Wednesday, December 19, 2012

pesta ikan

Pesta ikan musim tengkujuh
Wartawan Sinar Harian
18 Disember 2012
Pesta ikan musim tengkujuh
Shafei menjual ikan dijalanya kepada penduduk di Putat Tujuh.
Pesta ikan musim tengkujuh
Orang ramai membeli ikan dijual Musa.
RANTAU PANJANG – Hujan berterusan di sini, belum sampai seminggu, bagaimanapun penggemar ikan sudah mula ke sungai untuk memukat, menjala serta mengail kerana sedar ikan banyak waktu ini.

Musim tengkujuh, haiwan yang membekalkan sumber protein ini agak banyak dan mudah diperoleh malah kebanyakannya sedang bertelur serta dipanggil waktu ‘ikan lompat’.

Biarpun terpaksa meredah hujan bagi mendapatkan ikan, ia bukan alasan kerana hasil tangkapan adalah segala-galanya bagi penangkap ikan, apatah lagi waktu awal musim tengkujuh.

Penggemar ikan beranggapan, waktu paras air mula meningkat paling sesuai menjala ikan kerana mudah memperoleh hasil tangkapan.

Bagaimanapun hasil tangkapan bergantung kepada lokasi tangkapan ikan kerana sesetengah kawasan agak sukar untuk menjala kerana halangan pokok keladi bunting yang memenuhi permukaan air.

Bagi Shafei Mohamed, 45, dari Putat Tujuh dekat sini, setiap kali tiba musim tengkujuh, dia tidak melepaskan peluang menjala ikan di sungai kampung tersebut kerana tidak pernah pulang dengan tangan kosong setakat ini.

"Waktu ini saya akan menjala setiap hari bagi menggantikan rutin harian menoreh getah. Biasanya saya mendapat ikan loma atau lebih dikenali ikan lambak dalam kalangan masyarakat setempat," katanya.

Menurutnya, ikan-ikan itu selalunya dijadikan juadahnya sekeluarga memandangkan dia tidak dapat menoreh getah ketika musim tengkujuh.

“Kadangkala saya turut menjual hasil tangkapan jika ada penduduk hendak membeli. Namun, saya tidak meletakkan harga tinggi,” katanya.

Setiap kali musim hujan, kiri dan kanan jalan menghala ke Pasir Mas dan Rantau Panjang ini tidak ubah seperti pesta, apabila ramai pembeli tertumpu untuk membeli ikan sungai di sini.

Bagi penjual ikan, selain hasil tangkapan sendiri, mereka turut membeli ikan ditangkap penduduk untuk dijual di sepanjang jalan berhampiran Culvert Lima, dekat sini.

Musa Yaacob, 21, dari Padang Licin berkata, setiap tahun dia mengambil peluang menjual ikan yang dibeli dari penjala ikan.

"Kebanyakan ikan dijual dijala di Sungai Tasek Garu tidak jauh dari sini," katanya.


Menurutnya ikan-ikan yang dijualnya terdiri daripada keli dan haruan,

Katanya, ikan-ikan ini pula dijual pada harga RM5 sekilogram bagi ikan tembakan, RM12 ikan haruan serta RM15 sekilogram untuk ikan keli.

Menurutnya, keli mendapat permintaan tinggi dan kerap habis awal berbanding ikan-ikan lain.

“Setiap hari saya boleh menjual sekitar 100 kilogram ikan bermula dari jam 10 pagi sehinggalah ke petang,”katanya.

No comments:

Post a Comment