Bomoh Aji tiduri isteri orang
Oleh WARTAWAN Kosmo! Ahad
PAKU yang dibalut kain kuning, air
kolah masjid dan akar sintok merupakan bahan-bahan pengubatan yang
digunakan Aji. - Gambar hiasan
DI SEBALIK raut wajahnya yang tenang bagaikan seorang lelaki yang
tinggi ilmu agama, siapa sangka dia sebenarnya bijak memperdayakan
wanita demi memenuhi kepuasan seksualnya sendiri.
Dengan bermodalkan nama pengamal perubatan Islam yang mampu
mengubati pelbagai penyakit, Halim, 60, meniduri pesakit-pesakit
wanitanya dengan menggunakan sihir pengasih.
Menurut salah seorang mangsa, Maria, 44, Halim yang lebih dikenali
dengan panggilan Aji dalam kalangan pesakitnya itu dipercayai membacakan
jampi sihir ke atas pesakit wanita ketika dia mengurut ataupun
memandikan mereka.
“Kejadian ini bermula apabila saya pergi berubat dengan Aji kerana
saya menghidap sakit dada setelah dicadangkan oleh suami yang
sememangnya mengenali bomoh tersebut.
“Bagaimanapun, pada keesokan harinya, saya secara tiba-tiba sering
teringatkan wajah dan terbayangkan diri Aji,” katanya ketika ditemui
Kosmo! Ahad di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Gila bayang
Menurutnya lagi, dia tidak ubah seperti orang yang gila bayang dan
angau kerana sentiasa terfikirkan tentang bomoh yang telah tujuh tahun
menduda itu.
“Hati saya berasa tidak tenteram dan secara tiba-tiba timbul satu
perasaan cinta yang kuat serta berahi yang membuak-buak untuk bersama
dengan Aji.
“Semenjak itu, kami sering berbalas khidmat pesanan ringkas dan Aji
dilihat semakin berani mengajak saya melakukan hubungan seks dengannya,”
ujar Maria ketika mengimbau peristiwa itu.
Jelasnya, hari demi hari hubungan mereka semakin intim sehinggalah Maria dengan rela hati menyerahkan tubuhnya kepada Aji.
Bagaimanapun, rahsia Maria terbongkar apabila adik iparnya yang juga
rakan kepada Aji memberitahu suaminya tentang perbuatan terkutuk yang
dilakukan Maria.
“Aji sendiri menceritakan tentang perkara ini kepada adik ipar saya memandangkan hubungan mereka agak baik.
“Mujurlah, suami dan anak-anak mengesyaki bahawa ada sesuatu yang
tidak kena dengan diri saya dan mereka bertindak pantas dengan membawa
saya berubat dengan seorang pengamal perubatan Islam terkemuka,”
ujarnya.
Tambah Maria, dia bersyukur kerana keadaannya semakin pulih selepas
mendapatkan rawatan di sebuah pusat rawatan Islam di Gombak, Selangor.
“Secara beransur-ansur, perasaan sayang saya kepada Aji mulai
berkurangan hingga saya dapat melupakannya,” katanya yang tinggal
berhampiran dengan rumah Aji.
Menurut Maria lagi, ketika hubungan terlarang itu berlaku dia
sebenarnya berada dalam keadaan tidak sedar dipercayai akibat disihir
oleh bomoh tersebut yang semata-mata mahu memuaskan nafsunya.
“Sejujurnya, saya langsung tiada niat untuk bermain kayu tiga dengan
suami kerana segala yang berlaku antara saya dan Aji bukan atas
kerelaan saya.
“Saya takut untuk membuat laporan polis kerana kekurangan bukti selain tidak mahu maruah keluarga tercalar,” ujarnya.
Sementara itu, adik ipar Maria, Rosli, 39, mendedahkan, bomoh
tersebut pernah memberitahunya bahawa dia mampu membuatkan sesiapa
sahaja jatuh cinta kepadanya sebelum meniduri wanita itu.
“Saya pernah bertanyakan rahsia yang digunakan olehnya untuk memikat
wanita, namun dia tidak mahu berkongsi dengan saya,” jelas Rosli yang
juga merupakan rakan kepada bomoh tersebut.
Difahamkan, sebelum ini Aji berpisah dengan bekas isterinya setelah
lelaki itu ditangkap berkelakuan tidak senonoh dengan seorang pesakit
wanita di rumah mereka.
