Impian raya dengan iPhone lebur
Wartawan Sinar Harian
12 Ogos 2012
KERTEH – Gara-gara diperdaya seorang lelaki, seorang juru pam yang bekerja di sebuah stesen minyak dekat sini kerugian sebanyak RM300 apabila telefon bimbit pintar jenis iPhone 4 yang dibeli dengan lelaki itu adalah telefon bimbit sampel dan tidak boleh digunakan.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 petang kelmarin, Zuraini Idris, 18, yang tertarik dan teruja dengan harga murah yang ditawarkan lelaki itu berumur lingkungan 30-an yang tiba-tiba datang ke stesen tempatnya bekerja membuat keputusan membeli telefon itu sebelum menyedari telefon berkenaan hanyalah telefon sampel.
Zuraini berkata, selepas menyerahkan wang sebanyak RM300, lelaki itu yang berpakaian agak selekeh dengan kening kanan luka segera keluar dari stesen minyak dan berlalu dengan teksi.
“Waktu didatangi lelaki itu, saya berada di kaunter di dalam kedai. Sebelum itu, dia tawarkan iPhone 4 itu dengan harga RM500 kepada pelanggan yang sedang mengisi minyak. Ada antara pelanggan yang tawarkan harga RM100 tetapi dia tak mahu.
“Lepas itu dia masuk ke dalam kedai dan tawarkan kepada saya. Ketika itu dia cakap ‘saya mahu cari makan’ dan tambahnya ‘ambik angkat RM300’. Dengan tawaran harga murah saya berminat jadi saya suruh dia buka kad Sim dan dia buka. Malah, dia turut mengambil gambar untuk tunjukkan kamera telefon itu bagus,” katanya semalam.
Bagaimanapun, menurut Zuraini, apabila dia menawarkan harga, lelaki itu yang berketinggian kira-kira 165 sentimeter itu memasukkan telefon itu ke dalam poket seluar kerana tidak bersetuju dengan harga itu.
“Justeru, saya bersetuju beli telefon itu dengan harga RM300. Saya pinjam duit kawan dan apabila saya bayar lelaki itu tergesa-gesa beri telefon yang dikeluarkan dari poketnya dan segera beredar keluar.
Tetapi, telefon itu tidak berfungsi walau saya sudah tekan butang ‘on’ dan saya rasa telefon yang diberi kepada saya bukan telefon seperti yang ditunjukkan pada saya sebelum itu.
“Pagi tadi saya pergi kedai telefon dan pemilik kedai beritahu telefon ini tak boleh guna dan hanya telefon untuk pameran,” katanya sambil mengakui keadaan telefon yang dibeli itu menyerupai telefon asli menyebabkan dia tidak menyedari ditipu.
Menurutnya, ketika itu kawasan persekitaran tempatnya bekerja agak sunyi kerana pelanggan tidak ramai sementara pekerja yang bekerja pula hanya empat orang sahaja.
Berikutan itu, Zuraini berharap orang ramai tidak mudah terpedaya dan menjadikan peristiwa yang menimpanya sebagai pengajaran.
“Melayang duit RM300 tambahan lagi raya sudah dekat. Kegembiraan untuk beraya dengan iPhone juga musnah.
“Namun, saya harap kisah saya ini dapat dijadikan sebagai ingatan kepada orang lain agar tidak terkena dan terpedaya dengan tipu helah yang sama,” katanya.
No comments:
Post a Comment