Thursday, December 6, 2012

sudah tiada tapi pampasan belum terima

Pegang amanah ayah
Wartawan Sinar Harian
6 Disember 2012
Pegang amanah ayah
Mohd Nasir menunjukkan salinan keratan akhbar tertulis pengalaman arwah ayahnya sebagai buruh paksa.
KOTA TINGGI - “Selagi hayat dikandung badan saya akan perjuangkan hak arwah ayah!” kata waris bekas buruh binaan landasan keretapi Siam ke Burma 1942-1946, Mohd Nasir Ahmad, 64.

Mohd Nasir anak  sulung Allahyarham Hamat Kulop@Ahmad Ishak  berkata, sehingga kini dia  masih memegang amanah ayahnya itu walaupun dia sudah meninggal, dua  tahun lalu.

“Seminggu sebelum  arwah meninggal dunia,  dia menangis dan menyatakan rasa sedihnya di atas  penantian wang pampasan dijanjikan yang masih belum diperoleh.

“Arwah juga sempat berpesan kepada saya agar meneruskan tuntutan mendapatkan pampasan tersebut untuk dibahagikan kepada adik beradik dan membantu ibu yang sakit di kampung.
“Namun, saya amat  terkilan kerana surat permohonan yang diajukan kepada pihak berkaitan dipulangkan semula,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pihak tersebut seharusnya memaklumkan kepada ahli dan waris jika mereka telah bertukar alamat atau sebagainya.

Jelasnya, pelbagai cara telah dilakukan untuk menghubungi pihak tersebut namun gagal.

“Sewaktu kecil dahulu, ayah sering menceritakan pengalaman hidupnya ketika dipaksa menyertai buruh itu sehingga terpaksa meninggalkan keluarga.
“Segala keperitan mengenangkan saat susah bersama buruh paksa itulah yang menyebabkan ayah bersemangat untuk menuntut wang pampasan tersebut,” katanya.
Tambahnya, sejak dahulu lagi dia menjadi orang  tengah dengan membantu ayahnya membuat segala surat bagi memohon pampasan tersebut.
Mohd Nasir berkata, kini setelah ayahnya tiada, giliran dia sebagai waris akan perjuangkan hak yang sepatutnya diterima ayahnya dan mereka yang terlibat.

Ujarnya, apa yang diharapkan perkara tersebut akan diambil perhatian dan mendapat pembelaan oleh pihak yang berkenaan.

No comments:

Post a Comment