Wednesday, July 25, 2012

jom berbuka di padang

Berbuka di padang rumput, Dataran Shahbandar jadi pilihan
NURUL HUDA HUSAIN
25 Julai 2012
Berbuka di padang rumput, Dataran Shahbandar jadi pilihan
Padang rumput Dataran Shahbandar mula dipenuhi orang ramai yang menanti waktu untuk berbuka.
KUALA TERENGGANU – Senario berbuka puasa beramai-ramai di padang rumput Dataran Shahbandar, di sini, dilihat seakan menjadi fenomena bagi kebanyakan umat Islam setiap kali datangnya Ramadan.
Jika dulu, kebanyakan pihak memilih untuk berbuka di rumah kerana beranggapan ia lebih selesa, tetapi kini keadaannya berubah apabila orang ramai mengambil peluang berbuka beramai-ramai kerana ia lebih menyeronokkan.
Bukan sahaja dapat berbuka bersama ahli keluarga, senario sebegitu juga turut memberi peluang kepada kita untuk melihat orang lain yang turut serta dengan pelbagai ragam, di samping peluang menikmati keindahan alam.
Tinjauan Sinar Harian di sekitar Dataran Shahbandar kira-kira jam 6.30 petang semalam mendapati, hampir di segenap ruang di atas padang rumput dipenuhi orang ramai yang sedang bersiap sedia untuk menanti tibanya waktu berbuka puasa.
Pelajar, Nor Azrin Kamaruddin, 20, berkata, hampir dua tahun menuntut di negeri ini yang terkenal dengan keindahan pantai dan alam semula jadi, dia mengakui setiap kali tibanya Ramadan aktiviti berbuka secara beramai-ramai di kawasan terbuka menjadi pilihan.
“Biasalah bagi anak rantau seperti kami, rakan-rakan merupakan saudara yang paling dekat kerana keluarga berada jauh dan dengan adanya aktiviti sebegini, sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesedihan tidak dapat berbuka bersama ahli keluarga lain.
“Selalunya kami akan bertukar-tukar tempat, jika sudah bosan berbuka dan membeli juadah berbuka di sini (Dataran Shahbandar), kami akan ke bazar Ramadan di Batu Burok dan akan terus berbuka di tepi pantai beramai-ramai,” kata anak jati Johor itu.
Seorang lagi pengunjung, Suhaimi Ali, 38, berkata, sudah menjadi rutin bagi mereka sekeluarga untuk berbuka beramai-ramai kerana ia bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga memberi kelainan kepada anak-anak untuk berbuka di luar.
“Selain rumah sendiri dan restoran, berbuka beramai-ramai di kawasan terbuka seakan telah menjadi rutin buat kami sekeluarga, apatah lagi anak-anak yang masih kecil sememangnya suka dengan aktiviti sedemikian dan ia merupakan salah satu cara untuk meraikan anak-anak yang baru belajar berpuasa.
“Saya juga melihat aktiviti berbuka ini dapat menggantikan waktu berkelah hujung minggu dengan anak-anak dan ia sememangnya menyeronokkan kerana boleh melihat pelbagai ragam orang berbuka,” katanya.

No comments:

Post a Comment