Sunday, August 12, 2012

mata malam

Melihat dalam gelap


LOUISE (kanan) dan Andy (kiri) memastikan Harvey tidak ketinggalan dalam mendapatkan pendidikan sewajarnya.


SEORANG budak lelaki berusia tiga tahun di Britain, Harvey Webb mengalami masalah penglihatan yang pelik. Dia dapat melihat dengan baik dalam gelap, tetapi ‘buta’ apabila cerah.
Untuk mengatasi masalah itu, Harvey mengenakan sepasang cermin mata hitam bagi membantu dia melihat terutamanya ketika duduk di tempat bercahaya.
Ibu bapa budak itu terpaksa menutup kesemua langsir rumah mereka sepanjang hari. Sekurang-kurangnya cara itu membolehkan Harvey menatap wajah ibu bapanya.
Masalah penglihatan yang dihidapnya itu dikenali sebagai akromatopsia. Ia bermakna dia juga mengalami buta warna dan melihat dunia dalam dua warna sahaja iaitu hitam dan putih.
Ibunya, Louise memberitahu, Harvey tidak boleh melihat sebarang kecerahan sama ada lampu mahupun cahaya matahari.
“Cahaya normal pada siang hari yang dilihatnya sama seperti kita memandang silau cahaya matahari ketika memandu. Kami perlu menyediakan suasana paling gelap agar dia dapat melihat dengan baik,” kata Louise, 35.

Sensitif
Cermin mata hitam yang dipakai Harvey direka bagi mengawal kemasukan cahaya sebanyak 10 peratus sahaja.
Keadaan itu bermakna Harvey mempunyai masalah untuk keluar bermain dan terpaksa berjaga-jaga dengan sinar matahari.
Akromatopsia dihidap oleh kira-kira 35,000 orang di seluruh dunia. Ia berlaku pada bahagian retina mata apabila sel-sel yang bertanggungjawab kepada sensitiviti warna dan cahaya tidak berfungsi sebaiknya.
Harvey dikenal pasti berdepan masalah itu pada tahun 2009 setelah ibu bapanya mengesan kelainan apabila dia berada dalam persekitaran terang.
Pada asalnya, doktor mengesahkan Harvey menghidap masalah nistagmus iaitu anak mata yang bergerak-gerak kiri ke kanan atau atas ke bawah. Namun, semasa berumur tujuh bulan barulah pakar mengesahkan dia menghidap masalah akromatopsia.
Menyedari seorang kanak-kanak memerlukan pendidikan awal sendiri, ibu bapa Harvey tidak mahu anak mereka ketinggalan. Justeru, pelbagai kaedah pendidikan awal yang bersesuaian didedahkan kepadanya.
“Seorang budak perlu belajar mengenai kehidupan melalui alam sekeliling. Mereka perlu keluar dan tengok haiwan di atas pokok atau pesawat di udara.
“Oleh kerana mata Harvey bermasalah, kami mencari kaedah lain untuk mengajarnya iaitu dengan menggunakan buku dan televisyen sebagai medium pembelajaran,” kata bapa Harvey, Andy.
Harvey kini dihantar ke sebuah pusat jagaan orang buta untuk mendapat latihan sewajarnya.
Masalah yang dihidapnya itu bermaksud dia tidak boleh memandu pada masa depan dan memerlukan bantuan sewajarnya di dalam kelas apabila mengikuti pembelajaran bersama kanak-kanak normal.
Sekurang-kurangnya dengan menyertai pusat itu, dia boleh menggunakan penglihatan yang terhad itu secara maksimum.

BEGINILAH penghidap akromatopsia melihat dunia iaitu dalam keadaan tanpa warna.


Terhad
Menurut pakar, sehingga kini tiada rawatan untuk mengatasi akromatopsia.
Perunding mata di Hospital Mata Moorfields, London, Dr. Tony Moore, berkata, penglihatan yang terhad akan mengehadkan aktiviti golongan itu.
Penghidap juga berdepan masalah keyakinan diri untuk berada di luar apatah lagi mereka sangat sensitif kepada cahaya.
“Pandangan mereka menjadi lebih teruk dalam keadaan cahaya terus berbanding kita yang akan nampak dengan lebih jelas dalam situasi begitu,” kata Moore.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Optometris Malaysia (AMO), Murphy Chan menjelaskan, keadaan seperti yang dialami Harvey perlu dikesan lebih awal oleh ibu bapa agar pembelajaran anak-anak tidak terbantut.
“Masalah itu boleh diketahui melalui pemeriksaan penglihatan oleh pengamal perubatan bertauliah. Seorang ahli optometris akan melakukan beberapa tahap pemeriksaan.
“Tanda paling utama seseorang itu mempunyai masalah ini ialah apabila dia menunjukkan simptom seperti sangat sensitif kepada cahaya dan sukar melihat” katanya kepada Jurnal.
Murphy berkata, masalah tersebut turut dipengaruhi faktor genetik. Anak boleh mewaris masalah itu daripada ibu bapa yang menjadi pembawa gen akromatopsia.
Bagaimanapun, penghidap mampu menjalani kehidupan yang lebih selesa dengan mengenakan alatan yang sesuai terutamanya cermin mata khas.
“Walaupun sehingga kini kaedah rawatan kekal belum ditemui, kanak-kanak yang menghidap masalah itu boleh memakai sepasang kaca mata khas untuk membantunya melihat.
“Selain cermin mata dengan kanta rabun dekat dan jauh, pesakit perlu mengenakan cermin mata dengan kanta merah untuk mengurangkan sensitiviti kepada cahaya.
“Kini sejenis alat terbaharu diperkenalkan iaitu eyeborg yang dikenakan pada mata untuk membantu mereka melihat warna melalui gelombang bunyi,” kata Murphy.

No comments:

Post a Comment