Thursday, November 29, 2012

kasanova ditahan

Lelaki kasanova ditahan
Wartawan Sinar Harian
29 November 2012
Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali
Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali
KLUANG - Taktik licik seorang lelaki kasanova yang memikat anak dara tua dan janda di sebuah laman web di internet, seterusnya memperdayakan golongan itu untuk menyerahkan wang kepadanya akhirnya terbongkar.
Lelaki berusia lingkungan 37 tahun itu ditahan polis pada 24 November lalu di bandar Kluang, ketika menunggu mangsa yang dikenalinya di lawan web berkenaan.
Ketua Polis Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, penahanan lelaki itu adalah susulan daripada aduan mangsa penipuan pada September lalu.
“Menerusi aduan yang diterima, mangsa telah berkenalan dengan suspek melalui sebuah lawan web di internet.
“Suspek berjanji untuk berkahwin bagi mendapatkan wang yang kononnya digunakan untuk membantu perniagaannya.
“Atas dasar percaya, mangsa memasukkan wang RM5,500 ke dalam akaun suspek. Namun, setelah bayaran dibuat, suspek memberikan pelbagai alasan mengelakkan diri daripada berkahwin dengan mangsa sepertimana yang dijanjikan,” katanya pada sidang media di IPD Kluang, di sini, semalam.
Abdul Majid berkata, modus operandi yang dilakukan suspek adalah berunsur penipuan melalui laman web bagi mendapatkan kenalan dan jodoh.
Beliau berkata, kumpulan sasaran lelaki berkenaan adalah terdiri daripada wanita berkerjaya dan suka melayari internet terutama di laman mencari jodoh bagi mendapatkan pasangan hidup.
“Kebanyakan yang tertipu adalah mereka yang terdiri daripada wanita berusia dan janda.
“Apabila berjaya mendapatkan kenalan, suspek akan menghubungi mangsa melalui telefon dan membuat beberapa perjumpaan dan seterusnya memperdayakan mangsa untuk mendapatkan wang.

“Hasil siasatan polis mendapati suspek dipercayai terlibat dalam banyak kes penipuan dengan melibatkan wang dari RM3,500 hingga RM100,000,” katanya.
Abdul Majid berkata, dengan penahanan suspek, polis berjaya menyelesaikan tiga kes di Johor, satu kes di Pahang dan satu kes di Kedah.
Katanya, suspek disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjarakan tidak lebih daripada 10 tahun, denda dan sebatan.
“Nasihat saya kepada masyarakat di luar agar lebih peka dan tidak terpedaya dengan kemudahan internet yang menawarkan perkhidmatan mencari jodoh ataupun jualan barangan murah melalui internet,” katanya.

No comments:

Post a Comment