“Tidak kiralah sama ada yang datang berubat itu anak dara, sudah
berumah tangga mahupun janda, mereka pasti akan menjadi mangsa Aji,”
dakwa Rosli.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner
Zainuddin Ahmad ketika dihubungi Kosmo! Ahad berkata, perbuatan bomoh
yang memukau mangsa sehingga melakukan hubungan seks dengan mangsa boleh
didakwa di bawah Seksyen 376, Kanun Keseksaan kerana merogol.
MARIA mendakwa dia seperti tidak sedarkan diri semasa menjalinkan hubungan terlarang dengan bomoh Aji.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjara tidak kurang
daripada lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta boleh disebat.
“Dalam hal ini, mangsa dinasihatkan tampil membuat laporan polis
dengan segera bagi memudahkan pihak polis mengambil tindakan lanjut,”
katanya.
Bagi mendapatkan gambaran tepat mengenai kaedah rawatan yang
digunakan oleh Aji, wartawan Kosmo! Ahad bertindak melakukan
penyamaran dan berjumpa dengan bomoh tersebut baru-baru ini.
Hanya dengan satu panggilan telefon, penulis menyatakan hasrat untuk
berjumpa dengan Aji di rumahnya pada sebelah malam kononnya untuk
mengadu tentang masalah rumah tangga penulis yang diganggu pihak ketiga.
“Boleh sahaja datang ke rumah saya pada malam ini,” suara Aji bersahaja dan tenang di hujung talian telefon.
Berseri-seri
Benarlah kata Maria, wajah Aji kelihatan berseri-seri seperti tidak
dimamah usia. Wajahnya berbeza sekali daripada wajahnya yang penulis
lihat dalam sekeping gambar yang tunjukkan Maria kepada penulis.
Bau minyak gamat menusuk rongga hidung sebaik sahaja penulis
melangkah masuk ke dalam rumah pangsapuri yang sederhana besar itu.
“Saya baru lepas mengurut seorang pesakit yang datang dari Pahang
tadi,” beritahu Aji yang bagaikan dapat membaca fikiran penulis.
Aji tinggal sendirian di rumah itu. Sekali pandang, tiada apa yang
pelik di situ. Aji pula mengenakan baju Melayu berserta kain pelikat
dan kopiah putih di atas kepala. Dia kelihatan seperti seorang pengamal
perubatan Islam yang tulen.
Setelah memperkenalkan diri, penulis yang datang bersama seorang rakan mula berlakon dan memberitahu masalah yang dihadapi.
“Kamu perlu datang semula dengan membawa tiga biji buah limau,
sebotol air kolah masjid dan akar sintok untuk upacara memandikan kamu
bagi membuang sihir yang telah dikenakan ke atas kamu,” ujar Aji pantas
selepas mendengar penjelasan penulis.
Ketika ditanya mengenai bacaan yang boleh diamalkan bagi mengelakkan
suami daripada mendampingi wanita lain, Aji membacakan sepotong ayat
yang tidak terdapat dalam al-Quran serta diragui maksudnya.
Dia turut mengarahkan penulis supaya sentiasa membawa paku yang
diletakkan di dalam lipatan kain kuning ke mana-mana sahaja bagi
menggagalkan sihir yang dikenakan ke atas penulis.
“Amalkan segala petua yang saya beritahu. Jangan lupa datang semula
seorang diri untuk upacara mandi supaya rawatannya berkesan,” pesan Aji.
Lelaki ini seperti sangat berharap penulis akan datang bertemunya lagi
secara bersendirian.
Ketika disoal mengenai rawatan untuk penyakit lain, Aji memberitahu
yang dia boleh mengubati apa sahaja penyakit sama ada secara zahir
mahupun batin.
“Saya hanya mampu berusaha, namun dengan izin Allah sahaja semua
penyakit tersebut akan sembuh,” ujar Aji yang bibirnya tidak terlepas
daripada menyebut kalimah suci Allah.
Setelah hampir sejam berbual, penulis meminta diri untuk pulang sambil dihantar oleh bomoh itu sehingga ke muka pintu.
Riak wajahnya seperti menaruh harapan agar satu lagi mangsa baharu bakal masuk perangkap.