Sunday, July 29, 2012

orang melayu mudah kena tipu

ARKIB : 28/07/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 0
Melayu sasaran sindiket 'gores dan menang'

KUANTAN 27 Julai - Orang ramai khususnya masyarakat Melayu di bandar ini diminta supaya berhati-hati dengan kegiatan penipuan satu syarikat yang mensasarkan kaum itu sebagai mangsa untuk memenangi kereta Toyota Camry.

Mangsa yang enggan namanya dikenali berkata, ini kerana hampir 99. 5 peratus mangsa yang tertipu dengan sindiket penipuan tersebut terdiri daripada kaum itu.

Menurutnya, modus operandi syarikat itu adalah mendekati mangsa dengan memberikan kupon yang tertera di atasnya telah memenangi sebuah kereta Toyota Camry tanpa perlu mengeluarkan wang.

"Tanpa bertanya banyak kepada wakil syarikat itu, saya seakan-akan terpukau dengan apa yang dikatakan olehnya lantas mengikutnya pergi ke pejabat syarikat itu yang terletak di Jalan Haji Ahmad.

"Sampai di sana, wakil syarikat itu mengucapkan tahniah kepada saya kerana telah memenangi kereta Toyota Camry tetapi saya perlu mengeluarkan sedikit wang berjumlah RM8,900 untuk bayaran cukai jalan dan insurans kereta sahaja.

"Saya cakap, saya tidak mempunyai wang sebanyak itu tetapi kalau RM5,000 saya boleh berikan dan mereka bersetuju. Tetapi, ternyata kereta yang dijanjikan hanya penipuan syarikat itu untuk menipu mangsanya terutama orang Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas dia bersama sembilan lagi mangsa pergi ke pejabat syarikat itu untuk meminta kembali wang mereka.

Bagaimanapun, syarikat itu enggan menyerahkan wang kesemua mangsa yang ditipu dan meminta kesemua mereka menunggu selama dua minggu lagi.

Berang kerana syarikat itu enggan memulangkan wang mereka, kesemua mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kuantan di sini.

Seorang lagi mangsa yang juga enggan dikenali berkata, sindiket itu licik sehingga dia sendiri tidak menyangka akan mengeluarkan wang sebanyak RM8,900 semata-mata untuk mendapatkan hadiah kereta Toyota Camry yang dikatakan dimenanginya.

"Pada awalnya, saya tidak terfikir ini merupakan penipuan, tetapi selepas segala urusan selesai sehingga wang diberikan kepada syarikat itu, baru saya sedar dan terfikir apakah saya sudah tertipu sehingga sanggup mengeluarkan wang sebanyak itu," katanya.

No comments:

Post a Comment