Mohd Izzam berada di rumah, manakala suaminya, Salleh Awang, 45, dan anak sulungnya, Ahmad Ikhwan Salleh, 11, menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran.
“Ketika itu, saya sedang mencuci baju di bilik air dan tidak menutup pintu dapur untuk memudahkan saya mengambil air, memandangkan paip air berada di luar rumah.
“Sebelum itu, saya ada mendengar suara seorang lelaki bertanyakan sama ada ingin membeli kelapa atau tidak memandangkan suami saya merupakan seorang peniaga di pasar borong,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.
Khatijah berkata, tanpa sempat memberikan jawapan, secara tiba-tiba dia terasa ada benda tajam dihunus ke lehernya sebelum suspek menyuruh dia menyerahkan rantai yang dipakainya.
“Ketika itu, saya baru sahaja hendak berpaling melihat ke arah suara lelaki itu, namun hanya sempat memandang dia yang memakai topi keledar sekali lalu sahaja kerana dia terlalu pantas mencengkam leher saya dengan kuat dari belakang, sambil mengacukan pisau rainbow.
“Saya langsung tidak tahu di mana datangnya kekuatan untuk berlawan dengan suspek walaupun ketika itu, sedar nyawa saya dalam bahaya,” katanya.
Menurutnya, semasa sedang bergelut kira-kira hampir setengah jam itu, anaknya Mohd Izzam ternampak kejadian itu dan mungkin niat ingin membantunya, dia yang mempunyai masalah pertuturan menangis sekuat hati.
“Mungkin kerana ingin menyelamatkan saya, Mohd Izzam menangis sekuat hati dengan harapan jiran dapat mendengar sekali gus pada masa sama, dapat menakutkan suspek.
“Bagaimanapun, suspek langsung tidak mengendahkan tangisan Mohd Izzam dan disebabkan itulah, dia bertindak mengambil paip air berdekatan lalu menyembur ke arah suspek,” katanya.
Menurutnya, mungkin tidak tahan dengan semburan air paip itu, suspek terus cabut lari dengan meninggalkan pisau rainbow itu dan seliparnya, namun suspek sempat merampas sebahagian rantai di leher yang putus semasa sedang bergelut.
Dalam kejadian itu, Khatijah bukan sahaja kerugian hampir RM10,000 malah dia turut mengalami kecederaan di bahagian tangan akibat dikelar dengan pisau selain lebam pada mata kanan, dipercayai ditumbuk dan cedera di kepala dipercayai terhantuk pada dinding bilik air serta diterajang oleh suspek.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi semalam mengesahkan kejadian.
No comments:
Post a Comment